hukum iringi jenazah al-Fatihah
Sekadar gambar hiasan, Foto Bernama

Suasananya berlaku di sebuah rumah. Setelah mayat dikafan dan disolatkan, tiba masanya untuk dibawa menuju ke tanah perkuburan. Saat ini kedengaran lebih jelas tangisan waris si mati, seakan tidak bersedia melepaskannya pergi untuk selamanya.

Sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi terakhir, wakil waris menyampaikan ucapan terima kasih, memohon keampunan bagi pihak si mati, dan mengharapkan seandainya si mati mempunyai hutang piutang yang belum lagi selesai, maka bolehlah dituntut kepada waris.

Selepas itu kedengaran pula salah seorang dari waris yang hadir, melaungkan ungkapan “al-Fatihah” berulangkali, bertujuan agar hadirin yang ada membacakan surah tersebut agar pahala bacaan tersebut diperoleh si mati.

Namun begitu ada sedikit kejanggalan yang kelihatan, manakan tidak, setiap kali ungkapan al-Fatihah diungkap, setiap kali itu juga perjalanan ke tanah perkuburan terganggu, dek kerana mereka berhenti seketika untuk membaca surah tersebut. Perjalanan yang hanya mengambil masa 15 minit, telah bertambah menjadi lebih dari setengah jam.  Mungkin sudah menjadi adatnya, yang membawa usungan jenazah perlu berhenti tatkala membaca surah.

Merujuk kepada situasi yang berlaku ini, maka Pegawai Hal Ehwal Islam, Pusat Islam Universiti Putra Malaysia, (UPM) Alzasha Illiyan Zainal Alam, diminta untuk mengupas lebih lanjut. Adakah sememangnya amalan ini termaktub dalam syariat Islam, dan bagaimana cara yang sebenarnya dipraktikkan dalam Islam, ketika jenazah dibawa ke perkuburan?

Menurutnya, dalam konteks menguruskan jenazah, secara umum apabila selesai sahaja solat jenazah, menjadi kewajipan bagi waris si mati untuk segera menguruskan pengebumiannya. Ini yang diajarkan oleh Baginda s.a.w. melalui hadis yang diriwayatkan dari Abi Hurairah r.a. dari nabi s.a.w. sabdanya,

“Segerakanlah pengurusan jenazah, kerana jika jenazah itu baik, maka sudah sepatutnya bagi kamu menyegerakannya. Jika sebaliknya, maka jenazah itu adalah keburukan yang kamu letakkan, (lepaskan) dari leher-leher kamu (dari tanggungjawab kamu)” (HR Muslim).

Bertitik tolak dari hadis ini, menjadi satu tuntutan bagi kita untuk segera menguruskan jenazah, terutama apabila selesai disolatkan. Bahkan ini juga merupakan amalan para sahabat sebagaimana yang dianjurkan oleh Rasulullah.

Namun begitu, apabila kita menjengah sisi waktu kini, diakui terdapat beberapa amalan tambahan yang dipraktikkan, terutama ketika jenazah selesai disolat dan ingin bergerak menuju ke perkuburan.

Tambahnya, sudah menjadi kebiasaan, apabila jenazah sudah bersiap sedia untuk dibawa ke tanah perkuburan, waris si mati akan membuat pengumuman berkaitan dengan hutang piutang si mati ketika hidupnya.

Seandainya si mati masih mempunyai hutang, maka ia boleh dituntut melalui waris si mati. Dalam hal ini, tiada nas sahih yang menyokong atau menegah perbuatan tersebut. Seandainya ingin dibuat, maka perlu sekadar pernyataan yang tidak mengambil masa terlalu lama, sehingga memberi seksaan kepada jenazah.

Jika hanya ini waktu yang ada untuk menjelaskan kepada umum, maka tiada salahnya. Harus difahami bahawa kewajipan membayar hutang, merupakan keperluan yang hak bagi si mati.

Dalam satu riwayat, pernah Baginda s.a.w. duduk ketika jenazah diletakkan dihadapan Baginda untuk disolatkan. Baginda mengangkat kepalanya ke langit, kemudian menundukkan pandangannya, dan meletakkan tangannya di atas kening seraya bersabda,

Subhanallah, Subhanallah, betapa beratnya yang diturunkan.”

Seorang sahabat Ibn Jash berkata, “kami memerhatikan keadaan rasulullah itu, tetapi kami diam sehinggalah keesokan harinya, saya bertanya kepada baginda.” “Apakah keberatan yang diturunkan itu?” Rasulullah lalu menjawab,

“Hutang! Demi tuhan yang jiwaku berada di tangan Nya. Jikalau seseorang terbunuh di jalan Allah, kemudian hidup, kemudian terbunuh, kemudian hidup, kemudian terbunuh, sedangkan ia mempunyai hutang, maka dia tidak akan masuk syurga sehingga ia menunaikan hutangnya.” (HR an-Nasai)   

Katanya lagi, memang terdapat di sesetengah tempat, apabila selesai waris memberi pernyataan berkaitan hutang, dan ketika mana jenazah ingin bergerak ke tanah perkuburan, akan ada seseorang yang bertindak sebagai ketua melaungkan al-Fatihah, dengan hadirin membaca surah tersebut.

Bahkan terdapat juga yang akan berhenti seketika, hanya untuk membaca al-Fatihah sebagaimana yang disebutkan di atas. Mungkin tujuan mereka adalah untuk memberi sedekah pahala surah tersebut kepada si mati, atau juga kerana ia merupakan praktis yang telah lama diamalkan sejak dahulu lagi.

Dalam hal ini, suka saya merujuk pada pendapat imam Nawawi, sememangnya tiada nas menunjukkan perbuatan tersebut pernah dilakukan oleh nabi, atau juga para sahabat. Bahkan dalam pengebumian orang Arab juga ia tidak dilakukan. Ini kerana bagi mereka, selepas sahaja disolatkan, jenazah hanya perlu segera dibawa ke kubur untuk pengebumian.

Tuntasnya, perbuatan ini hanya berlaku dalam kalangan budaya Melayu sahaja. Ia tidaklah salah kerana mungkin tujuannya baik, tetapi jika tiada nas yang menyokong, bahkan menambahkan lagi kelewatan untuk urusan pengebumian, seeloknya ia tidak perlu dilakukan.

Laungan harapan si mati

Selain dari bacaan al-Fatihah ketika mengiringi jenazah ke perkuburan, terdapat juga dikalangan masyarakat, yang mengamalkan laungan harapan kebaikan bagi si mati. Melihat pada sisi perbuatan ini, terdapat nas yang sahih sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Anas r.a. katanya,

“Satu jenazah diusung melalui satu tempat. Lalu orang ramai memuji bahawa itu adalah jenazah orang yang baik. “Ya, wajib (pasti).

Berkata Rasulullah s.a.w. menyetujuinya. Kemudian berlalu pula usungan jenazah yang lain. Orang ramai berkata pula mayat yang teruk, berkata Baginda s.a.w. “Ya wajib (pasti)” maka bertanya Umar al-Khattab, “Apakah yang wajib (pasti) ya rasulullah?” Jawab Baginda

“kamu katakan mayat itu baik, maka ia pasti masuk syurga. Kamu katakan pula mayat si anu tu jahat, pasti pula ia masuk neraka, kamu semua adalah para saksi Allah di muka bumi.” (HR Muslim)

Walaupun terdapat nas yang sahih mengenai laungan harapan bagi jenazah tatkala diusung ke perkuburan, tetapi ia tidak boleh disandarkan kepada keadaan masa kini. Apatah lagi ia menimbulkan perbezaan pandangan, atau mungkin dari sudut praktisnya akan menjadi lain, tidak sebagaimana yang berlaku ketika zaman nabi dahulu.

Mengikut pesan Baginda s.a.w. memadailah mati itu menjadi peringatan kepada yang hidup, dengan meningkatkan amal ibadah. Justeru itu jika kita mempraktiskan sebagaimana yang dilakukan oleh nabi dan sahabat dahulu, bagaimana sekiranya si mati bukanlah tergolong dikalangan orang yang baik?

Bukankah tindakan ini secara tidak langsung, akan menimbulkan kesalahfahaman kepada masyarakat, dan memberi keaiban kepada si mati dan juga waris. Dalam hadis tersebut, benar Baginda menyetujui kata-kata sahabat terhadap mayat yang teruk, itu kerana Baginda lebih mengetahui berbanding kita umatnya.

Oleh itu tegasnya, berbalik kepada isu ini, sememangnya tidak ada tegahan, sama ada untuk menyampaikan kepada umum berkaitan hutang si mati, membacakan al-Fatihah atau juga sebutan harapan, kesemuanya juga merupakan perbuatan yang baik. Namun apa yang perlu dititik beratkan ialah, jangan kerana perbuatan tersebut, menjadikan urusan pengebumian menjadi lewat dan menambah lagi keaiban pada jenazah.

Bahkan kita menetapkannya pula sebagai satu kewajipan yang mutlak, jika tidak dilakukan berdosa hukumnya. Sebagai orang yang beriman, jangan sesekali mensyariatkan sesuatu amalan yang tidak perlu, bagi mengelakkan timbulnya fitnah,  ini yang dilarang sama sekali.

Walaupun begitu, terdapat juga bacaan yang menjadi sunnah dan biasa diamalkan, iaitu ketika jenazah ingin dimasukkan ke dalam liang lahad. Ini jelas termaktub dalam hadis Nabi s.a.w. yang bersabda

“Apabila kalian meletakkan jenazah dikubur maka ucapkanlah “Bismillahi wa a’la millati Rasulillahi”. (HR al-Hakim)

________________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare