SABAH FC bangkit daripada kekecewaan tersingkir daripada saingan Piala FA minggu lepas dengan merakam kemenangan 2-1 ke atas Petaling Jaya (PJ) City FC pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam ini.

Pada aksi itu, skuad Sang Badak berdepan tentangan sengit pasukan tuan rumah terutama di separuh masa pertama yang menyaksikan PJ City mendahului 1-0 hasil tandukan penyerang Darren Lok berpunca daripada sepakan penjuru V Ruventhiran pada minit ke-34.

Bagaimanapun, rentak itu gagal diteruskan PJ City di babak kedua dengan Sabah yang dibimbing bekas pengendali skuad Kebangsaan Datuk Ong Kim Swee tampil lebih garang sebelum pemain import dari Jepun Taiki Kagayama menyamakan kedudukan selepas merembat bola muntah pada minit ke-48.

Gol kemenangan Sabah hadir pada minit ke-75 menerusi penyudah Mohamad Irfan Fazail selepas beliau bijak mencari ruang terbuka untuk menampan hantaran lambung rakan sepasukan yang gagal diselamatkan penjaga gol Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi.

Kemenangan itu membolehkan Sabah yang mengumpul 28 mata selepas mengharungi 11 aksi terus memberi tekanan ke atas pendahulu Johor Darul Ta’zim (JDT) yang menerajui takhta liga dengan 29 mata, namun kurang dua perlawanan.

Di Stadium Hang Jebat, Melaka, pasukan tuan rumah Melaka United FC menikmati malam gemilang selepas membelasah pasukan tercorot Penang FC 4-1 sekali gus merakam kemenangan keempat mereka musim ini.

BERITA BERKAITAN Kedah kembali bangkit, tewaskan Sarawak 3-1 dengan bergaya

Melaka United memulakan aksi dengan bergaya apabila mendahului seawal minit keempat menerusi pemain sayap import dari Ghana Emmanuel Oti sebelum penyerang import dari Brazil Adriano Narcizo menggandakan kedudukan pada minit ke-36 selepas melepaskan rembatan dari luar kotak penalti.

Bersambung babak kedua, Penang semakin tertekan selepas dua lagi pemain import Ifedayo Olusegun dan Justin Baas masing-masing meledak gol ketiga dan keempat Melaka United pada minit ke-58 dan ke-60, namun berhasil memperoleh gol sagu hati yang disumbangkan Lucas Silva pada minit ke-86.

Sementara itu, dalam aksi Liga Premier, Johor Darul Ta’zim (JDT) II merampas kedudukan kedua dengan kejayaan membenam UiTM FC 4-0 di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang.

Pada aksi itu, pemain muda Daryl Sham mencuri tumpuan apabila meledak dua gol pada minit ke-20 dan ke-62 sementara Moussa Sidibe dan Gabriel Nistelrooy Tamin masing-masing mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-26 dan ke-89 untuk membantu pasukan meraih tiga mata berharga.

Dalam pada itu, Terengganu FC II dikejutkan dengan kekalahan 0-2 di tangan PDRM FC menerusi  jaringan  Milos Lacny pada minit ke-48 dan Martin Adamec pada minit ke-90 memastikan pasukan pelawat pulang dengan senyuman pada aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu itu.

Di Stadium UiTM, Shah Alam, jaringan tunggal oleh Ferris Danial Mat Nasir pada minit ke-77 memastikan Perak FC meraih kemenangan 1-0 ke atas Selangor FC 2.

— BERNAMA