Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai (tengah) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian daripada dadah dianggarkan bernilai RM328,385 yang berjaya dirampas selepas menahan enam suspek yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

POLIS berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang selepas menahan enam individu termasuk empat beranak dalam tiga serbuan berasingan kelmarin.

Turut dirampas dadah pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM328,385, cukup kegunaan 2,045 penagih.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, suspek lelaki pada serbuan kedua dan suspek wanita pada serbuan ketiga adalah pasangan suami isteri.

“Dua lagi suspek remaja adalah anak kepada pasangan suami isteri terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujarnya, serbuan pertama dilakukan di sebuah kondominium di Jalan Kuching pada pukul 1.45 pagi itu telah membawa kepada penemuan 400 biji pil erimin 5 seberat 126 gram, 70 pil ecstasy seberat 24.50 gram dan sepeket ketamin dengan berat 5.90 gram.

“Polis menahan seorang lelaki dan wanita masing-masing berusia 38 dan 27 tahun bersama-sama wang tunai berjumlah RM2,057 dipercayai hasil jualan dadah,” katanya.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Hasil saringan air kencing mendapati suspek lelaki positif dadah jenis ketamin dan benzo.

Suspek lelaki dipercayai mendapat bekalan dadah dari seorang lagi suspek lelaki pada serbuan kedua yang merupakan pembekal tetap.

Mengulas lanjut, hasil soal siasat telah membawa kepada serbuan kedua di tempat letak kereta kondominium yang sama pada pukul 4.30 petang.

“Polis telah menahan seorang lelaki dan seorang wanita masing-masing berusia 47 tahun dan 18 tahun,” tambahnya.

Katanya, hasil pemeriksaan di dalam kereta suspek lelaki telah membawa kepada penemuan 11,000 pil eramin 5 seberat 3,395 gram.

“Turut ditemui dua peket plastik yang terdapat 100 pil ecstasy seberat 75 gram dan lima peket plastik dengan ketamin seberat 250 gram,” katanya.

Beliau berkata, turut dirampas wang tunai berjumlah RM7,000 dipercayai hasil jualan dadah.

“Hasil saringan air kencing mendapati suspek lelaki positif dadah jenis benzo,” ujarnya.

Sementara itu, dalam serbuan ketiga di sebuah rumah dekat Taman Indah Perdana pada pukul 6.30 pagi telah membawa kepada penahanan seorang lelaki dan seorang wanita masing-masing berusia 19 dan 38 tahun.

Hasil pemeriksaan telah menjumpai Ketamin seberat 100 gram dan sembilan peket plastik berisi serbuk MDMA seberat 90 gram.

“Turut dirampas wang tunai bernilai RM40,000 dan hasil saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah”.

Jelasnya, kesemua suspek kini ditahan reman selama seminggu sehingga Isnin.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadag Berbahaya 1952,” ujarnya.