Datuk Seri Hasni Mohammad.

BEKAS Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad mengesahkan akan kembali bertanding di kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

Memetik laporan BH Online, Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut memaklumkan, pucuk pimpinan UMNO telah pun bersetuju membenarkan beliau bertanding di Parlimen.

Bagaimanapun, Pengerusi UMNO Johor itu menyerahkan keputusan akhir kepada pimpinan tertinggi parti tersebut termasuk kerusi mana yang akan ditandingi.

“Ya, saya akan bertanding pada PRU-15 nanti, namun kerusi mana belum ditentukan lagi. Perlu bincang agihan dulu di peringkat nasional antara parti- parti komponen. Selepas itu baru tengok kerusi Parlimen yang mana untuk saya bertanding.

“Kalau diberi pilihan tentunya saya hendak bertanding di kawasan sendiri,” katanya.

Beberapa portal berita sebelum ini melaporkan Hasni dijangka bertanding pada PRU-15 sama ada di kerusi Parlimen Pontian, Simpang Renggam atau Tanjung Piai.

Baca artikel berkaitan: Onn Hafiz mohon restu, pertolongan Hasni

Beliau pernah menjadi Ahli Parlimen Pontian selepas PRU-11 sebelum ‘digantikan’ dengan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang memenangi kerusi berkenaan selama tiga penggal.

Bekas Menteri Besar Johor merangkap Ketua UMNO Bahagian Pontian sejak 2004 itu yang bertukar ke kerusi DUN Benut pada 2008 dan kekal menyandangnya sehingga kini, dilantik mengetuai kerajaan negeri pada 28 Febuari 2020.

Pada 11 Julai lalu, UMNO Johor dilaporkan berhasrat meletakkan calon di kerusi Parlimen Simpang Renggam pada PRU-15 akan datang selepas beberapa penggal ditandingi calon Gerakan sebelum parti itu keluar Barisan Nasional (BN) selepas PRU-14 pada 2018.

Parlimen Tanjung Piai pula merupakan kerusi tradisi MCA, yang telah dimenangi semula oleh Datuk Seri Wee Jeck Seng dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) pada tahun 2019 selepas kerusi berkenaan kosong susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik akibat komplikasi jantung 21 September 2019.

Pada PRU-14, Allahyarham Md. Farid memenangi kerusi itu dengan majoriti 524 undi dalam pertandingan tiga penjuru.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram