BUKAN hanya wajah dan tubuh badan, kuku juga menjadi salah satu bahagian yang berada dalam senarai kecantikan wanita. Jika tidak, masakan industri kuku dan penciptaan kuku tiruan mendapat sambutan hangat.

Kuku panjang dipandang cantik, tetapi sebenarnya ia berbahaya. Kajian membuktikan bahawa menyimpan kuku panjang ternyata tidak sihat. Ia boleh mengundang kepada pelbagai penyakit dan berisiko mencetuskan masalah kesihatan lain.

Penyelidikan yang dijalankan oleh Infectious Disease Society of America di San Francisco, mendedahkan bahawa kuku yang panjangnya melebihi tiga milimeter dari hujung jari boleh menyimpan bakteria dan kulat yang berbahaya. Kesemua kuman di bawah kuku selalunya tidak mampu disingkirkan sepenuhnya memandangkan kebanyakan orang tidak membasuh tangan dengan baik.

Soal kebersihan terutama tangan adalah paling utama kerana setiap hari tangan akan bersentuhan dengan beratus-ratus objek. Manakala kuku panjang pula tempat sempurna untuk kotoran dan kuman bersarang. Sekiranya makan menggunakan tangan dan kuku panjang yang tidak bersih, bakteria dan agen penyakit boleh memasuki sistem badan.

Sebelum ini pun pernah berlaku beberapa wabak berjangkit yang mematikan di unit rawatan intensif yang dikaitkan dengan kuku panjang. Apabila pemeriksaan dijalankan ke atas 18 orang kakitangan kesihatan, rata-ratanya menyimpan kuku panjang.

Paling mengejutkan, keputusan ujian mendapati terdapat dua kuman berbahaya di bawah kuku pekerja. Bakteria yang dikenal pasti itu ialah Klebsiella yang mana boleh menyebabkan jangkitan saluran kencing dan pneumonia. Manakala, kulat Candida parapsilosis didapati penyebab kepada terjadinya luka dan jangkitan saluran darah.

Sebab itu, pakar-pakar kesihatan menyarankan bahawa kuku perlu dipotong pendek dan sentiasa dibersihkan. Bahkan dalam Islam, kebersihan diri merupakan perkara asas yang sangat diberi perhatian khusus termasuklah dalam soal penjagaan kuku.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda; “Terdapat lima perkara fitrah, iaitu berkhitan, mencukur bulu kemaluan, memotong misai, memotong kuku dan mencabut bulu ketiak.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Ia jelas menyatakan kuku merupakan antara kawasan utama yang harus diberi perhatian. Ia juga dijadikan kayu ukur terhadap tahap kesihatan diri seseorang.

Adakah perbuatan menyimpan kuku dibenarkan atau ditegah oleh syarak? Dalam hadis kata-kata Anas bin Malik r.a.; “Kami diberikan had waktu untuk memotong misai, memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan mencukur bulu kemaluan, iaitu tidak membiarkannya melebihi 40 malam.” (HR Muslim)

Berdasarkan hadis tersebut, ia menerangkan bahawa hukum memotong kuku adalah sunat. Hukum menyimpan atau membiarkan kuku pula bergantung pada tahap panjang kuku seseorang berserta dengan niat menyimpannya.

Adalah sunat jika memastikan panjang kuku sama paras dengan hujung jari kerana demikian juga yang dilakukan oleh Nabi. Bagaimanapun, membiarkan kuku panjang sehingga melebihi paras hujung jari adalah makruh seperti mana pandangan jumhur ulama. Semakin panjang, semakin berat makruhnya. Dan hukum ini berubah menjadi haram apabila ia diniatkan untuk meniru perbuatan orang kafir.

Ada beberapa sebab mengapa Islam tidak menyarankan untuk menyimpan kuku panjang. Antaranya, ia memberi implikasi terhadap tiga perkara utama iaitu kesahan taharah, kesihatan tubuh badan dan imej islamik.

Taharah terutamanya wuduk merupakan perkara rutin dalam kehidupan umat Islam. Antara syarat sah taharah ialah meratakan air ke seluruh anggota badan, meliputi kulit yang berada di zon kuku. Kuku yang panjang boleh menjadi penghalang sahnya taharah dan ia akan menjejaskan seluruh ibadah yang bersangkutan dengannya.

Seperti yang diketahui, kuku panjang juga berpotensi mengumpul kotoran di celah-celah bawah kuku. Ia tidak mudah dihilangkan dengan kaedah cucian tangan biasa. Pengumpulan kotoran ini secara tidak langsung akan membiakkan bakteria berbahaya seterusnya menjejaskan kesihatan tubuh.

Islam ialah agama kecantikan. Hikmah yang besar di sebalik saranan ini ialah supaya imej dan personaliti diri sebagai seorang Muslim dipelihara. Kerana, ia bukan sahaja membantu memudahkan umat Islam melaksanakan ibadah harian, tetapi juga dapat berwuduk dengan sempurna dan solat tanpa ragu-ragu.

_____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram