Bendera Pakatan Harapan berkibar pada Pilihanraya Negeri Johor. GAMBAR: Abd Razak Aid

PAKATAN Harapan (PH) memberi peringatan bahawa memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani bersama kerajaan masih berkuatkuasa sehinggalah Parlimen ke-14 dibubarkan.

Majlis Presiden PH dalam kenyataan turut menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar melaksanakan tiga perkara yang dianggap penting demi negara.

Antara perkara yang dituntut adalah mengehadkan jawatan Perdana Menteri tidak lebih 10 tahun seperti ketetapan dimeterai dalam MoU sebelum ini.

Selain itu, Majlis Presiden PH turut menuntut Perdana Menteri membentang dan meluluskan RUU Perkhidmatan Parlimen dan Pindaan kepada Peraturan Mesyuarat Parlimen.

Jelas kenyataan itu, ia adalah bagi memastikan prosiding Dewan Rakyat dan Dewan Negara berjalan dengan lebih teratur dan lancar sebelum Parlimen dibubarkan.

Kenyataan itu memaklumkan, satu rundingan dalam kadar segera akan dicuba diadakan antara wakil PH dan kerajaan bagi membincangkan mengenai perkara yang masih berbaki dalam MoU itu.

“Majlis Presiden mengambil maklum kenyataan Perdana Menteri dua hari lalu bahawa satu MoU baharu tidak akan ditandatangani.

“Oleh itu, Majlis Presiden mengarahkan wakil PH dalam Jawatankuasa Pemandu MoU supaya mengadakan mesyuarat segera bersama kerajaan yang turut akan meneliti perkara dinyatakan Perdana Menteri berkaitan pendanaan politik,” katanya.

Selain itu, menurut Majlis Presiden PH, Perkara 4 iaitu kebebasan institusi kehakiman juga perlu dilaksanakan sepanjang masa.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram