KUMPULAN popular Hong Kong iaitu Mirror berdepan detik mencemaskan apabila skrin LED gergasi terjatuh dari siling dan menimpa penari mereka.

Sewaktu kejadian, kumpulan terbabit sedang membuat persembahan di konsert Hong Kong Coliseum, semalam.

Insiden terbabit telah menyebabkan dua penari mengalami kecederaan sebelum mereka dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth, Hong Kong.

Difahamkan, salah seorang penari mengalami kecederaan teruk di leher manakala seorang lagi hanya cedera ringan di bahagian kepala.

Konsert berkenaan yang sepatutnya berlangsung sehingga 6 Ogos itu terpaksa ditangguhkan.

Malah, rakaman video yang memaparkan skrin LED terbabit putus, turut tular di media sosial.

Kejadian berkenaan telah berada dalam pemerhatian pihak pemerintah tertinggi Hong Kong yang meminta konsert tersebut ditangguhkan sehingga pentas berkenaan disahkan selamat digunakan.

Dalam pada itu, peminat dan penggiat industri mengecam pihak penganjur konsert terbabit yang tidak peka soal keselamatan selain didakwa tidal membuat pemeriksaan lokasi sebelum hari persembahan.