SISTEM pendengaran manusia sebenarnya telah terbentuk sejak trimester terakhir kehamilan. Ia adalah deria pertama yang berfungsi dalam kehidupan manusia, yang mana telah terbentuk sejak dalam kandungan.
Pada usia 34 minggu kandungan, bahagian dalam telinga yang disebut koklea sudah pun berkembang dan pendengaran bayi akan menjadi sempurna.
Mengikut kajian seorang saintis Perancis, Carolyn Granier-Deferre, beliau mendapati pembentukan janin di dalam kandungan boleh dipengaruhi oleh muzik atau bunyi-bunyian.
Menurutnya, muzik-muzik yang lembut akan menimbulkan suasana yang tenang kepada janin, malah ketenangan itu akan terbawa-bawa sehingga mereka lahir ke dunia.
Berdasarkan kajiannya terhadap 50 orang ibu hamil, Granier mendapati bayi sudah mampu mengingati bunyi-bunyian yang mereka dengari sejak dalam rahim ibu lagi.

Dalam eksperimen tersebut, janin di dalam kandungan akan diperdengarkan dengan melodi bernada rendah sebanyak dua kali sehari, sehinggalah mereka dilahirkan. Apabila usia bayi mencecah sebulan, melodi itu akan diperdengarkan semula ketika mereka tidur.
Ketika ini, degupan jantung bayi akan berubah menjadi perlahan – menunjukkan mereka berada dalam keadaan selesa. Bagaimanapun, apabila diperdengarkan dengan melodi yang tidak pernah didengari, degupan jantung bayi berubah tetapi tidak begitu ketara.
Pembuktian secara saintifik ini menunjukkan indera pendengaran memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia. Ia berfungsi sejak di dalam kandungan lagi, berbanding pancaindera lain yang hanya berfungsi secara berperingkat selepas kelahiran.
Kepentingan mengenai pendengaran manusia ini turut ditekankan oleh Allah S.W.T di dalam Al-Quran. Perkara itu dapat dilihat menerusi beberapa potong ayat yang mendahulukan sebutan pendengaran berbanding deria penglihatan manusia.
Firman Allah yang bermaksud; “Dan janganlah kamu mengikuti apa yang tidak ada bagi mu pengetahuan, sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan dipertanggungjawabkan.” (Surah Al-Isra’; ayat 36)
Selain surah Al-Isra’, perkara yang sama turut dinyatakan dalam beberapa surah lain seperti surah Al-Fursilat ayat 22, dan surah Al-An’am ayat 46. Persoalannya, mengapa deria pendengaran disebut terlebih dahulu berbanding penglihatan?
Jawapannya adalah kerana Allah ingin menyatakan kepada manusia bahawa pendengaran terbentuk terlebih dahulu sebelum deria penglihatan dan deria-deria lain.
Dari satu sudut yang lain, ia turut memberi gambaran bahawa deria pendengaran mempunyai fungsi yang sangat penting berbanding dengan pancaindera lain yang dimiliki oleh manusia.
Pendengaran dianggap lebih utama kerana ia akan tetap berfungsi walau dalam apa jua keadaan. Waima ketika tidur, telinga akan terus mendengar. Berbeza dengan mata yang memerlukan cahaya untuk melihat, tetapi telinga tidak. Sama ada gelap atau terang, siang atau malam, pendengaran manusia masih tetap sama dan tidak pernah kehilangan perhatian terhadap bunyi.
Selain itu, deria pendengaran manusia berbentuk tunggal sementara pandangan pula adalah sesuatu yang bervariasi. Sebagai contoh, pandangan terhadap sesuatu objek mempunyai beberapa dimensi yang berlainan. Jika kita melihat dari pandangan hadapan, orang lain mungkin melihatnya dari sudut pandang yang berlainan. Berbeza dengan pendengaran, kita semua akan berkongsi bunyi yang sama selagi gegendang telinga masih belum rosak.
Dari sudut agama, umat Islam telah diajar untuk mengumandangkan azan dan iqamat kepada bayi yang baru dilahirkan. Malah, kita turut dianjurkan untuk melantunkan ayat-ayat Al-Quran kepada bayi di dalam kandungan. Mengapa?
Jawapannya terdapat di dalam Al-Quran yang telah diturunkan kepada umat manusia sejak 1,400 tahun yang lalu. Ketika manusia masih lagi mencari-cari jawapan tentang dunia sains, Al-Quran terlebih dahulu menerangkan kepada manusia tentang kepentingan deria pendengaran. Malah, perkara ini turut dibuktikan secara faktual dan ilmiah.
_____
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

