SEJAK  beberapa tahun lalu, gelombang K-pop mengembang dan kini sudah mencapai tahap maksima, di mana mesti ada seorang peminat K-pop berbanding dulu di mana jumlah peminat dalam keadaan yang Sis boleh kategorikan sebagai ‘terkawal’.

Sis boleh dikatakan peminat K-pop generasi kedua atau zaman sekarang pakai ‘2nd gen’. Minat Sis untuk K-pop bermula dari kumpulan-kumpulan seperti SHINee dan INFINITE namun Sis juga gemar TVXQ, Super Junior dan Big Bang.

Budak-budak K-pop sekarang sering terlupa yang generasi K-pop dulu yang memulakan segalanya dan tanpa mereka, mungkin K-pop tidak akan sebesar sekarang.

Sebagai peminat lama, Sis sudah melihat evolusi lagu dan konsep kumpulan-kumpulan sekarang. Semakin lama semakin unik dan jika kita melihat zaman dahulu dengan generasi keempat K-pop seperti aespa, TXT, ITZY, ATEEZ, Stray Kidz dan lain-lain, perbezaan bunyi, tahap kreativiti dan bajet mereka sendiri melepasi kebolehan kumpulan-kumpulan dulu.

Bukan generasi keempat sahaja, namun generasi ketiga K-pop seperti SEVENTEEN, Red Velvet, Twice, NCT dan WINNER pun sudah kelihatan lain walaupun mereka hanya beza satu generasi dengan veteran-veteran kesayangan K-pop.

Bila Sis dengar balik lagu-lagu hit K-pop pada zaman dulu, ia berasa seperti memasuki dunia yang baharu walaupun ia merupakan lagu-lagu lama.

Macam Phil Coulson dari The Avengers kata, “Kadang-kadang kita perlukan fesyen lama.”

Girls’ Generation atau SNSD adalah antara kumpulan yang masih kukuh sejak kewujudan mereka pada 2007. Walaupun banyak kumpulan generasi kedua sudah berehat, mereka masih aktif dan kini akan pulang dengan album penuh ketujuh mereka.

Ketika zaman 2007-2011, konsep mereka dikategorikan sebagai ‘lagu gedik’ kerana mereka sering berwarna-warni dan menyanyi tentang cinta tetapi gedik pun, Sis akui lagu mereka menghilangkan stress seperti lagu “Gee”, antara lagu K-pop awal-awal yang mencecah 100 juta tontonan di Youtube.

Ketika zaman K-pop dulu, kumpulan perempuan susah mengatasi kumpulan lelaki, namun SNSD sahaja berjaya meletakkan diri mereka di kedudukan tinggi dalam sebuah industri didominasi lelaki.

Sebelum-sebelum ini, SNSD berehat selama 5 tahun, dengan separuh daripada mereka keluar dari syarikat dan memulakan kerjaya dalam lakonan secara individu.

Sis akui, sejak generasi kedua berehat, K-pop semakin bosan dan terlampau ‘mudah’ untuk berjaya. Hanya beberapa kerat sahaja dalam generasi keempat K-pop yang unik dan makin-makin lama, Sis berasa ia sudah tidak menarik tambah pula dengan peminat-peminat mereka yang bersifat toksik di media sosial.

Selepas datangnya berita SNSD akan kembali dengan album penuh selepas 5 tahun, ia seperti K-pop menerima nafas baharu.

Tak tahulah sebab Sis boleh dikategorikan sebagai peminat veteran ke apa ke, tetapi rupanya ramai juga peminat lain yang lega dengan kepulangan SNSD ke pentas K-pop.

SNSD bukan sahaja sebuah kumpulan veteran, namun mereka adalah sebuah berlian K-pop yang sangat bernilai.

Disebabkan pengalaman mereka yang banyak dan juga diskorigrafi mereka yang unik, SNSD boleh dan akan mempersembahkan benda yang generasi sekarang tidak boleh hasilkan. Sebab itulah mereka kekal sebagai kumpulan K-pop yang masih kukuh pengikutnya di seluruh dunia.

Walaupun pada fasa populariti mereka menurun, kuasa mereka secara individu masih kuat dan menguasai industri K-pop. Mereka mempengaruhi bukan sahaja idol K-pop pada zaman mereka, namun juga zaman kini.

Generasi keempat K-pop melihat mereka sebagai idola dan sebagai ikon yang seolah-olah telah membesarkan mereka untuk berjaya dalam industri.

BTS juga antara penggemar SNSD dan Sis ingat lagi dulu mereka menggunakan gaji pertama mereka untuk membeli album baharu SNSD ketika itu. Lagu mereka, “boy in luv” juga diinspirasi oleh ketua kumpulan SNSD, Taeyeon.

Jadi, jika ramai generasi sekarang mahu mempersoalkan adakah SNSD masih relevan di pentas K-pop kerana mereka sudah ‘berumur’, mereka perlu mempertimbangkan bahawa idol-idol mereka juga yang akan membeli album baharu SNSD.

SNSD satu kumpulan yang hanya berlaku sekali dalam sejuta seperti Wonder Girls dan 2NE1, tiga veteran K-pop dari SM, YG dan JYP yang sentiasa akan memegang  reputasi dalam kalangan peminat 2nd Gen sebagai kumpulan-kumpulan yang membentuk asas K-pop untuk wanita.

Kepulangan kumpulan ini dinanti-nantikan peminat K-pop lama. Ia seperti zaman kegemilangan K-pop kembali semula, di mana tidak berlakunya ‘peperangan’ dalam media sosial. Artis-artis mereka boleh berinteraksi dengan artis lain tanpa diheret ke dalam skandal dan dibenci orang lain.

Kembalinya sebuah kumpulan wanita yang menunjukkan mereka boleh berjaya walaupun industri K-pop penuh dengan peminat kumpulan lelaki.

SNSD bukan sekadar penyanyi, mereka ialah sebuah revolusi – kini, pada masa akan datang dan selamanya.

*Penulis adalah graduan kewartawanan UiTM.