JIKA anda peminat siri komedi Mr.Bean, perasan tak ada sebuah kereta biru beroda tiga dalam siri itu? Digambarkan dalam cerita lawak itu, Mr.Bean memang tak suka dengan kereta biru tersebut.

Uniknya kereta itu hanya mempunyai tiga tayar sahaja, satu di hadapan dan dua di bahagian belakang. Sebenarnya, kenderaan bertayar tiga ini suatu ketika dahulu pernah menjadi kenderaan utama untuk bergerak ke satu tempat ke satu tempat.

Kereta biru roda tiga dalam siri Mr.Bean.

Sekitar era tahun 60an sehingga tahun 80an, kenderaan ini salah satu pilihan utama sebagai pengangkutan awam. Namun, di Malaysia kenderaan jenis ini tidak pernah diguna pakai oleh industri automotif di negara kita. Tetapi ia terkenal di sesetengah negara Asia Tenggara.

Kenderaan beroda tiga ini antara salah satu pengangkutan yang amat penting dan sempat dikenali sebagai raja jalanan di sejumlah negara-negara Asia khususnya Indonesia, Filipina, Thailand. Begitu juga di India, kenderaan ini turut menjadi pengangkutan awam bagi penduduknya.

Di Indonesia misalnya, kenderaan tayar tiga ini dikenali sebagai Bemo yang diambil singkatan daripada Becak Motor- BEMO. Ia telah digunakan di Indonesia sejak awal tahun 1960-an terutamanya di kawasan-kawasan bandar seperti Jakarta dan Bandung. Kenderaan seperti ini dianggap sangat praktis kerana mampu menjangkau jalan-jalan yang sempit, berbecak di samping keupayaannya dipandu dengan laju.

Manakala di Filipina dan Thailand pula, kenderaan unik ini lebih glamor dengan nama Tuk-tuk. Ia juga dikenali sebagai beca berenjin yang menjadi pengangkutan awam di sana. Ia popular di beberapa bandar raya yang mengalami masalah kesesakan jalan raya yang teruk seperti di Bangkok dan Manila.

Bemo.
Tuk-tuk.

Tuk-tuk biasanya dibuat daripada keluli tahan tekan di mana rangkanya berperanan sebagai badan utama. Tempat duduk hadapan hanya memuatkan kerusi pemandu sahaja manakala tempat duduk belakang boleh memuatkan sekurang-kurangnya tiga penumpang. Lazimnya, Tuk-tuk dibina berasaskan model kereta Piaggio Ape dan Daihatsu Midget.

Berdasarkan catatan, pengeluar utama bagi kenderaan ini adalah negara India. Sehingga kini, kenderaan ini tetap menjadi salah satu pengangkutan awam di India selain sistem kereta api mereka.

Sejarah tentang kenderaan jenis ini sangat panjang. Sejak abad ke-15 lagi, Leonardo da Vinci telah mencipta satu lakaran primitif sebuah kereta roda tiga yang digerakkan dengan menggunakan mekanisme angin.

Kemudian, pada tahun 1769, seorang jurutera dari Perancis, Nicholas Cugnot telah mencipta sebuah kenderaan seperti traktor yang menggunakan tiga roda. Kenderaan ini menggunakan kuasa enjin stim.

Pada zaman dulu, kereta jenis ini digunakan untuk membawa muatan dalam bentuk barangan sahaja. Kenderaan jenis ini juga popular di kalangan penunggang motosikal. Ini kerana kenderaan ini dikategorikan sebagai sebahagian daripada motosikal. Oleh itu, mereka yang membawanya tidak memerlukan lesen memandu kereta.

Kereta jenis ini merupakan salah satu hasil kemajuan dalam industri automotif yang berkembang pesat sejak zaman dulu lagi, terutama dalam sektor ekonomi terpenting bagi kebanyakan negara-negara di dunia.

______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram