Setiausaha Agung Pas yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan. GAMBAR: Abd Razak Aid

SURUHANJAYA Tenaga (ST) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) masih menjalankan siasatan berhubung kejadian gangguan bekalan elektrik yang melibatkan beberapa kawasan di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia pada 27 Julai lalu.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, siasatan ini dijangka selesai dalam tempoh masa satu bulan daripada tarikh kejadian gangguan bekalan.

“Selain memastikan punca dan kesan gangguan, siasatan tersebut turut meneliti dan menentukan sama ada kejadian tersebut mematuhi Standard Prestasi Perkhidmatan (Guaranteed Service Level – GSL) TNB atau sebaliknya, dan seterusnya akan menjadi asas penentuan sama ada pelanggan yang terlibat layak diberikan rebat atau pun tidak.

“GSL merupakan dokumen GSL yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Tenaga dalam memastikan kualiti bekalan elektrik dan perkhidmatan yang diberikan oleh TNB dalam keadaan yang terbaik.

“Sekiranya pihak TNB gagal mematuhinya, penalti akan dikenakan dalam bentuk rebat kepada pengguna-pengguna yang terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca: Beberapa kawasan sekitar Lembah Klang alami gangguan elektrik

Kronologi gangguan bekalan elektrik utama di Malaysia

Menurut Takiyuddin, keputusan muktamad kelayakan pelanggan untuk mendapatkan rebat adalah tertakluk kepada hasil siasatan yang sedang dijalankan.

“GSL diwujudkan bagi menjaga kepentingan pengguna dan meningkatkan prestasi perkhidmatan TNB.

“GSL bekalan elektrik ini boleh didapati di laman sesawang Suruhanjaya Tenaga,” jelasnya.