KESETIAAN dan kejujuran semestinya menjadi tunjang dalam sesebuah perhubungan untuk terus kekal bersama. Perasaan itu harus hadir dari kedua-dua belah pihak dan berusaha bersama-sama untuk kekal bahagia.

Itulah intipati yang ingin disampaikan oleh penyanyi Jaclyn Victor dalam single terbaharunya yang bertajuk Perempuan.

Jaclyn bukanlah nama asing dalam industri muzik tanah air malahan dia telah mencipta kejayaan di beberapa anugerah muzik berprestij seperti Anugerah Juara Lagu, Anugerah Industri Muzik dan Anugerah Planet Muzik.

Lontaran vokalnya yang padu sentiasa menjadi tarikan. Kebolehan menyanyikan apa sahaja genre lagu menjadikan dirinya lebih unik.

Jaclyn kini kembali menyinari persada muzik tanah air dengan lagu terbaharu hasil ciptaan Johan John dan lirik oleh Khaleel. Lagu Perempuan ini menyelami perasaan dan harapan seorang perempuan terhadap pasangannya.

Selain rasa cinta yang mendalam, kejujuran juga sangat penting yang diharapkan oleh seorang perempuan terhadap pasangannya.

“Tiada apa yang diharapkan oleh seseorang daripada pasangannya selain kejujuran dalam perhubungan. Walaupun pelbagai ranjau dan rintangan yang perlu dihadapi, selagi pasangan itu jujur pasti sesebuah perhubungan itu dapat bertahan sehingga ke akhir hayat.

“Jadi, saya berharap buah tangan terbaharu saya ini akan digemari dan mendapat tempat di hati para peminat,” katanya.

Lagu Perempuan boleh didengari di semua pelantar digital dan muzik video boleh ditonton di saluran Youtube Alternate Records & Talents.