Tiga rakan karib maut selepas motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta yang dipercayai gagal memotong sebuah kenderaan lain di Kilometer 80 Jalan Jerangau-Jabor di Bukit Besi, Dungun, semalam.

Ketua Polis Daerah Dungun Supt Baharudin Abdullah berkata Muhammad Hafiqzie Mohd Zukri; Muhammad Salman Faris Samsu; dan Muhammad Faris Haikal Mohd Faizal, kesemuanya berumur 14 tahun maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Baharudin berkata polis menerima maklumat mengenai kemalangan tersebut pada pukul 9.25 malam dan siasatan awal mendapati kemalangan berlaku setelah sebuah Proton Iswara dari arah Jabor menghala ke Jerangau masuk ke laluan bertentangan untuk memotong sebuah kenderaan lain, namun telah bertembung dengan motosikal Honda EX5 yang dinaiki ketiga-tiga mangsa.

“Akibat kemalangan tersebut, penunggang iaitu Muhammad Faris Haikal dan dua lagi rakannya yang membonceng motosikal berkenaan, maut di tempat kejadian. Mereka difahamkan dalam perjalanan untuk ke kedai makan.

“Pemandu Proton Iswara iaitu seorang lelaki berumur 50 tahun dan penumpang hadapan, seorang wanita berumur 45 tahun serta dua kanak-kanak lelaki berumur enam dan tujuh tahun yang duduk di bahagian penumpang belakang mengalami kecederaan. Mereka kini dirawat di Hospital Dungun,” katanya ketika dihubungi awal pagi tadi.

Menurut Baharudin mayat ketiga-tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besi itu telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut.

Baca artikel berkaitan : Murid maut selepas rempuh MPV

Sementara itu, nenek Muhammad Faris Haikal, Nolida Ismail, 51, ketika ditemui di perkarangan Unit Forensik Hospital Dungun di sini, awal pagi ini berkata beliau menerima maklumat mengenai tragedi yang menimpa cucu kesayangannya itu melalui panggilan telefon daripada anak perempuanya yang tinggal di Kuala Terengganu.

“Ketika anak makcik iaitu ibu saudara Faris (Muhammad Faris Haikal) telefon memberitahu ada maklumat yang tular di kumpulan WhatsApp mengenai kemalangan membabitkan tiga ‘budak’ lelaki yang menaiki motosikal EX5 berwarna merah di situ (Bukit Besi). Makcik terus rasa tidak sedap hati kerana Faris baru sahaja keluar menunggang motosikal makcik yang juga jenis EX5 merah. Lagipun mereka bertiga memang selalu bersama ke mana-mana sahaja.

“Jadi makcik terus hubungi telefon bimbit Faris namun, panggilan tidak dijawab. Makcik pun semakin tidak sedap hati dan bergegas ke lokasi yang dimaklumkan. Apabila sampai makcik lihat motosikal makcik berada di situ dan mayat cucu serta rakan-rakannya telah diusung masuk ke dalam kenderaan polis,” katanya.

Nolida berkata beliau berasa sangat sedih kerana telah menjaga Muhammad Faris Haikal yang merupakan anak bongsu daripada 10 beradik, sejak lahir memandangkan kedua-dua ibu bapa remaja berkenaan telah berpisah dan bekerja di luar Terengganu.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram