WANITA ini bernama Martha Mason, lahir pada 31 Mei 1937 di Lattimore, sebuah bandar kecil di utara Carolina, Amerika Syarikat. Pada awalnya, Martha dilahirkan normal seperti bayi lain.

Dia membesar dengan sihat namun hanya sempat merasai kehidupan normal untuk tempoh 10 tahun. Sewaktu  berusia 11 tahun, beliau diserang penyakit polio sehingga menyebabkan tubuhnya lumpuh dari leher ke bawah secara kekal. Ketika itu sekitar tahun 1948, di mana wabak polio sedang ganas merebak ke serata dunia.

Tambah memilukan, Martha disahkan menghidap polio beberapa hari elepas kematian abangnya, Gaston Mason yang juga disebabkan oleh wabak polio.

Martha dilahirkan normal namun diserang penyakit polio ketika berusia 11 tahun.
Martha bersama abangnya Gaston yang meninggal angkara polio.

Penyakit Polio atau Poliomielitis berlaku akibat jangkitan virus yang berisiko menyebabkan kelumpuhan. Polio virus menjadi ejen pembawa penyakit ini yang masuk ke dalam badan manusia dan mencemarkan usus. Ia mampu memasuki saluran darah hingga ke saraf pusat menyebabkan kelemahan otot dan kelumpuhan.

Akibat penyakit yang dideritainya itu, daripada boleh berlari, Martha akhirnya hanya terbaring dan terpaksa tinggal dalam tabung besi. Wanita ini hanya mampu terbaring kaku dalam bekas silinder besi seberat 363 kilogram sepanjang tujuh kaki yang membaluti seluruh bahagian tubuhnya, kecuali kepala.

Keadaan wad yang menempatkan pesakit polio zaman dahulu. Ketika itu, tabung besi ini penting untuk pesakit polio bagi membantu pengaliran oksigen.

Tabung besi itu berfungsi untuk membantu mengalirkan oksigen kepada paru-paru Martha agar dia tetap bernafas. Ini kerana serangan polio telah melemahkan paru-parunya.

Walaupun terperangkap di dalam tabung besi itu, dalam keterbatasan Martha tetap bersemangat menjalani kehidupannya. Dia tetap bersekolah dengan kunjungan guru ke rumah.

Martha juga menyambung pengajian ke peringkat tertinggi dengan menghadiri kuliah menerusi webcam, sebuah kamera video digital kecil yang dihubungkan ke komputer. Ibu dan rakan-rakannya banyak membantu dalam menyelesaikan kerja sekolah, begitu juga tugasan kuliah.

Walaupun hidup terkurung, Martha mampu lulus dengan kepujian tertinggi dalam Ijazah Bersekutu dari Gardner-Webb College di Boiling Spring pada tahun 1958 dan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris dari Wake Forest College pada tahun 1960.

Martha ditemani ibunya sewaktu menerima ijazah.
Daripada normal, hidup Martha berubah setelah diserang polio.

Sebagaimana manusia normal lain,  kadangkala Martha menghadiri majlis makan malam. Dia makan dan minum dalam keadaan berbaring, sambil menikmati perbualan dan bergosip bersama rakan-rakan.

Selepas tamat belajar, Martha tidak hanya duduk diam. Dari kurungan besi itu, dia bekerja sebagai penulis untuk sebuah akhbar tempatan. Ibunya, Euphra, banyak membantunya untuk menulis kata-kata yang diucapkannya.

Bukan hanya keluarga, penduduk pekan Lattimore juga banyak membantu. Martha sering menerima kunjungan jiran tetangga yang sentiasa sedia menghulurkan bantuan. Doktor yang merawatnya juga kerap melawat. Jabatan bomba tempatan pula tidak pernah terlewat membantu menyelenggarakan mesin paru-parunya agar sentiasa berfungsi dengan baik.

Berkat bantuan dan sokongan yang tidak berbelah bahagi dari orang ramai, wanita bujang ini akhirnya mampu bertahan hidup lebih lama daripada jangkaan doktor.

Martha menerima banyak sokongan dan bantuan.

Pada tahun 1980-an, ibu tercinta yang banyak membantunya meninggal dunia selepas diserang strok. Ayah Martha pula telah meninggal dunia tiga tahun sebelum itu.

Selepas kematian ibunya, kehidupan Martha agak canggung kerana tiada lagi tempat untuknya bergantung harap. Sejak itu, dia memilih untuk kekal tinggal dalam tangki besi. Dengan harapan, cara itu beliau boleh berdikari sendiri, tanpa menyusahkan orang di sekelilingnya.

Martha turut menulis buku berjudul ‘Breath : Life in Rhythm of an Iron Lung’ yang menceritakan tentang perjalanan hidupnya. Kisahnya turut dijadikan filem dokumentari berjudul ‘Martha in Lattimore’ pada tahun 2005.

Setelah 61 tahun hidup di dalam tabung besi, akhirnya Martha menghembuskan nafas terakhir pada 4 Mei 2009, sebelum sempat menyambut ulang tahunnya yang ke 72.

Martha meninggal dunia dalam tidur di rumahnya, mengakhiri penderitaan yang ditanggungnya selama enam dekad. Martha juga merupakan pesakit polio yang paling lama bertahan hidup dengan penyakit tersebut.

______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram