اوليه ورتاون اوتوسن تي ۏي

ڤرتڠهن ابد ک-20 تله مڽقسيکن کمونچولن کواس بسر ڤنجاجه ياءيت جڤون يڠ برجاي مڠواساءي همڤير کسلوروهن ولايه اسيا تڠݢارا.

ڤد وقتو ترسبوت, مونچول سأورڠ توکوه ڤجواڠ دري کالڠن اڠݢوتا عسکر ملايو ياءيت ليفتنن عدنان.

بلياو سريڠ دديندڠکن سباݢاي ويرا ڤرڠ دنيا کدوا يڠ توروت سام ترقربان دمي ممڤرتاهنکن تانهاءير ترچينتا.

ليفتنن عدنان اتاو نام سبنر عدنان سايدي دلاهيرکن دکامڤوڠ سوڠاي رامل, کاجڠ دسلاڠور ڤد 14 اوݢوس 1915.

منوروت ڤنوليس بوکو, ليفتنن عدنان سايدي ڤهلاون بوکيت چندو, کولونل رملي ابو بکر, ليفتنن عدنان مولا ممڤلاجري علمو ڤرسيلتن سلڤس بلياو دان راکن قريب, اسمعيل ماليم امس دڤوکول تروق اوليه سکومڤولن انق مودا کتيک ڤرتنديڠن بولا سيڤق.

ليفتنن عدنان تله ممڤبلجري علمو ڤرسيلتن درڤد توق ڤنديکر سوتن باءوق بسر يڠ هندل دڠن سيلت تريلق.

دکاتاکن, توق ڤنديکر ساڠت منيتيقبرتکن ڤميليهن انق موريد دان باڽق اوجين يڠ ڤرلو دلاکوکن.

“ڤد کتيک ايت, علمو ڤنديکر ممبيذاکن انتارا انق٢ مودا کامڤوڠ سام اد مريک ايڠين دکنلي کران کهندلن دان ستروسڽ دحرمتي اتاو سباليقڽ,” تمبه رملي.

سلڤس همڤير دوا تاهون ممڤلاجري علمو سيلت, ڤنچاڤاين ليفتنن عدنان تله مننديڠي راکن سڤرجواڠن يڠ لبيه لاما برلاتيه.

ساله سأورڠڽ اياله شعيب يڠ مروڤاکن انق موريد ترتوا دان اورڠ کانن توق ڤنديکر تله چمبورو اکن کبوليهن ليفتنن عدنان.

ڤرکارا ترسبوت دسدري اوليه توق ڤنديکر يڠ کمودينڽ مڠعمومکن ماهو مڠاداکن اوجين کبطينن سماس ڤنامت لاتيهن ڤرݢوروان.

ترداڤت 12 اورڠ انق موريد ترماسوق ليفتنن عدنان دان شعيب يڠ سڠݢوڤ دأوجي کهيبتنڽ.

اوجين ڤرتام, مريک دکهندقي منومڤسکن ڤيهق لاون سأورڠ ملاون سأورڠ. دالم اوجين کدوا ڤولا دکهندقي ملاون تيݢ اورڠ دالم ساتو ماس.

ڤريڠکت کتيݢ ڤرلو برلاون دڠن تيݢ اورڠ دالم کأداءن مات ترتوتوڤ. ڤريڠکت کأمڤت ڤولا مريک دکهندقي مندي ميڽق ڤانس.

دچريتاکن, شعيب دان ليفتنن عدنان برجاي ملاکوکن اوجين ترسبوت ستله مڠيکوت ارهن توق ڤنديکر دڠن ممباچ منترا.

ماله, ڤد ڤريڠکت کليم, مريک دأوجي دڠن ملاکوکن علمو ڤاتيݢيني ياءيت دبنرکن ماکن برتيه سباڽق بيلڠن هاري يڠ دلاکوکن.

ترڽات, کدوا-دواڽ سام هندل لالو برجاي مارا کڤريڠکت ستروسڽ ياءيت ملومڤت کدالم لوبڠ يڠ دباوهڽ بولوه رونچيڠ يڠ ترچاچڠ تله مننتي.

ليفتنن عدنان دان شعيب برجاي منمڤوه کسموا ڤريڠکت لالو دڤرتموکن دݢلڠݢڠ باݢي برادو تناݢ سرتا کتڠکسن.

“ليفتن عدنان يڠ کنيک ايت براوسيا 17 تاهون برجاي منومڤسکن لاونڽ دڠن مڠونچي ݢرق لڠکه شعيب دڠن کونچي ڤاسق بومي ستله همڤير دوا جم برتاروڠ,” جلس رملي.

شعيب اکور اکن کهيبتن ليفتنن عدنان دان بلياو بردوا دأنوݢرهي سليمڤڠ ميره سرتا دأشتهارکن سباݢاي کتوا ݢلڠݢڠ مڠݢنتيکن شعيب سجق هاري ترسبوت.

برباليق کڤد کرجاي کتنتراءن. رملي برکات, ليفتنن عدنان تله دتولياهکن سباݢاي ڤݢلواي برڤڠکت ليفتنن مودا ڤد ڤرتڠهن تاهون 1939.

“بلياو دماسوقکن کريجيمن ڤرتام عسکر ملايو دڠن مڠتواءي ڤلاتون 7 کومڤنيC  دان منريما ݢاجي بولنن سباڽق 125$,” کاتاڽ دالم بوکو ترسبوت.

ليفتنن عدنان کمودين منديريکن رومه تڠݢ دڠن صوڤيه سکمباليڽ دري لندن لالو برڤينده کسيڠاڤورا باݢي مڠيکوتي اتور ݢرق ڤاسوقن ڤرتام ريجيمن عسکر ملايو.

اڤبيلا بريتا ڤڤرڠن ڤرڠ دنيا کدوا سماکين همڤير, ليفتنن عدنان مڠهنتر ڤولڠ کلوارݢاڽ کمبالي ککاجڠ ڤد ديسيمبر 1941.

ڤد فيبرواري 1942, جڤون تله مڠارهکن ساتو ڤاسوقن ديۏيشن يڠ دأڠݢوتاءي ريجيمن ک-56, ريجيمن ک-55 دان ريجيمن ک-114 اونتوق مناون بوکيت ڤاسير ڤنجڠ.

باݢايماناڤون, سبلوم مناون بوکيت ڤاسير ڤنجڠ, لوکاسي عسکر ملايو دبونا ۏيستا هندقله دتاون باݢي ممودهکن جڤون مڽکت کدودوقن ڤرتاهنن ڤيهق لاون.

دري ڤاݢي هيڠݢ مالم 13 فيبرواري 1942, لوکاسي ڤلاتون ليفتنن عدنان تيدق ترلڤس درڤد ساسرن مريام جڤون.

ڤد 14 فيبرواري, بونا ۏيستا تله دسرڠ اوليه ڤساوت ڤجواڠ سبلوم دسرڠ اوليه ريبوان عسکر جڤون سجم کمودين.

اسقن دمي اسقن دلاکوکن اوليه ڤيهق جڤون دري سݢنڤ ڤنجورو, نامون ساکي باکي عسکر ملايو دباوه کڤيمڤينن ليفتنن عدنان ماسيه اڠݢن براوندور.

ليفتنن عدنان کمودين تله مڠارهکن اڠݢوتاڽ براوندور ستله منداڤتي کومڤينيC  تياد کموديڽ لاݢي.

سباءيق سهاج مريک کلوار دري کوبو, ساتو دمي ساتو اڠݢوتا ݢوݢور کبومي دان منجادي ساسرن دان تيمبقن تنترا جڤون.

نامون, تيبا٢ سبوتير ڤلورو مورتر ترجاتوه برهمڤيرن ليفتنن عدنان سهيڠݢ مڽببکن بلياو تردمڤر جاتوه کدالم کوبو دان چدرا دڤاها کيري.

ڤرکارا تربابيت تيدق مماتهکن سماڠت اونتوقڽ بڠکيت ملاون ڤنجاجه دڠن مڠيکت دان ممبالوت لوکاڽ.

ليفتنن عدنان کمودين مڠارهکن ليفتنن مودا عباس براوندور دان ممباوا اڠݢوتاڽ کلوار دري ميدن ڤرتمڤورن ستله منداڤتي تياد باڽق يڠ بوليه دلاکوکن. ليفتنن عدنان ڤولا منوڠݢو دان ممبونوه تنترا جڤون يڠ سدڠ مڠݢيلا.

ڤيهق جڤون يڠ ترنمڤق ليفتنن عدنان تروس منرکم نامون ليفتنن عدنان لبيه ڤانتس منوسوق جنتوڠ مريک دڠن بينيت.

مليهت کجادين ايت, ميجر کيمورا يڠ سوده لاما بردندم دڠن ليفتنن عدنان تله مڠهالڠ اڠݢوتاڽ درڤد تروس مراڤت.

ميجر کيمورا دان ليفتنن عدنان دکاتاکن تله برلاون همڤير 30 مينيت سبلوم بينيت يڠ دڤݢڠ اوليه ليفتنن عدنان ترتوسوق کڤروت ڤنجاجه جڤون ايت.

“کولونل سابورو يڠ توروت براد دلوکاسي برتيندق منراجڠ دان مڠهنتق کڤالا ليفتنن عدنان دڠن سناڤڠڽ سمبيل تنتراڽ برترياق بنزاي, بنزاي, بنزاي”.

بوکيت چندو برݢما دڠن لاءوڠن کݢمبيراءن تنترا جڤون يڠ داڤت مڠالهکن ڤهلاون ملايو مسکيڤون ترڤقسا مڠوربانکن راتوسن اڠݢوتا سباݢاي ݢالڠ ݢنتي.

Leftenan Adnan, pahlawan Bukit Chandu yang handal dalam ilmu silat


PERTENGAHAN abad ke-20 telah menyaksikan kemunculan kuasa besar penjajah iaitu Jepun yang berjaya menguasai hampir keseluruhan wilayah Asia Tenggara.

Pada waktu tersebut, muncul seorang tokoh pejuang dari kalangan anggota Askar Melayu iaitu Leftenan Adnan.

Beliau sering didendangkan sebagai wira Perang Dunia Kedua yang turut sama terkorban demi mempertahankan tanah air tercinta.

Leftenan Adnan atau nama sebenar Adnan Saidi dilahirkan di Kampung Sungai Ramal, Kajang di Selangor pada 14 Ogos 1915.

Menurut penulis buku Leftenan Adnan Saidi Pahlawan Bukit Chandu, Kolonel Ramli Abu Bakar , Leftenan Adnan mula mempelajari ilmu persilatan selepas beliau dan rakan karib, Ismail Malim Emas dipukul teruk oleh sekumpulan anak muda ketika pertandingan bola sepak.

Leftenan Adnan telah mempelajari ilmu persilatan daripada Tok Pendekar Sutan Bauk Besar yang handal dengan Silat Terelak.

Dikatakan, Tok Pendekar sangat menitikberatkan pemilihan anak murid dan banyak ujian yang perlu dilakukan.

“Pada ketika itu, ilmu pendekar membezakan antara anak-anak muda kampung sama ada mereka ingin dikenali kerana kehandalan dan seterusnya dihormati atau sebaliknya, ” tambah Ramli.

Selepas hampir dua tahun mempelajari ilmu silat, pencapaian Leftenan Adnan telah menandingi rakan seperjuangan yang lebih lama berlatih.

Salah seorangnya ialah Shuib yang merupakan anak murid tertua dan orang kanan Tok Pendekar telah cemburu akan kebolehan Leftenan Adnan.

Perkara tersebut disedari oleh Tok Pendekar yang kemudiannya mengumumkan mahu mengadakan ujian kebatinan semasa penamat latihan perguruan.

Terdapat 12 orang anak murid termasuk Leftenan Adnan dan Shuib yang sanggup diuji kehebatannya.

Ujian pertama, mereka dikehendaki menumpaskan pihak lawan seorang melawan seorang. Dalam ujian kedua pula dikehendaki melawan tiga orang dalam satu masa.

Peringkat ketiga perlu berlawan dengan tiga orang dalam keadaan mata tertutup. Peringkat keempat pula mereka dikehendaki mandi minyak panas.

Diceritakan, Shuib dan Leftenan Adnan berjaya melakukan ujian tersebut setelah mengikut arahan Tok Pendekar dengan membaca mantera.

Malah, pada peringkat kelima, mereka diuji dengan melakukan ilmu patigeni iaitu dibenarkan makan bertih sebanyak bilangan hari yang dilakukan.

Ternyata, kedua-duanya sama handal lalu berjaya mara ke peringkat seterusnya iaitu melompat ke dalam lubang yang di bawahnya buluh runcing yang tercacang telah menanti.

Leftenan Adnan dan Shuib berjaya menempuh kesemua peringkat lalu dipertemukan di gelanggang bagi beradu tenaga serta ketangkasan.

“Leftenan Adnan yang ketika itu berusia 17 tahun berjaya menumpaskan lawannya dengan mengunci gerak langkah Shuib dengan kunci pasak bumi setelah hampir dua jam bertarung, ” jelas Ramli.

Shuib akur akan kehebatan Leftenan Adnan dan beliau berdua dianugerahi selempang merah serta diisytiharkan sebagai Ketua Gelanggang menggantikan Shuib sejak hari tersebut.

Berbalik kepada kerjaya ketenteraan. Ramli berkata, Leftenan Adnan telah ditauliahkan sebagai pegawai berpangkat Leftenan Muda pada pertengahan tahun 1939.

“Beliau dimasukkan ke Rejimen Pertama Askar Melayu dengan mengetuai Platun 7 Kompeni C dan menerima gaji bulanan sebanyak $125,” katanya dalam buku tersebut.

Leftenan Adnan kemudian mendirikan rumah tangga dengan Supiah sekembalinya dari London lalu berpindah ke Singapura bagi mengikuti atur gerak Pasukan Pertama Rejimen Askar Melayu.

Apabila berita peperangan Perang Dunia Kedua semakin hampir, Leftenan Adnan menghantar pulang keluarganya kembali ke Kajang pada Disember 1941.

Pada Februari 1942, Jepun telah mengarahkan satu pasukan divisen yang dianggotai Rejimen ke-56, Rejimen ke-55 dan Rejimen ke -114 untuk menawan Bukit Pasir Panjang.

Bagaimanapun, sebelum menawan Bukit Pasir Panjang, lokasi Askar Melayu di Buona Vista hendaklah ditawan bagi memudahkan Jepun menyekat kedudukan pertahanan pihak lawan.

Dari pagi hingga malam 13 Februari 1942, lokasi platun Leftenan Adnan tidak terlepas daripada sasaran meriam Jepun.

Pada 14 Februari, Bouna Vista telah diserang oleh pesawat pejuang sebelum diserang oleh ribuan askar Jepun sejam kemudian.

Asakan demi asakan dilakukan oleh pihak Jepun dari segenap penjuru, namun saki baki Askar Melayu di bawah kepimpinan Leftenan Adnan masih enggan berundur.

Leftenan Adnan kemudian telah mengarahkan anggotanya berundur setelah mendapati Kompeni C tiada kemudinya lagi.

Sebaik sahaja mereka keluar dari kubu, satu demi satu anggota gugur ke bumi dan menjadi sasaran dan tembakan tentera Jepun.

Namun, tiba-tiba sebutir peluru mortar terjatuh berhampiran Leftenan Adnan sehingga menyebabkan beliau terdampar jatuh ke dalam kubu dan cedera di paha kiri.

Perkara terbabit tidak mematahkan semangat untuknya bangkit melawan penjajah dengan mengikat dan membalut lukanya.

Leftenan Adnan kemudian mengarahkan Leftenan Muda Abbas berundur dan membawa anggotanya keluar dari medan pertempuran setelah mendapati tiada banyak yang boleh dilakukan. Leftenan Adnan pula menunggu dan membunuh tentera Jepun yang sedang menggila.

Pihak Jepun yang ternampak Leftenan Adnan terus menerkam namun Leftenan Adnan lebih pantas menusuk jantung mereka dengan benet.

Melihat kejadian itu, Mejar Kimura yang sudah lama berdendam dengan Leftenan Adnan telah menghalang anggotanya daripada terus merapat.

Mejar Kimura dan Leftenan Adnan dikatakan telah berlawan hampir 30 minit sebelum benet yang dipegang oleh Leftenan Adnan tertusuk ke perut penjajah Jepun itu.

“Kolonel Saburo yang turut berada di lokasi bertindak menerajang dan menghentak kepala Leftenan Adnan dengan senapangnya sambil tenteranya berteriak Banzai, Banzai, Banzai”.

Bukit Chandu bergema dengan laungan kegembiraan tentera Jepun yang dapat mengalahkan pahlawan Melayu meskipun terpaksa mengorbankan ratusan anggota sebagai galang ganti.