FILEM bergenre komedi romantik, Gadis Jolobu The Movie arahan CL Hor bukan sahaja mengetengahkan dialek Negeri Sembilan, malah, mengangkat keunikan adat pepatih dan keunikan budaya Minangkabau sebagai tarikan.

Projek mega dimeterai antara syarikat hiburan terkemuka Asia Pasifik, Tremendous Entertainment dan Zebra Studio Sdn Bhd diterajui pelakon, penyanyi dan pelawak berpengalaman seperti Datuk Hattan, Khir Rahman, Joey Daud serta memperkenalkan bintang baharu yang juga pengacara, Ahirine Ahirudin.

Pengasas dan Pengarah Zebra Studio, Saraleana Nattaya Azmi berkata, idea menghasilkan filem ini tercetus ketika bertemu dengan Hattan pada 2019.

Saraleana mahu bawa Gadis Jolobu The Movie ke peringkat global

“Ia susulan sambutan lagu duet Hattan bersama Waris, Gadis Jolobu meraih tontonan hampir 10 juta menerusi laman YouTube.

“Sebagai legenda rock, Hattan tidak pernah memegang watak hero sepanjang berkecimpung dalam industri seni tanah air,” katanya.

Hattan dan Ahirine yang merupakan teraju utama filem ini

Ujar Saraleana lagi, pihaknya juga ada berbincang dengan Hattan untuk menghasilkan filem yang mempunyai elemen muzikal dan banyak lagu seperti zaman Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan filem Bujang Lapok dulu.

“Bukan senang menampilkan filem genre komedi yang ada sentuhan klasik, tetapi pengarah berpengalaman seperti CL Hor berjaya merealisasikannya,” jelasnya.

Mengulas penampilan Ahirine, kata Saraleana, sebagai penerbit, visinya mahu mengetengahkan bakat baharu dalam industri seni.

“Pengarah, CL Hor sendiri memilih Ahirine menerusi proses uji bakat. Ahirine bukan sahaja memiliki kecantikan asli, malah, sanggup belajar dialek Negeri Sembilan walaupun dibesarkan di bandar.

“Saya berpuas hati dengan hasil lakonan Ahirine sebagai muka baharu dalam industri seni,” katanya.

Beralih cabaran sebagai penerbit, Saraleana berkata, dia perlu menyelesaikan penggambaran filem Gadis Jolobu The Movie dalam tempoh 14 hari seperti yang ditetapkan.

“Penggambaran filem membabitkan lokasi sawah padi di Kampung Lonek, Batu Kikir, Negeri Sembilan pada Mac lalu.

“Saya turun padang dalam keadaan cuaca panas untuk memastikan filem ini selesai penggambaran dalam tempoh ditetapkan.

“Saya bersyukur Golden Screen Cinemas (GSC) memberi sokongan pada pembikinan filem dan memilih tarikh tayangannya pada 4 Ogos ini,” ungkapnya.

Menyentuh soal kutipan filem, Saraleana berkata, dia tidak mensasarkan kutipan pecah panggung di pawagam tempatan.

“Kami terbit filem Gadis Jolobu The Movie untuk pasaran Malaysia dan peringkat global.

“Selepas selesai tayangan di pawagam tempatan pada Ogos, filem ini akan di bawa ke Brunei, Indonesia dan Thailand.

“Kami juga merancang untuk melakukan wayang pacak filem Gadis Jolobu The Movie sekitar Negeri Sembilan pada September depan,” katanya.

Sementara itu, CL Hor berkata, dia percaya filem ini memiliki keunikan yang mampu berdiri setanding dengan filem genre lain.

CL Hor mahu perkenalkan Malaysia ke mata dunia menerusi filem Gadis Jolobu The Movie

“Gadis Jolobu, filem adat dan budaya yang berwarna-warni dengan sinematografi persekitaran kampung. Ditambah pula, elemen komedi untuk menambahkan perisa memperkenalkan Malaysia di mata dunia.

“Jujurnya, saya sudah lama mengimpikan menghasilkan filem budaya tempatan sebab saya selalu melihat Malaysia mempunyai banyak tarikan lokasi yang cantik.

“Saya berpeluang menjayakan penggambaran di kawasan kampung, ia seperti impian menjadi kenyataan menerusi filem Gadis Jolobu.

“Saya juga membawakan ‘feel’ kampung ke layar perak agar dapat memperkenalkan lokasi Malaysia di mata dunia.

“Menerusi karya komersial terdahulu, saya selalu mengetengahkan budaya tempatan, jadi itu juga yang ditonjolkan dalam filem Gadis Jolobu,” kongsinya.

Filem Gadis Jolobu The Movie akan menemui penonton di pawagam GSC di seluruh negara pada 4 Ogos ini, manakala platform Over-The-Top (OTT), Get PLAY tidak lama lagi.

Menerusi filem ini, Hattan membawa watak Atan, Joey Daud (Ajoi), Khir Rahman (Acong) dan Ahirine (Jijah).

Gadis Jolobu The Movie memaparkan kisah tiga bujang terlajak yang rapat sejak kecil dan berusaha mencari jodoh di kampung halaman.

Sumpahan ‘lambat sunat, lambatlah kahwin’ sering bermain dalam fikiran menyebabkan mereka berusaha mencari jodoh walaupun menghadapi pelbagai dugaan.