BIARPUN dikenakan upah penghantaran sebanyak RM6,000 seorang dan perlu bersesak di dalam kenderaan. Itu bukan masalah kepada 25 orang pendatang asing tanpa izin (PATI).
Namun hasrat mereka termasuk enam wanita mencari pekerjaan di ibu negara tidak kesampaian apabila kenderaan dinaiki ditahan polis dalam kejadian tengah hari semalam di Jalan Selinsing Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 12.05 tengah hari berlaku ketika polis sedang membuat rondaan di sekitar Jalan Manjoi 3, Taman Sri Kuching dan mendapati sebuah Toyota Vellfire warna Hitam dipandu dalam keadaan mencurigakan.
Beliau berkata, semasa menghampiri kenderaan itu, pemandunya bertindak memecut laju dan enggan menghentikan kereta tersebut memaksa polis mengejarnya.
Katanya, sampai di Jalan Selinsing, kenderaan itu melanggar empat motosikal termasuk ditunggang seorang anggota polis yang sedang bertugas sehingga menyebabkan ianya terbabas.
“Hasil siasatan mendapati pemandu motokar tersebut merupakan seorang lelaki warga tempatan berusia 17 tahun manakala di bahagian tempat duduk belakang terdapat 19 orang lelaki dan enam orang perempuan warga asing lingkungan 15 tahun hingga 39 tahun.
“Semakan identiti kesemua penumpang mendapati kesemuanya adalah pendatang asing tanpa izin dan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan peribadi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Eng Lai berkata, pemandu itu kemudiannya ditahan manakala seorang lagi rakannya berjaya melarikan diri.
Menurutnya, suspek bertolak dari Rantau Panjang, Kelantan menuju ke Kuala Lumpur pada pagi Selasa pukul 3 pagi untuk menghantar kesemua warga asing mencari pekerjaan.
“Bayaran yang dikenakan kepada setiap individu PATI oleh penghantar atau tekong adalah sebanyak RM6,000.
“Kesemua suspek direman bermula hari ini untuk membantu siasatan. Kes disiasat dibawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 186 Kanun keseksaan,” katanya.

