Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Kabinet Bagi Kesejahteraan Golongan Rentan, hari ini.

KERAJAAN akan mewujudkan satu rangka tindakan dan menubuhkan sebuah jawatankuasa berhubung isu gelandangan bagi menetapkan hala tuju berkaitan isu tersebut.

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat pertama Jawatankuasa Kabinet Bagi Kesejahteraan Golongan Rentan yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini.

Perdana Menteri berkata, rangka tindakan dan jawatankuasa itu penting kerana buat masa ini, tiada punca kuasa dan perundangan khusus dalam pengoperasian serta pengendalian gelandangan di Malaysia.

Menurut beliau, kerajaan juga telah mengambil pendekatan usaha sama dengan pelbagai pihak bagi menangani isu gelandangan dalam membantu golongan berkenaan menjalani kehidupan lebih sejahtera.

“Antara program sedia ada di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan adalah Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur, Rumah Bimbingan Gelandangan dan Pusat Transformasi Anjung Kelana.

“Mesyuarat bersetuju untuk mewujudkan rangka tindakan dan penubuhan jawatankuasa mengenai isu gelandangan bagi menetapkan hala tuju berkaitan isu tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: PM ucap tahniah skuad badminton rampas semula emas

Mengulas mengenai mesyuarat pertama Jawatankuasa Kabinet Bagi Kesejahteraan Golongan Rentan itu, Perdana Menteri memaklumkan, ia merupakan platform khas untuk meneliti secara menyeluruh isu berkaitan pusat jagaan golongan rentan di negara ini.

Kata beliau, penubuhan jawatankuasa itu bagi merangka pendekatan holistik untuk memastikan kebajikan serta kesejahteraan mereka dilindungi daripada manipulasi, pengabaian dan penganiayaan.

“Saya telah mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Kabinet Bagi Kesejahteraan Golongan Rentan yang dihadiri oleh menteri-menteri; timbalan-timbalan menteri berkaitan serta pegawai-pegawai kanan kementerian dan jabatan terlibat.

“Definisi golongan rentan kini diperluas kepada 12 golongan antaranya gelandangan, individu tanpa dokumen perjalanan, pelarian, pesakit penyakit berjangkit, miskin dan sebagainya.

“Keahlian jawatankuasa ini juga akan diperluas dengan penyertaan oleh wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan bagi penyelarasan perlindungan golongan rentan,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram