SELEPAS lima tahun sepi tanpa penganjuran, tahun ini Anugerah Industri Muzik (AIM) kini kembali dengan 26 kategori yang dipertandingkan.

Menerusi edisi ke-23 itu juga, ia menyaksikan anugerah berprestij itu menjanjikan sebuah acara yang menarik selain mengiktiraf karya dan bakat penggiat seni tanah air.

Selaku penganjur utama, Industri Rakaman Malaysia (RIM) amat teruja melihat muzik anak tempatan termasuklah lagu atau album bahasa Melayu, Cina dan India yang dikeluarkan di Malaysia sepanjang penghasilan dari 1 Januari 2021 hingga 30 Jun 2022 dicalonkan dan akan diumumkan dalam satu malam.

“Sekian lama AIM tidak dianjurkan yang mana kali terakhir ialah pada 2016. Kali ini kami menjanjikan sebuah acara yang penuh berprestij sekaligus mengiktiraf hasil kerja pengkarya seni tanah air.

“Dah agak lama pengamal industri muzik tempatan tidak mendapat pengiktirafan yang sewajarnya, terutama penghormatan yang diperolehi dengan memenangi AIMI,” kata Rosmin Hashim, Pengerusi RIM dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM23.

Dalam pada itu, Rosmin turut menjawab mengenai tempoh penilian pencalonan lagu yang hanya mengambil kira dari setahun setengah lalu yang dilihat akan memberi ruang terhad kepada pengkarya lain.

“Sebelum membuat sebarang keputusan, kami sudah duduk berbincang dan akhirnya sepakat dengan menetapakn tempoh masa setahun setengah. Ia adalah yang terbaik.

“Bukan bermakna lagu-lagu sebelum ini tidak bagus cuma kami anggap tiada rezeki kerana mahu AIM ini dilihat ‘up to date’.

“Kami dah maklumkan lebih awal kepada syarikat rakaman dan artis. Pihak mereka sudah jelas serta memahami garis pencalonan yang telah kami tetapkan,” jelasnya kepada URTV.

Tempoh pencalonan dibuka bermula 27 Julai lalu dan berakhir pada Jumaat ini, pukul 5 petang.

Penghakiman untuk pencalonan yang diterima akan dikendalikan oleh panel hakim yang terdiri daripada pengamal yang dihormati dan pakar terkemuka daripada pelbagai disiplin dalam industri muzik tempatan, diketuai oleh Ketua Hakim yang dilantik oleh Jawatankuasa Penganjur AIM.

AIM akan diadakan pada 11 September depan di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Selangor dan akan disiarkan secara langsung di Astro Ria.

KATEGORI ANUGERAH

Artis Baru Terbaik
Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki)
Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita)
Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Berkumpulan)
Persembahan Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik Di Dalam Lagu
Video Muzik Terbaik
Runut Bunyi (OST) Terbaik Di Dalam Filem/Drama
Lagu Rock Terbaik
Lagu Pop Terbaik
Lagu R&B/Hip Hop Terbaik
Lagu Pop Elektronik/Dance Terbaik
Lagu Inggeris Tempatan Terbaik
Lagu Cina Tempatan Terbaik
Lagu India Tempatan Terbaik
Lagu Melayu Terbaik Yang Dipersembahkan Oleh Artis Luar Negara
Lagu Nasyid Terbaik
Lagu Pop Etnik Terbaik

Lagu Terbaik

Anugerah Sri Wirama
Kulit Single/Album Terbaik
Rakaman Album Terbaik
Rakaman Lagu Terbaik
Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu
Lagu Paling Tinggi Distrim
Lagu Nada Dering Jualan Paling Tinggi
Anugerah Sri Wirama