Muhammad Azeem mencatat rekod baharu 100 meter (m) kebangsaan dengan catatan 10.09 saat (s) pada aksi saringan Kejohanan Olahraga Bawah 20 tahun Dunia di Cali, Colombia. /Gambar Fb KBS

ATLET pecut muda negara, Muhammad Azeem Fahmi mencipta sensasi di bumi Cali, Colombia selepas berjaya menempatkan diri sebagai pelari kelima terpantas dunia pada Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun (B-20).

Kejayaan itu sekali gus mengesahkan kehadiran atlet kelahiran Perak berusia 18 tahun itu dalam acara 100 meter (m) dunia.

Tidak keterlaluan dikatakan Malaysia kini sudah pun boleh ‘berharap’ untuk mempunyai seorang pelari pecut yang mampu bersaing di peringkat dunia.

Ini selepas Muhammad Azeem menamatkan final Kejohanan Olahraga Dunia B-20 dengan merekodkan 10.14s dalam saingan di Stadium Olimpik Pascual Guerrero, pagi tadi waktu Malaysia.

Malah, Muhammad Azeem juga boleh dikatakan pelari kedua terpantas Asia B-20 di belakang jaguh Thailand, Puripol Boonson yang mencatatkan 10.12s untuk menduduki tempat keempat.

Dalam ciapan di Twitter, Muhammad Azeem yang memecahkan rekod kebangsaan dengan catatan 10.09s dalam pusingan awal semalam mengucapkan terima kasih atas sokongan rakyat Malaysia.

“Kelima di dunia, terima kasih Malaysia,” katanya.

Baca artikel berkaitan: Tak mustahil Azeem pecah lagi rekod pada semi final – Jurulatih

Menerusi ciapan berasingan, beliau turut menyifatkan pencapaian itu hanya permulaan dan akan memberi tumpuan kepada acara 200m yang dijadualkan berlangsung esok.

“Ini hanya permulaan, memperkenalkan diri saya kepada dunia, ya kita ke hadapan! Esok 200m,” katanya.

Saingan final 100m itu telah diungguli atlet Botswana, Letsile Tebogo yang mencatatkan 9.91s sekali gus memecahkan rekod dunia B-20 milik atlet Amerika Syarikat, Trayvon Bromell pada tahun 2014.

Rekod dicipta atlet berusia 19 tahun itu menyaksikan beliau meninggalkan pelari Jamaica, Bouwahjgie Nkrumie dengan catatan 10.02 di tempat kedua manakala Benjamin Richardson dari Afrika Selatan di tempat ketiga.

Muhammad Azeem akan turun dalam acara 200m yang dijadual bermula awal pagi esok.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram