PENYANYI Elyana meluahkan rasa kesal terhadap komen yang menuduh dirinya sengaja meraih perhatian dek kerana sering berkongsi keadaan kesihatannya.

Sebelum ini dia merahsiakan sakit kanser limfoma yang dihidapi selama lapan tahun kerana enggan orang ramai meletakkan tanda simpati terhadap kondisi dirinya ketika itu.

Namun, sejak Elyana atau Erneelya Elyana Emrizal,32, berkongsi mengenai penyakitnya sekitar 2017, dia menerima banyak komen-komen yang memberi semangat dan ada juga yang melemparkan kecaman negatif.

Terbaharu, Elyana menerusi Instagram Story miliknya, berang apabila ada individu yang menghantar mesej langsung (DM) yang mendakwa dia sengaja mencari simpati selain turut menegur mengenai auratnya.

“Cari simpati? Ayat paling pantang telinga aku dengar! Inilah sebab aku ambil masa lapan tahun untuk tidak mahu beritahu aku sakit…sebab tiada guna pun.

“Aku buat keputusaan salah. Terima kasih rakyat Malaysia yang tinggi ilmu agama. Bab komen fasal agama memang nombor satu.

“Solat lima waktu jangan tinggal pula,” tulisnya.

Sebelum ini, Elyana berkongsi mengenai Kesah yang merupakan perkongsian dirinya sebagai penghidap kanser menerusi saluran Youtube.

Walau bagaimanapun, hantaran terbabit mendapat perhatian individu tersebut yang meninggalkan komen berbbunyi,”Kesah pun kisah juga, tapi kisahkan fasal aurat itu.

“Dah sihat, dah mula pula nampak rambut…dah mula tak pakai tudung betul-betul…terus istiqomah.

“Jangan lupa, Allah dah bagi peluang kedua tu, tak semua orang dapat. Jangan sia-siakan.

“Esok bila dah mula lupa dan langgar yang dilarang, Allah bagi semula penyakit tu, mungkin lagi teruk (minta jauh).

“Masa itu, jangan bising dan posting kononnya mohon doa dan mohon kesian orang…menyampah dah masa tu. Silap diri sendiri. Jangan bising pula orang kecam-kecam masa tu,” tulis individu terbabit.

Menyifatkan komen tersebut sebagai biadab, penyanyi lagu Kalis Pilu itu turut meminta individu terbabit untuk bersemuka.

“Niat nak bagi nasihat tapi biadab. Meh sini jumpa depan-depan, berani tak kak?

“Mungkin dulu saya tak suka menjawab tapi itu tidak adil untuk diri saya yang sering dihina! Dipijak! Masa nak minta pendapat, bila awak sakit, keluarga dan kawan sakit, terus datang pada saya untuk bertanya tanpa rasa bersalah.

“Apa jenis manusiakah anda?,” tempelak Elyana.