Balai perlepasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, 8 September lalu. GAMBAR: Abd Razak Aid

JABATAN Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini menafikan dakwaan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang Pegawai Imigresen seperti yang tular semalam.

JPA dalam kenyataan memaklumkan, laporan berita yang tular berhubung insiden yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pagi semalam itu adalah tidak tepat.

Menurut JPA, KPPA sebenarnya telah menegur pihak Imigresen kerana pegawai bertugas tidak menyemak dokumen perjalanan dan pasport KPPA serta delegasi ke luar negara.

Jelas kenyataan itu, malah mereka diarahkan terus ke kaunter pemeriksaan kastam untuk meneruskan perjalanan.

“JPA berpandangan bahawa ketidakpatuhan dalam menyemak dokumen imigresen seperti pasport adalah satu kesalahan yang serius di sisi undang-undang.

“Malah, pegawai yang tidak mematuhi peraturan imigresen ke luar negara boleh diambil tindakan tatatertib,” jelas kenyataan tersebut.

Baca artikel berkaitan: Imigresen diarah siasat dakwaan pegawainya ditengking pegawai tinggi kerajaan di KLIA – Hamzah

Mengulas lanjut, JPA berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan menegaskan segala pertuduhan terhadap KPPA adalah tidak berasas.

Kata JPA, tuduhan terhadap KPAA juga berniat jahat untuk menjatuhkan imejnya
sebagai pegawai tinggi kerajaan.

JPA juga menegaskan teguran terhadap pegawai tersebut tidak dibuat di khalayak ramai seperti yang didakwa.

“Malah KPPA hanya menasihatkan pegawai supaya mematuhi peraturan dan
membantu menyelesaikan isu-isu sedemikian dengan berhemah.

“Beliau juga mengesyorkan supaya perlunya pihak Imigresen di KLIA meningkatkan pematuhan prosedur operasi piawai (SOP) bagi mengelakkan sebarang ketidakpatuhan
Imigresen,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram