APABILA terpandang ikan arowana, aku akan teringat kisah yang pernah aku alami ini lebih kurang 10 tahun yang lalu. Aku seorang kaki pancing dan peminat ikan arowana. Di rumah, aku membela beberapa ekor ikan tersebut dari pelbagai spesies dan saiz.

Ketika itu, salah satu spesies arowana peliharaan aku ialah jenis Golden Crossback. Saiznya agak besar iaitu kira-kira lebih satu tapak tangan dan 35 sentimeter panjang.

Masa mula-mula bela ikan itu, anak buah aku adalah orang pertama yang perasan tentang imej pelik yang muncul pada akuarium ikan tersebut. Imej tersebut adalah wajah seorang lelaki berkepala botak. Kata anak buah aku, ‘orang botak’ itu berpakaian kuning.

Aku hanya gelak saja. Mana aku percaya kata-kata anak buah aku itu. Sebabnya, aku tak nampak apa-apa pun bila perhatikan akuarium itu. Yang aku nampak adalah seekor arowana saja.

Bukan sekali anak buah aku ternampak imej lelaki tua botak berbaju kuning di dalam akuarium tersebut. Kemunculan wajah itu tidak lama. Ia dalam bentuk imbasan saja. Mungkin tak sampai pun sesaat.

Sebenarnya, ikan arowana Golden Crossback itu bukan aku bela dari kecil seperti ikan-ikan arowana beberapa spesies yang lain. Ikan itu baru aku beli kira-kira dua bulan sebelum itu.

Ikan tersebut ditawarkan dengan harga yang murah. Bayangkan spesies ikan arowana antara yang termahal itu ditawarkan kepada aku dengan harga tidak sampai RM200.00. Sangat murah! Sebab itu aku terus beli tanpa banyak tanya.

Ikan itu pula memang jinak. Apabila aku gerak-gerakkan jari dari luar akuarium, ia akan ikut pergerakan jari aku. Itu yang aku seronok.

Namun, bila sudah empat kali anak buah aku mengadu terpandang wajah lelaki botak yang sama pada akuarium itu, aku mula rasa hairan. Selalu juga aku belek akuariuam tersebut dengan harapan aku nampak apa yang anak buah aku cerita. Tapi, hampa. Aku tak nampak apa-apa pun melainkan ikan itu saja.

Kata anak buah aku, wajah lelaki botak itu tidaklah menakutkan. Penampakannya biasa-biasa saja, seperti wajah manusia lain. Tidak pelik atau menyeramkan. Cuma, mengapa ia asyik muncul di dalam akuarium ikan arowana yang sama?

Abang Lan, ayah kepada anak buah aku menyarankan supaya aku bertanya kepada tuan kedai tempat aku membeli ikan tersebut. Mungkin dia tahu sesuatu.

Atas saranan itu, aku bertanyakan Ah Ken, tuan kedai ikan di mana aku membeli arowana itu. Dan jawapan yang aku terima memang mengejutkan.

Ah Ken beritahu, sebelum ikan itu jadi milik aku, ia dimiliki oleh seorang lelaki berbangsa Cina berasal dari Kelantan. Pada awalnya, lelaki Cina itu meminta Ah Ken menjagakan ikan arowana tersebut kerana dia akan keluar negeri untuk tempoh tiga bulan. Namun setelah hampir setahun, dia masih  tidak datang menuntut ikan itu.

Kemudian, Ah Ken dapat panggilan telefon yang lelaki itu tidak mahu lagi ikan itu. Katanya, ikan itu ‘suweh’, tidak membawa nasib baik kepada pemiliknya menurut kepercayaan orang Cina.

Memandangkan ikan tersebut dikatakan ‘suweh’, Ah Ken terus percaya. Katanya, hendak dibuang, sayang. Sebab itulah bila aku tanyakan berapa harga ikan yang aku idam-idamkan itu dan dia pula tawarkan dengan harga yang sangat murah, tanpa berfikir panjang, aku terus membelinya.

Menurut Ah Ken lagi, pemilik pertama ikan tersebut adalah seorang sami Buddha berketurunan Siam di Kelantan. Sami Buddha berketurunan Siam? Ayat Ah Ken itu benar-benar membuatkan aku terkejut.

Kata Ah Ken, setelah sami itu mati, semua ikan peliharaannya disedekahkan kepada orang ramai oleh anak-anak buahnya. Sami tersebut yang mewasiatkan demikian.

Sami tersebut memang gemar membela ikan terutamanya arowana. Malah, sami tersebut juga terkenal dengan panggilan ‘Sami Arowana’ bagi penganut Buddha di kawasannya. Salah satu spesies arowana kegemarannya adalah ikan arowana yang aku beli itu.

Pemilik kedua selepas sami tersebut adalah sepasang suami isteri berketurunan Siam, juga di Kelantan. Tapi entah kenapa, mereka hanya membelanya selama dua bulan, sebelum ia dijual kepada seorang penggemar arowana lain.

Begitu juga dengan pemilik ketiga arowana tersebut. Ah Ken kata pemilik baru juga tidak lama membela ikan itu. Lebih kurang empat bulan, dia menjualnya kepada seorang lelaki Cina, iaitu lelaki yang meminta Ah Ken jagakan ikan tersebut kerana dia keluar negeri.

Daripada tuan punya iaitu Sami Arowana berketurunan Siam, kemudian terus berpindah milik, bermakna aku adalah pemilik keenam. Kalau ikan tersebut tidak lagi dibela oleh sami Buddha itu, memang aku sudah faham kenapa sebab dia telah mati. Apa yang pelik, kenapa pemilik-pemilik selepas itu tidak sanggup membela ikan tersebut?

Aku rasa, ada sesuatu yang tak kena. Mungkinkah pembela baru juga ternampak bayangan lelaki botak pada akuarium yang menempatkan arowana itu?

Siapa lelaki berkepala botak itu? Aku yakin mesti bayangan itu adalah sami pemilik asal ikan tersebut, sebab anak buah aku kata yang lelaki botak itu berpakaian serba kuning, iaitu pakaian yang biasa dipakai oleh sami Buddha.

Tapi itu anggapan aku saja. Mungkin betul, mungkin tidak. Setelah mendengar cerita Ah Ken dan membeli dua plastik anak-anak ikan serta cengkerik daripadanya, aku pulang ke rumah.

Ketika aku membelek-belek dan memberi makan cengkerik kepada ikan arowana itu, tidak semena-mena muncul sekali imbas bayangan lelaki botak di sebalik cermin akuarium. Disebabkan terkejut, balang berisi cengkerik yang aku pegang terlepas.

Adakah imbasan wajah yang baru aku nampak tadi serupa dengan wajah yang anak buah aku nampak beberapa kali sebelum ini? Ya, kali ini aku yakin. Cerita anak buah aku memang sahih.

Petang itu juga aku telefon Ah Ken. Rupa-rupanya, ada cerita yang Ah Ken tidak ceritakan kepada aku semasa aku di kedainya tadi. Sebenarnya dia juga pernah terpandang wajah seorang lelaki botak yang dia syak itu adalah Sami Arowana itu.

Aku tanya Ah Ken kenapa dia tidak ceritakan semasa aku datang ke kedainya tadi? Jawapan Ah Ken mudah, dia tidak mahu aku takut dan terkejut.

Kalau Ah Ken pun nampak, aku yakin semua yang pernah memiliki ikan tersebut juga mengalami perkara yang sama. Sebab itu ikan tersebut kerap berpindah milik.

Aku pun terus hilang minat untuk membela ikan arowana itu. Bila aku tanya pendapat Ah Ken, dia cadangkan supaya dijual saja ikan tersebut. Tapi, aku rasa berat.

Memang aku boleh jual spesies arowana itu dengan harga ribuan ringgit dan dapat untung. Tapi, aku kesiankan kepada pemilik barunya nanti. Manalah tahu, bayangan Sami Arowana tiba-tiba muncul, kalau kena dengan orang yang lemah jantung melihatnya, kan naya jadinya. Sedangkan aku yang sihat ni pun boleh terperanjat, apatah lagi orang lain kalau yang ada penyakit.

Selepas beberapa hari berfikir, aku dapat idea. Semasa bersama tiga lagi kawan pergi memancing, aku bawa ikan arowana itu dan dilepaskan ke sungai. Selepas arowana itu dilepaskan, kelibat lelaki botak itu tidak lagi muncul, walaupun bekas akuarium yang sama aku isikan dengan spesies arowana lain. Yang penting, kelibat lelaki botak itu sudah tiada.

Kira-kira sebulan setengah setelah aku lepaskan arowana spesies termahal yang pernah aku miliki ke sungai, aku dan geng memancing pergi lagi ke sungai tersebut. Kami bukan pergi ke lokasi yang sama tempat aku lepaskan arowana dulu. Kali ini ke lokasi lain yang jaraknya kira-kira dua kilometer dari lokasi aku lepaskan arowana itu dulu.

Ketika sedang khusyuk memancing, tiba-tiba seorang kawan kami terkejut hingga jorannya terlepas dari tangan. Bila ditanya kenapa? Dia hanya diam tidak menjawab. Dia menuding ke satu arah.

Kami lihat ke arah yang ditunjuknya. Kali ini, kami semua terperanjat. Kami lihat seorang lelaki botak berpakaian seperti sami Buddha berdiri terapung-apung di celah-celah pokok di seberang sungai. Beberapa saat kemudian kelibat lelaki tersebut ghaib bagai dibawa angin.

**Seperti diceritakan oleh Syed Saif dari Petaling Jaya, Selangor.  

____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram