tanpa niat dan fokus

Rasulullah s.a.w pernah bersabda, “Sesungguhnya Allah menyukai apabila salah seorang daripada kamu melakukan sesuatu pekerjaan, ia melakukannya dengan baik, sempurna lagi teliti.” (HR al-Baihaki)

Ramai yang mendakwa, bukan senang hendak membuat dua kerja dalam satu masa. Khuatir hilang fokus.  Itu alasan yang sering diberikan. Namun hari ini, melakukan dua atau tiga pekerjaan sekali gus bukan lagi sesuatu yang asing.

Tuntutan kehidupan yang mendesak, memaksa mereka melakukannya sekalipun pada awalnya dianggap agak mustahil. Alah bisa tegal biasa, melakukan pekerjaan lebih daripada satu, kini bukan lagi satu kepayahan. Bahkan semuanya beres mengikut perancangan. Yang penting, fokus – formula yang membuatkan seseorang berjaya dalam kehidupan. 

Usah pergi jauh. Tan Sri Syed Mokhtar Bukhari antara contoh terdekat yang boleh dijadikan contoh. Membesar dalam keadaan yang serba kekurangan, anak ketiga daripada tujuh beradik itu tidak pernah kenal erti penat apatah lagi putus asa. Apa sahaja pekerjaan yang boleh membantu kehidupan keluarga dilakukannya termasuk bertanam sayur dan menjual hasil tani di pasar. Dia juga membantu keluarga menjual roti canai di pasar yang sama.

Ketika waktu rehat waktu persekolahan, Syed Mokhtar diminta ayahnya membuat simpan kira. Dan usai waktu persekolahan dia menggembala binatang ternakan ayahnya. Ketika berlakunya wabak penyakit kuku dan mulut yang menyerang binatang ternakannya, dia beralih ke perniagaan menjual daging.

Dan akhirnya dia meneroka dari satu perniagaan ke satu perniagaan sehingga namanya tersenarai di antara 10 rakyat Malaysia yang terkaya. Ternyata kesungguhan dan fokus dalam melakukan sesuatu pekerjaan membuahkan hasil yang  cukup lumayan. 

Begitu jugalah dengan pejuang Islam serta pemimpin negara tersohor, Sultan Muhammad Al Fatih, penakluk yang berjaya menawan Kota Konstantinopel. Beliau yang  bukan hanya mementingkan kekuatan luaran para tenteranya bahkan kekuatan dalaman.

Menguasai bidang ketenteraan, sains, matematik, ilmu falak dan enam bahasa, kehebatannya digambarkan oleh Rasulullah s.a.w. yang mengatakan, Konstantinopel  akan ditakluki  oleh tentera Islam. Rajanya (yang menakluki) adalah sebaik-baik raja dan tenteranya (yang menakluki) adalah sebaik-baik tentera.” 

Seorang pemimpin yang hebat, selepas Sultan Salahuddin Al-Ayubbi, kewarakan Sultan  Al-Fatih terserlah apabila dia mula mencari siapakah yang lebih layak untuk mengimami solat Jumaat buat pertama kali di kota Konstantinopel yang telah ditakluki dengan membuat beberapa tapisan.

Sehingga akhirnya apabila ditanya siapakah yang tidak pernah meninggalkan solat tahajud sepanjang hayatnya, ternyata semuanya duduk melainkan dirinya. Itulah al-Fatih, seorang yang begitu fokus di atas setiap pekerjaan yang dilakukan. 

Hakikatnya, banyak yang belum kita ketahui mengenai kekuatan di sebalik fokus itu sendiri. Semakin kita fokus pada satu hal, semakin ia akan memudahkan kita dalam mencapai sesuatu yang kita inginkan. Bila memusatkan fokus, maka pelbagai informasi yang berhubungan dengan impian kita akan mudah masuk ke dalam fikiran. Dan sebaliknya jika kita tidak fokus, fikiran kita akan mudah dipesongkan oleh perkara yang tidak sesuai dengan sasaran kita.

Berbicara tentang hal ini, Pensyarah Kanan Bahasa Arab dan I’jaz al-Quran, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Mohd Sukki Othman menyifatkan, masyarakat hari ini semakin hilang fokus dalam kehidupan disebabkan faktor teknologi. Tegasnya, semakin canggih teknologi, semakin manusia hilang tumpuan dalam kehidupan disebabkan terlalu leka dengan teknologi seumpama alat komunikasi.

Hal ini dapat kita nilai dengan hanya cuba bertanyakan berapa banyak nombor telefon yang mudah untuk kita ingati? Pasti ramai yang mengatakan, tidak kerana kesemua nombor telefon sudah tersedia tersimpan di dalam telefon masing-masing.

Tidak seperti sebelum kedatangan teknologi kecanggihan telefon, nombor telefon mudah untuk dihafal dan disimpan dalam memori sistem otak. Sekali gus, kecanggihan teknologi telah mengakibatkan kesan yang amat besar apabila manusia tidak lagi menjadi seorang yang fokus dalam mengingati sesuatu yang penting dalam kehidupan.

Kalau membeli barang di pasaraya pun perlukan fokus agar tidak silap membeli apalagi hidup

Lantaran itu Mohd Sukki turut menyifatkan, kecanggihan teknologi adalah salah satu fitnah akhir zaman yang menuntut umat Islam memilih untuk lebih menjadi insan yang bertakwa atau menjadi hamba teknologi sehingga melupakan kewajipan kepada Allah dan juga sesama manusia.

Jika kekurangan iman dalam diri, pasti seseorang Muslim itu hanyut dalam keasyikan dunia teknologi dan hilang segala tumpuan dalam kehidupan termasuk tanggungjawab sebagai hamba.  

Hari ini misalnya telefon ibarat ‘nyawa’. Tertinggal telefon, maka segala urusan tergendala. Bagaikan tidak sempurna hari yang berlalu. Dan kerana teknologi tersebutlah, ramai yang menjadi tidak khusyuk dalam solat.

Bukan hanya kerana deringan yang mengganggu para jemaah yang lain bahkan masing-masing menjadi tidak sabar untuk melihat  ‘berita terkini’ yang dihantar melalui pelbagai aplikasi.      

Masyarakat hari ini ramai yang menjadi hamba teknologi sehingga menyebabkan mereka hilang fokus dalam kehidupan. Hilang fokus ini bukan sahaja kepada mereka yang inginkan kejayaan di dunia, tetapi berkait rapat dengan kejayaan di akhirat. Hilang fokus hari ini menyebabkan hidup seseorang tiada hala tuju yang jelas.

Mulakan dengan niat

Justeru, Islam sejak awal lagi mengajar manusia bahawa dalam melakukan sesuatu pekerjaan, perkara yang paling penting untuk dilakukan ialah niat. Sabdanya,

Sesungguhnya amalan itu tergantung niatnya dan seseorang akan mendapatkan sesuai dengan apa yang ia niatkan.” (HR Bukahari dan Muslim) 

Persoalannya kenapa niat? Jawapannya mudah, kerana dengan niat manusia akan lebih fokus dan terarah tentang apa yang hendak dilakukan.  

Ulama terdahulu, Abdullah Mubarak pernah menyebut,

“Boleh jadi amalan sedikit, menjadi besar pahalanya disebabkan niat. Dan boleh jadi amalan yang besar, menjadi kecil pahalanya kerana niat”.

Atas dasar itu, niat sangat penting dalam Islam. Bahkan dengan niat, manusia boleh menjadikan segala perbuatan itu berfokus. Jika sesuatu yang dilakukan itu diniatkan dengan bersungguh-sungguh, pasti seseorang itu akan berusaha sedaya upaya untuk mencapai apa yang diniatkan.

Dalam hal ini Mohd Sukki menjelaskan, niat adalah perkara penting yang perlu diterapkan dalam kehidupan masyarakat bagi mencapai sesuatu kejayaan sebagaimana maksud firman Allah dalam surah as-Saba’ ayat 27,

“Kami tiada mengutus engkau (Muhammad) melainkan kepada sekalian manusia untuk memberi khabar gembira dan memberi khabar menakutkan.”

_______________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare