TAHUKAH anda, semut apa yang gigitannya paling menyakitkan? Ia adalah semut api Paraponera Clavata yang berada pada kedudukan senarai nombor satu dalam Indeks Schmidt Sting Pain, sebagai semut api yang memiliki gigitan paling menyakitkan di dunia.

Bisa gigitan semut yang juga digelar ‘semut peluru’ ini dikatakan setara dengan terkena bedilan peluru dari senjata api. Malah, 30 kali lebih menyakitkan daripada sengatan kumpulan serangga Hymenoptera seperti tebuan dan lebah.

Semut api Paraponera Clavata.

Tidak ramai tahu tentang bisa gigitan luar biasa yang dihasilkan semut ini sehinggalah seorang doktor botani dari Universiti Ghent, Belgium, Joseph Charles Bequaert (1886-1982) buat pertama kalinya mendedahkan sifat morfologi tentang semut api ini.

Beliau memaklumkan bahawa kesakitan yang dicetuskan oleh semut ini bukan kerana gigitannya. Tetapi pencetus kepada rasa sakit tersebut adalah disebabkan oleh neurotoksin saat ia menggigit.

Neurotoksin merupakan kompleks protein beracun yang biasa terdapat pada beberapa bisa ular. Kewujudan racun ini mula disedari ketika pencarian bahan alamiah dilakukan untuk kegunaan dalam membuat pestisid (bahan kimia beracun yang digunakan untuk membunuh binatang perosak).

Ilmuwan mulanya terkejut dan teragak-agak untuk mengesahkan tentang penemuan racun berbisa pada gigitan semut api ini kerana ia dianggap tidak logik apabila haiwan sekecil semut mampu melumpuhkan mangsanya dengan gigitan beracun setaraf dengan ular.

Bagaimanapun, setelah dikaji ia memang terjadi. Racun neurotoksin rupanya terkandung dalam abdomen semut ini. Ia akan menyuntik racun tersebut pada mangsanya menggunakan anatomi di bahagian mulutnya. Setelah cecair berbisa itu masuk ke dalam tubuh mangsa, rasa sakit dengan serta-merta mula terasa.

Antara kesakitan yang terpaksa ditanggung ialah rasa terbakar, berdenyut dan bengkak pada kawasan gigitan semut. Mangsa turut berasa mual, menggeletar, suhu badan meningkat dan berpeluh secara berlebihan.

Dengan hanya satu gigitan, kesakitan ini dapat dirasakan tanpa henti selama 24 jam dan berisiko menyebabkan lumpuh atau mengakibatkan anaphylactic shock (tindak balas alergi  yang teruk terhadap bisa). Ia boleh berlaku dalam tempoh masa hanya beberapa saat selepas terdedah kepada alergi. Dalam beberapa kes, kematian boleh berlaku untuk tempoh hanya beberapa minit.

Namun begitu, Paraponera Clavata bukanlah jenis semut api yang agresif. Ia hanya menyerang mangsanya dalam kes-kes tertentu seperti mempertahankan diri atau melindungi sarang mereka. Semut peluru ini bersarang dalam koloni bawah tanah yang mengandungi banyak terowong dan ruang-ruang umpama bilik. Hidup menjalar di pokok-pokok sehingga kehadirannya ditakuti oleh hidupan lain dalam hutan Amazon di Brazil.

Meskipun ia diketahui sangat merbahaya, namun dalam sesetengah komuniti orang asli masih ada yang menggunakan sengatan serangga ini untuk upacara-upacara tradisi. Suku Satere-Mawe di Brazil misalnya, sengaja menggunakan semut beracun tersebut dalam upacara kepahlawanan menjadi seorang lelaki.

Di sana, bukanlah namanya lelaki jika tidak disengat oleh semut ganas ini. Justeru untuk menjadi seorang jantan, mereka harus memasukkan tangan ke dalam sarung tangan khas yang berisi semut peluru. Tidak dibenarkan menanggalkannya sehinggalah melepasi masa yang ditetapkan iaitu selama 10 minit setiap satu sesi. Tambah mengerikan ia bukan sekali, tapi wajib melakukannya sebanyak 20 kali.

Selain itu, kaum India di Amerika Tengah pula menggunakan sengat semut peluru sejak berabad-abad lamanya untuk merawat beberapa penyakit seperti reumatisme atau sakit otot dan sendi. Ini kerana, semut berbahaya itu sendiri diketahui mempunyai mandibel atau bahagian mulut untuk menggigit yang sangat kuat hingga boleh digunakan sebagai ‘benang’ jahitan.

Kebolehan serangga ini boleh dilihat ketika diletakkan pada bahagian tubuh yang terluka atau cedera. Dengan segera ia bertindak balas memulas kepalanya, manakala bahagian penyepitnya pula memegang luka. Sesudah itu, semut peluru akan merembeskan air liurnya menyebabkan bahagian tercedera kembali tertutup dan sembuh.

______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram