Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob GAMBAR: Abd Razak Aid

KERAJAAN menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan memperkenalkan Skim Insurans Takaful Agromakanan melibatkan keseluruhan sektor agromakanan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Skim Insurans Takaful Agromakanan itu adalah sebahagian langkah bagi memperkasa sistem sekuriti makanan negara.

Sebagai permulaan, beliau memaklumkan, subsektor padi dan beras telah dipilih sebagai projek rintis kementerian yang bakal memanfaatkan seramai 189,500 pesawah padi.

Jelas beliau, skim insurans itu kemudiannya akan diperluas secara berperingkat kepada sektor lain seperti perikanan, tanaman dan subsektor industri makanan lain.

“Skim ini bertujuan mengurangkan implikasi kewangan akibat kehilangan hasil tanaman berikutan berlakunya bencana alam seperti banjir dan kemarau serta gangguan wabak penyakit.

“Pesawah akan dipastikan menerima ganti rugi atau pampasan yang setimpal sekiranya berlaku gangguan terhadap produktiviti pengeluaran padi negara seperti bencana alam atau wabak penyakit.

Baca artikel berkaitan: PM beri amaran kartel cuba manipulasi harga, pasaran

“MAFI sebagai peneraju utama sektor agromakanan perlu memastikan setiap perancangan, dasar dan pelan saling melengkapi bagi menjayakan usaha negara dalam meningkatkan kemampanan dan ketahanan sistem agromakanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Perasmian Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan 2022 (MAHA 2022) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), hari ini.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri memberi jaminan bahawa kerajaan sentiasa memastikan isu sekuriti makanan negara diberi perhatian menerusi Jawatankuasa Teknikal Menangani Isu Sekuriti Bekalan Makanan Negara dan Jawatankuasa Pasukan Jihad Tangani Inflasi.

Pada masa sama, kata beliau, sebanyak 28 sesi menandatangani memorandum persefahaman (MoU) juga akan berlaku melibatkan nilai pelaburan lebih RM5.6 bilion.

“Ini tidak termasuk sesi padanan perniagaan melibatkan lapan syarikat pemasar dari luar negara sebagai salah satu usaha membawa hasil serta produk agromakanan tempatan ke pasaran antarabangsa.

“Sebanyak 15,000 peluang kerjaya dalam pelbagai sektor akan disediakan kepada golongan muda dan graduan yang sedang mencari pekerjaan menerusi Program Jamin Kerja dalam segmen Agro Job Fair,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram