SETIAP orang pasti mempunyai kisah seram atau ghaib yang pernah dilalui mereka atau orang dikenali. Berpayungkan genre seram yang akan membuatkan penonton tidak senang duduk pada waktu malam, TV3 menyajikan dua program terbaru yang bercerita tentang hal-hal mistik dan paranormal yang berlaku kepada individu-individu berlainan.

Drama bersiri Remang bersiaran menerusi slot tonton Malam Seram setiap Isnin, pukul 11.00 malam dan rancangan majalah Detik 12 Malam kembali ke kaca televisyen bermula semlama (Jumaat), pukul 11.30 malam.

Remang adalah drama bersiri 12 episod terbitan Anomali Media Sdn Bhd, diterbitkan oleh Hariff Ahamat dan diarahkan oleh Khairul Rizam, serta hasil nukilan skrip oleh Sofia J.Rhyland, Intan Zarina Mohd Yasin, dan Adza Irdawati Adenan.

Saksikan kompilasi cerita-cerita seram ini yang dihidupkan oleh pelakon handalan tanah air seperti Syafie Naswip, Azrel Ismail, Emma Maembong, Chacha Maembong, Aween Ismail, Natasha Elyzza dan ramai lagi. Pelakon-pelakon drama seram terbaharu ini juga mengalami adegan seram sebelum mereka sempat membawakan watak mereka ke kaca televisyen.

Antara babak dalam Remang

Remang yang memaparkan kisah mendebarkan buat Ejay (Syafie Naswip), seorang DJ radio yang dihubungi oleh rata-rata pendengar yang ingin berkongsi pengalaman mistik dan ghaib mereka di slot program Remang Malam radio tersebut.

Setiap malam Ejay akan mendengarkan perkongsian mereka dengan penuh teliti dan memberi kata nasihat atau tips yang bersesuaian dengan pengalaman diceritakan. Antara kisah-kisah yang dipaparkan di dalam setiap episod adalah Dendam Saka, Pakcik Tumpang, Botol Puaka dan lain-lain.

Sementara itu, program majalah Detik 12 Malam merupakan sebuah program yang cukup sinonim dengan cerita seram dan gelaran pemburu hantu mereka.

Majalah dokumentari musim ini diarahkan oleh Khirul Fikry Mustafa dan diterbitkan oleh Mohd Jamira Ramli. Kini kembali dengan musim kelima bersama hos Saiful Azmi Jamsari, Detik 12 Malam menemui penonton dengan sedikit kelainan.

Musim ini akan menyaksikan aktiviti paranormal yang benar-benar dilalui oleh individu-individu lokal, selebriti terkenal dan penyiasat paranormal sebagai tetamu jemputan mingguan untuk berkongsi pengalaman gangguan mistik yang mereka lalui.

Di balik tabir Detik 12 Malam

Tetamu jemputan yang juga dikenali dalam dunia penyiasatan paranormal dan mistik adalah John Bear, Solo Ambush, Naufal Dark Tourism, dan AY studio.

Detik 12 Malam bakal menayangkan topik-topik menarik seperti penjaga kubur, galeri pameran lama dan kisah pempengaruh tentang misteri rimba rekreasi dan banglo tinggal lama. Tetamu jemputan juga akan turun padang di lokasi siasatan bagi membuat ujian paranormal. Adakah mereka cukup berani untuk melalui aktiviti paranormal sebegitu?

Antara lakonan semula dalam Detik 12 Malam

Jangan lepaskan kompilasi cerita seram dan kisah paranormal menarik yang akan menaikkan bulu roma anda!