Nurul Izzah Anwar dan pasangan,Yin Shao Loong diijab kabul pada petang Jumaat./Gambar Fb Nurul Izzah

NURUL Izzah Anwar selamat diijab kabul dengan Yin Shao Loong dalam satu majlis di ibu negara pada petang Jumaat.

Majlis itu dihadiri ahli keluarga dan kenalan terdekat.

Pengumuman tersebut disampaikan dalam satu kenyataan media ringkas yang dikeluarkan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu pada lewat malam Jumaat.

Nurul Izzah dan suaminya memaklumkan pernikahan mereka berwalikan ayahanda pengantin perempuan.

“Kami telah selamat diijabkabulkan di samping keluarga terdekat.

“Kami memohon doa kalian semua… agar kita sentiasa di bawah perlindungan Allah SWT,” jelas mereka dalam kenyataan itu.

Baca: Rafizi ketuai ‘pasukan perang’, Nurul Izzah dilantik Naib Presiden PKR

Kenyataan itu disertakan bersama gambar pasangan pengantin baharu itu, yang diapit Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Shao Loong merupakan seorang Penyelidik Kanan di Institut Penyelidikan Khazanah, yang antara tumpuan bidangnya adalah dalam hal dasar industri, perubahan iklim dan teknologi masa depan.

Nurul Izzah bercerai pada awal 2015 dan perkahwinannya bersama Raja Ahmad Shahrir Iskandar dikurniakan dua cahaya mata.