“RASANYA tak salah kalau saya katakan bahawa masyarakat Melayu kita cuma pada nama sahaja Islam, tetapi mereka cuma tahu sedikit tentang kehidupan beragama Islam, kecuali rukun Islam dan rukun Iman, baca Quraan dan solat, itupun masih banyak yang alpa. 

“Apatah lagi tentang tanggungjawab dalam perkahwinan, Yang mereka faham, cuma tentang nikah, cerai, rujuk dan paling penting poligami. Kalau isteri bantah poligami dia berdosa besar dan masuk neraka.” Demikian kata Fizah yang ingin menceritakan pengalaman dia minggu ini. 

“Sebab itu ramai ibu tunggal gagal dapat nafkah anak-anak. Kena `berperang” dalam mahkamah. Itu pun belum tentu dapat. Bab tak bagi nafkah bukan berlaku zaman ini sahaja, sejak zaman datuk nenek moyang kita lagi. Dulu dulu bila isteri diceraikan, dia dihalau balik ke rumah ibu bapanya bersama anak-anak. Dia tidak diberikan nafkah. Sebaliknya itu satu hukuman kerana diceraikan. Maka anak-anaknya jadi tanggungjawab ibu dan ayah si janda tadi, sementara bekas suami lepas tangan boleh kahwin baru. 

“Begitulah lemahnya masyarakat Islam kita faham tentang pemberian nafkah. Hingga ada datuk nenek sebelah ayah yang tak pedulikan cucu-cucu ini, malah menganggap mereka sebagai beban selain salahkan bekas menantu perempuan punca berlakunya perceraian. 

“Begitu rumitnya masalah perceraian dari kisah DCCK yang saya baca setiap minggu. Tetapi kali ini saya nak bawakan satu lagi masalah orang Melayu tentang perebutan harta kerana mereka membelakangkan hukum faraid. Perebutan ini bukan kes baru, tetapi sejak zaman dulu lagi. Kesan kesilapan zaman dulu membawa bala kepada anak cucu cicit hingga hari ini. 

“Saya bawakan kisah ini sebagai contoh kelemahan orang kita, bukan nak hina datuk nenek zaman dahulu, tetapi jadikan iktibar, supaya balanya tidak menurun ke anak cucu. 

“Kata Tok Su, atuk saudara saya, kita ini nama aja Melayu beragama Islam, tetapi tak pernah mendalami selok belok agama, bukan sahaja tak tahu pasal nikah cerai, harta sepencarian, nafkah anak, mahupun pembahagian harta pusaka. Bila kita cuba nasihat, mereka tuduh kita nak bolot harta, nak rebut janda, tak suka anak tirilah, yang semuanya membuat kita sakit hati. 

“Menurut Tok Su, contoh paling jelas perbuatan datuk saya, apabila bapak mereka iaitu moyang saya meninggal dunia. Arwah moyang tinggalkan banyak harta, siapa tak kenal orang kaya Malik zaman itu. Oleh kerana belum sempat bahagikan harta pada anak-anaknya. Lima orang adik-beradik Tok Su mula berebut harta, masing-masing mendakwa tanah ini dia punya, tanah itu bapa wasiat kat dia, ada yang tipu tandatangan moyang maka jatuhlah harta kepada dia. 

“Kata Tok Su, dia anak bongsu tak boleh cakap banyak, abang-abang dan kakak bolot habis, yang tinggal tapak rumah itulah yang atuk dapat, sebab tanahnya kecil, kalau buat rumah kawasannya pun kecil. Atuk terima, yang penting atuk dapat tapak rumah. Ketika itu atuk baru kerja jadi peon.’’ Itu cerita Atok Su bila saya tanya mengapa hidup kami adik-beradik dan emak saya susah, sedangkan bapanya iaitu datuk saya dulu banyak harta.  

“Kalau Tok kata itu kifarah kau jangan marah? Atuk kau dulu memang banyak dapat harta. Dapat cara tak betul berebut harta ayah kami. Tetapi tak sampai 10 tahun atok kau meninggal. Maka tinggalah nenek kau bersama lima orang anak termasuk emak kau. Walaupun banyak harta ditinggalkan, tapi anak-anak tak sekolah tinggi, mereka cuma jadi tentera, polis. Yang perempuan memang tak bekerjalah. 

“Tak sampai tiga tahun menjanda, ada pula orang nasihat nenek kau cepat kahwin tak elok menjanda lama-lama. Calonnya duda anak empat. Zaman itu kerana kurang ilmu nenek kau anggap harta tinggalan datuk iaitu suaminya jadi milik dia sepenuhnya. Dan tidak faraidkan kepada lima orang anaknya termasuk emak kau. 

“Atok pernah cuba nasihatkan supaya faraidkan harta dulu sebelum kahwin, tapi ada pula tuduh atok nak potong line, nak kahwin dengan nenek kau, jadi atok jauhkan diri. Oleh kerana kesilapan mereka terdahulu menyebabkan anak cucu menanggung balanya. Bila dah kahwin yang hidup senang tentulah suami baru nenek dan anak-anak tiri nenek. Bukan adik-beradik emak kau yang sepatutnya jadi pewaris arwah atok kau!

“Begitulah pandangan orang zaman dulu. Kata mereka bila suami mati isteri ambil semua harta arwah suami. Hanya apabila dia mati barulah harta itu dibahagikan kepada anak-anak. Mereka belakangkan hukum faraid. 

“Nak jadikan cerita beberapa tahun kemudian beberapa keping tanah arwah atuk sudah berpindah milik kepada atuk tiri. Anak-anak membantah. Tapi nenek tetap dengan keputusannya.  Katanya dia akan berikan kepada anak yang dia suka. Dan dia akan pinggirkan sesiapa yang tak sukakan suami barunya. 

“Kerana itu tiga orang anak nenek merajuk tak balik kampung. Tinggalkan emak saya dengan adiknya perempuannya, sebab tak ada tempat mengadu terpaksalah duduk menumpang di pinggir tanah rumah nenek. Namun tak lama sebab banyak masalah lain mula timbul. 

“Akhirnya ayah kau bawa kamu semua pindah menyewa rumah tempat lain sebab emak kau tak selesa dengan perangai atok tiri yang mengurung dan mengawal nenek hinggakan anak-anak dan cucu nak jumpa pun susah.  Nak jadikan cerita bila nenek meninggal dunia, kebanyakan harta yang dimiliki oleh nenek telah bertukar tangan menjadi milik atuk tiri sepenuihnya. 

“Saya memang tak faham mengapa zaman dahulu senang betul tanah milik si mati bertukar tangan tanpa memanggil pewaris, boleh dibuat senyap senyap, dan boleh buat surat wasiat guna tanda tangan palsu. Dan pejabat tanah boleh terima dengan mudah tanpa banyak usul siasat. 

“Dengar cerita bila nenek semakin tua dia takut dengan atuk tiri, nenek sedih tak ada anak datang jumpa nenek. Sedangkan mereka tidak dibendarkan datang oleh datuk tiri. Emak pernah jengok nenek tapi di halau balik. Konon emak dah pindah ke bandar dan nenek marah. Tinggallah nenek sendirian dalam rumah. 

“Akhirnya keadaan menjadi lebih teruk lagi bila kami dapat tahu tanah dan rumah pusaka milik arwah datuk sudah berpindah milik kepada datuk tiri. Memang menghairankan, macam mana pertukaran nama tanah boleh dibuat dengan senang sekali pada zaman itu. 

“Memang ada adik beradik emak yang marah dan mendakwa tanah dan rumah itu milik datuk, kerana di situlah mereka dilahirkan dan dibesarkan. Tetapi nak lawan macam mana, tanah tersebut terang terang tertulis nama atok tiri. Waktu itu bergaduh pun tak guna, siapa pun tak boleh lawan atok tiri sudah berkuasa sepenuhnya. 

“Bila atuk tiri meninggal anak-anaknya mewarisi semua harta arwah datuk. Memang adik beradik emak kesal dengan apa yang berlaku, tetapi nasi sudah menjadi bubur. Kata Tok Su  kalau nenek saya tak kahwin dengan lelaki itu yang muda 8 tahun daripadanya, sudah tentu masalah pertukaran milik tanah ini tidak akan berlaku. 

“Tetapi kata Tok Su lagi. kita mesti ingat apa yang berlaku adalah berpunca daripada perebutan harta oleh adik beradik atuk selepas moyang kami meninggal dulu. Kata Tok Su lagi, cuma dia seorang yang dapat harta paling sedikit, tetapi kekal sampai hari ini. 

“Malangnya harta yang  jadi rebutan adik beradiknya Tok Su dahulu banyak yang sudah tergadai, kena tipu gara gara anak anak pinjam pajakkan untuk main saham Pak Man Telo. Dan macam macam lagi. Akhirnya semuanya lesap tanpa khabar berita.    

“Apabila kami sudah bekerja, kami adik beradik berpakat kumpul duit beli sebuah rumah untuk emak dan ayah kami. Biarpun kecil kata emak dia puas hati kerana tak ambil dan tipu harta orang. Sakit hati emak kepada bapak tirinya tak pernah padam. 

“Kata emak kalau emak bersuara pun itu memang hak emak dan adik beradiknya, sedangkan bapa tirinya orang luar tidak berhak. Perbuatan ayah tiri beri tanah pusaka arwah datuk kepada anak anaknya memang haram hukumnya, mereka tidak ada kena mengena dengan keluarga kami, cuma dengan menipu dia berjaya memperdaya nenek untuk beri dia geran tanah arwah datuk. Akhirnya satu demi satu tanah datuk bertukar milik. 

“Apa yang saya ceritakan ini bukan hendak mengutuk dan memburukkan orang tertentu, tetapi  untuk ingatkan kita semua supaya beringat tentang masalah harta pusaka supaya kita tidak ambil ringan dan jangan cuba memilikinya dengan cara penipuan. Akhirnya anak cucu kita yang susah dapat bala. 

“Ingatlah jika harta pusaka itu bukan milik kita yang sah, ia tidak akan kekal, sebaliknya akan hilang di depan mata kita dengan pelbagai cari penipuan dan pembohongan. Dan ingat harta itu juga tidak akan diwarisi oleh anak cucu kita sebaliknya akan jatuh ke tangan orang lain dengan cara yang tidak disangka sangka atau di gadaikan. 

“Jika umur saya panjang saya ingin lihat bagaimana harta yang dimiliki oleh anak anak tiri nenek itu hilang. Kerana mereka bukan pemilik yang sah. 

“Pesan saya kepada pembca, biarlah kita tidak ada harta, tetapi boleh hidup aman tenteram, tidak bermusuhan adik beradik dan, tidak dengki mendengki. 

“Demikian juga halnya dengan harta yang dimiliki oleh Atuk Long, saya dengar ceritanya hampir semua hartanya hangus tergadai apabila diwariskan kepada anak-anaknya. Kini ada antara anak Tok Long yang tinggal di rumah kebajikan sebab harta sudah habis terjual dan tergadai. 

“Kata emak bila mudah dapat harta tanpa usaha, anak anak tak tahu menilai. Kerana itu banyak yang tergadai kerana suka berjudi. Sementara itu dengan ceritanya ada adik beradik atok kahwin dua. Isteri pertama dihalau keluar bersama anak-anak. Akhirnya bila harta habis tergadai termasuk rumah tempat berteduh, isteri muda tinggalkan atok kerana banyak penyakit dan mati sendirian dalam rumahnya. 

“Lagi satu masalah bila harta diperolehi cara tak betul, anak anak hidup tak selamat, tak jadi orang, kaki judi, akhirnya walaupun ayahnya banyak harta, tetapi akhirnya habis ke jalan tak betul.’’ Demikian cerita Fizah tentang keluarganya sejak dulu lagi. 

 Kesalnya kerana atok moyang zaman dulu tidak mahu mendalami ilmu agama, supaya tahu yang mana yang berhak yang mana tidak, berebut harta boleh membawa kesengsaraan kepada anak cucu kemudian hari selagi mereka bersama makan harta yang tak betul itu. 

Sekiranya anda ingin menghubungi penulis telefon 0192393419 atau ingin melahirkan masalah anda sila e mail [email protected]  atau [email protected]