fokus melalui ibadah solat
Sekadar gambar hiasan

Alam adalah guru kepada manusia. Allah menjadikannya supaya manusia boleh berfikir dan mengambil pengajaran daripadanya. Lantas tidak hairanlah, dalam al-Quran terdapat 31 ayat yang menyebut supaya manusia berfikir. Antaranya firman Allah,

Dia lah yang menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) kitab suci al-Quran. Sebahagian besar darpadai al-Quran itu ialah ayat-ayat “muhkamaat” (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) isi al-Quran. Dan yang lain lagi ialah ayat-ayat “mutasyaabihaat” (yang samar-samar, tidak terang maksudnya).

Oleh sebab itu (timbullah faham yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing). Adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar dari al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari takwilnya (memutarkan maksudnya menurut yang disukainya).

Padahal tidak ada yang mengetahui takwilnya (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah. Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama, berkata, “Kami beriman kepada Nya, semuanya itu datangnya daripada sisi Tuhan kami” Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikir.” (Ali Imran: 7)

Anda mungkin bertanya, apa kaitan berfikir dengan isu yang sedang dikupas? Jom! Lihat, renung dan perhatikan sekeliling anda. Kalau tidak pun, dalam sebuah rancangan televisyen, anda mungkin pernah menonton pelbagai tabiat haiwan. Antaranya, cerita si beruang yang  berjuang mendapatkan makanannya di sebatang sungai yang berarus deras. 

Apa lagi kalau tidak segerombolan ikan salmon yang  sedaya upaya melawan arus dalam siri penghijrahan mengikut jadual alam. Dengan arus yang begitu kuat, mana mungkin si beruang mampu untuk mengejar setiap ekor ikan salmon yang melawan arah untuk pergi ke satu destinasi. 

Agak mustahil bukan? Tapi tidak bagi si beruang. Strategi dipasang. Pandangan mata dan minda disatukan agar pusat fokus terarah kepada satu objek. Apa yang perlu dilakukannya ialah hanya mengangakan mulutnya. 

Dan ikan-ikan yang meloncat laju melawan arah tewas di mulut si beruang. Begitulah keadaannya sehingga si beruang benar-benar ‘kenyang’ setelah pusat fokusnya digunakan sebaik mungkin. 

Perhatikan pula seekor helang yang menyambar ikan di laut yang bergelora. Dengan kekuatan kukunya yang tajam dan dua kepak serta matanya yang tajam, ikan di air tewas di bawah cengkaman kuku tajam si helang!

Semua ini mengajar manusia bagaimana sesuatu kejayaan itu boleh diperoleh setelah semua kurniaan Allah, mata, minda, tangan dan hati terarah kepada satu perkara. Gabungan pancaindera ini akan menghasilkan sesuatu yang cukup berharga iaitu fokus yang menjadi titik tolak kepada kejayaan seseorang.

Lantaran itu Sayidina Umar al-Khattab sering menegaskan, ajarlah anak-anak kamu memanah, berenang dan menunggang kuda. Kerana apa?  Di situ anak-anak diajar bagaimana untuk  menggunakan pancaindera agar  fokus terhadap sasaran. Ketajaman mata, minda dan tenaga adalah resipi kejayaan yang semakin dilupakan.

Hari ini anak-anak tidak lagi menggunakan minda dan keistimewaan pancaindera yang lain untuk berfikir. Lambakan permainan video yang menjadi hidangan, menutup segala kekuatan dan kemampuan anugerah Allah untuk dimanfaatkan. Akhirnya, lahirlah generasi yang tidak mampu untuk membuat keputusan yang bijak dalam banyak hal kerana hilangnya fokus.        

Justeru benarlah kata Sayidina Ali bin Abi Talib yang mengungkapkan,

“Kebenaran yang tidak berfokus akan dikalahkan dengan kebatilan yang berfokus”.

Kata-kata ‘keramat’  ini membuktikan betapa hari ini umat Islam sering ditewaskan oleh lawannya mahupun saingannya dalam menegakkan kalimah tauhid. Bahkan hari ini juga menyaksikan, terlalu banyak musuh-musuh Islam mengambil kesempatan menghina  Islam dengan pelbagai cara. Puncanya? Kerana kita tidak fokus dalam berdakwah.

Solat tetap buat maksiat

Begitu jugalah apabila seseorang bertanya, mengapa orang yang solat masih membuat maksiat? Jawapannya mudah kerana solat yang dilakukan tidak khusyuk atau dengan kata mudah ialah tidak fokus kepada Allah S.W.T. 

Akhirnya, benteng keimanan seseorang akan mudah menjadi rapuh dengan permainan syaitan.  Lantaran itu Allah berfirman,

“Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman, (iaitu) orang-orang yang khusyuk dalam solatnya.” (Al-Mukminun: 1-2).

Penekanan khusyuk dalam solat itu adalah garis panduan Allah supaya khusyuk dalam semua perkara yang dilakukan. Khusyuk itu dalam bahasa Arab, tetapi jika diterjemahkan kepada bahasa Melayu menjadi fokus. Jika seseorang tidak ada fokus dalam solatnya, maka berdasarkan firman di atas, tiada kejayaan baginya. Begitu juga dalam kehidupan, aplikasikan sistem solat ini untuk kehidupan seharian.

Tiada kejayaan bagi mereka yang tidak mempunyai fokus dalam solat, begitu juga dalam kehidupan. Tetapi kejayaan di sini bukan dari material sahaja, ia termasuk kejayaan dalam ketenangan jiwa, kebahagiaan, serta kejayaan dunia akhirat.

Solat adalah garis panduan

Solat adalah manual terbaik bagi kita umat Islam untuk dijadikan garis panduan. Sebagaimana penting khusyuk dalam solat, begitu juga penting fokus dalam kehidupan. Misalnya, jika anak berbicara, ibu bapa perlu  fokus kepada mereka.

Bukan fokus pada telefon masing-masing. Tetapi ini yang berlaku hari ini sedangkan untuk mendapatkan kembali fokus tersebut ialah dengan beribadah dan beriadah.

Apabila seseorang hamba itu menyerahkan sepenuh diri dan merendahkan diri kepada Allah, nescaya Allah memberikan rahmat dan keberkatan-Nya. Tidak kira dalam bersolat, berzikir ataupun dalam segala amalan lain, semua itu menuntut manusia supaya fokus agar matlamat tercapai. Wallahu a’lam

_____________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare