M Thinaah-Pearly Tan memenangi pingat emas setelah mengalahkan pemain England, Birch Chloe-Smith Lauren pada aksi badminton akhir Sukan Komanwel Birmingham 2022 di National Exhibition Center hari ini./Gambar BERNAMA

EMAS ketujuh Malaysia di Sukan Komanwel Birmingham 2022 akhirnya dijelmakan menerusi acara beregu wanita badminton.

Bukan sahaja menepati ramalan, malah Pearly Tan-M. Thinaah mendominasi sepenuhnya lawan mereka yang juga beregu tuan rumah, Chloe Birch dan Lauren Smith.

Mendahului dari awal, Pearly-Thinaah menamatkan set pertama dengan 21-5.

Pasangan England kemudian cuba memperkemaskan aksi di set kedua namun tidak cukup untuk mengekang kemaraan beregu nombor satu Malaysia.

Pearly dan Thinaah hanya memberi lapan mata kepada lawan mereka di set kedua sekali gus menghampakan penyokong tuan rumah.

Baca: Ng Tze Yong raih perak, kandas kepada Lakshya Sen di final

Harapan pada Tze Yong, Pearly Tan-M. Thinaah tambah koleksi emas

Ini emas kedua buat Pearly-Thinaah dan skuad badminton setelah muncul juara dalam acara badminton berpasukan menewaskan India.

Sementara itu, Pearly dalam temu bual bersama media berkata, mereka sangat gembira kerana sasaran emas di Birmingham tercapai.

“Bukan hanya untuk saya dan pasangan, tetapi emas ini untuk Malaysia.

“Kami membuat persiapan terbaik untuk menjadi juara dan sudah tentu kami sangat gembira apabila tercapai,” katanya.

Mengenai Kejuaraan Dunia dua minggu lagi, Thinaah berkata, mereka berazam untuk memberi aksi yang terbaik.

“Yang pasti kami akan lakukan persiapan terbaik. Tidak banyak masa untuk rehat,” jelasnya.

Pencapaian dua emas oleh skuad badminton mengulangi pencapaian empat tahun lalu di Gold Cost, Australia.

Keseluruhannya kontinjen Malaysia di Sukan Komanwel 2022 menyasarkan enam pingat emas dan angka itu dicapai kelmarin menerusi atlet gimrama.

Pada masa sama, peluang menambah kilauan emas cukup cerah hari ini dan Pearly-Thinaah melunaskan harapan rakyat Malaysia dengan emas ketujuh.

Sebelum itu Tze Yong meraih perak meneruci acara perseorangan lelaki.

Tze Yong yang mempamerkan peningkatan menakjubkan di Birmingham bagaimanapun disekat Lakshya Sen dari India dalam perlawanan yang berlanjutan ke set penentuan.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu melahirkan rasa syukur apabila kontinjen Malaysia berjaya melepasi sasaran emas di Birmingham menerusi kejayaan Pearly-Thinaah.

“Alhamdulillah, kontinjen negara berjaya melepasi sasaran pungutan pingat emas pada temasya Komanwel kali ini.

“Terima kasih buat para wira yang bersungguh-sungguh berjuang,” katanya ringkas menerusi Facebook beliau malam ini.