ڤرانن ڤوليس دتانه ملايو تله لاما برتاڤق سجق زمان کݢميلڠن کسلطانن ملايو لاݢي دڠن وجودڽ اوندڠ٢ دان ڤڠواتکواساءن يڠ دجالنکن اوليه اينستيتوسي تمڠݢوڠ دان ڤارا هولوبالڠ.

کمودين, اورݢانيساسي ڤوليس مولا تربنتوق کتيک ترمقتوبڽ ڤياݢم کعاديلن دڤولاو ڤينڠ اوليه ڤجاجه ايڠݢريس ڤد تاهون 1807.

انتارا جاوتن بهارو يڠ دوجودکن کتيک ايت اياله هايݢ شيريف دان ديڤوتي شيريف يڠ دتوݢسکن اونتوق مڠاول کسلامتن دان کأمانن دڤولاو ڤينڠ.

برتيتيق تولق درڤد ايت, اونيت ڤوليس وانيتا مولا دتوبوهکن کتيک ضرورت تانه ملايو ماناکالا سجومله بسر وانيتا تمڤتن ڤولا تله دريکروت سباݢاي ڤوليس خاص.

ڤڠمبيلن ڤوليس وانيتا کتيک ايت باݢي منجالنکن توݢس٢ ممريقسا کأتس قوم وانيتا دباوه اوندڠ٢ ضرورت. ڤوليس خاص ڤولا منجالنکن توݢس دلوکڤ سرتا منجادي ڤوليس ڤڠيريڠ کڤد وانيتا دان کانق٢ يڠ دتاهن.

سلڤس ڤڠيشتهارن ضرورت دعمومکن, کراجاءن منداڤتي چارا يڠ ڤاليڠ برکسن اونتوق مننتڠ ڤڠݢانس کومونيس اياله دڠن مڽکت درڤد منداڤتکن بکلن ماکنن دري رعية.

اوڤراسي تربابيت ممرلوکن ڤمريقساءن يڠ راڤي دڤينتو ماسوق دسسبواه کاوسن اتاو ڤرکامڤوڠن.

کتيک ايت, سبهاݢين بسر قوم وانيتا بکرجا سباݢاي ڤنوريه ݢته, مک مريک اداله اينديۏيدو يڠ ساڠت سسواي اونتوق دأمبيل دالم ڤاسوقن ڤوليس باݢي توجوان ممبوات ڤمريقساءن.

منوروت بوکو ارکيب واريثن ايکسکلوسيف, ڤڠمبيلن ڤرتام قوم وانيتا دالم اورݢانيساسي ڤوليس برمولا ستله اوندڠ٢ ايسينشل (Special Constabulary) ريݢوليشن 1948 دلولوسکن.

“ڤڠمبيلن ڤوليس وانيتا جوݢ برتوجوان مناڠني ڤڠليبتن راماي وانيتا دالم ڤرݢرقن ڤارتي کومونيس ملايا (PKM) سماس ضرورت ڤد تاهون 1948-1960”, منوروت بوکو ايت.

ڤد اوݢوس 1955, ڤاسوقن ڤوليس وانيتا سچارا راسميڽ دتوبوهکن دڠن دکتواءي اوليه ڤنولوڠ ڤڠوسها بريتيش ياءيت ڤوان بي.دي.ار. وينورث.

بلياو تله دتوݢسکن اونتوق ممبنتو اوسها٢ ملاتيه ڤرينتيس ڤوليس وانيتا دنݢارا. ڤد اوکتوبر 1955, سراماي توجوه اينسڤيکتور ڤلاتيه وانيتا دري چاوڠن ڤوليس منريما لاتيهن برسام دڠن اينسڤيکتور ڤرچوباءن ڤوليس للاکي دڤوست لاتيهن ڤوليس, جالن ݢرني.

کمودين, سراماي 56 اورڠ ڤوليس وانيتا دريکروت باݢي منجالني لاتيهن سلاما انم بولن ڤد ڤڠمبيلن کدوا.

سجق ايت, ڤاسوقن ڤوليس وانيتا تروس برکمبڠ ماجو مماءينکن ڤرانن ڤنتيڠ دالم مڠکلکن کأمانن نݢارا دان کسجهتراءن رعية.

PERANAN polis di Tanah Melayu telah lama bertapak sejak zaman kegemilangan kesultanan Melayu lagi dengan wujudnya undang-undang dan penguatkuasaan yang dijalankan oleh institusi Temenggong dan para hulubalang.

Kemudian, organisasi polis mula terbentuk ketika termaktubnya Piagam Keadilan di Pulau Pinang oleh penjajah Inggeris pada tahun 1807.

Antara jawatan baharu yang diwujudkan ketika itu ialah High Sheriff dan Deputy Sheriff yang ditugaskan untuk mengawal keselamatan dan keamanan di Pulau Pinang.

Bertitik tolak daripada itu, Unit Polis Wanita mula ditubuhkan ketika darurat Tanah Melayu manakala sejumlah besar wanita tempatan pula telah direkrut sebagai Polis Khas.

Pengambilan Polis Wanita ketika itu bagi menjalankan tugas-tugas memeriksa ke atas kaum wanita di bawah Undang-Undang Darurat.
Polis Khas pula menjalankan tugas di lokap serta menjadi polis pengiring kepada wanita dan kanak-kanak yang ditahan.

Selepas pengisytiharan darurat diumumkan, kerajaan mendapati cara yang paling berkesan untuk menentang pengganas komunis ialah dengan menyekat daripada mendapatkan bekalan makanan dari rakyat.

Operasi terbabit memerlukan pemeriksaan yang rapi di pintu masuk di sesebuah kawasan atau perkampungan.

Ketika itu, sebahagian besar kaum wanita bekerja sebagai penoreh getah, maka mereka adalah individu yang sangat sesuai untuk diambil dalam pasukan polis bagi tujuan membuat pemeriksaan.

Menurut buku Arkib Warisan Eksklusif, pengambilan pertama kaum wanita dalam organisasi polis bermula setelah undang-undang Essential (Special Constabulary) Regulation 1948 diluluskan.

“Pengambilan Polis Wanita juga bertujuan untuk menangani penglibatan ramai wanita dalam pergerakan Parti Komunis Malaya (PKM) semasa Darurat pada tahun 1948-1960”, menurut buku itu.

Pada Ogos 1955, pasukan Polis Wanita secara rasminya ditubuhkan dengan diketuai oleh Penolong Penguasaha British iaitu Puan B.D.R. Wentworth.

Beliau telah ditugaskan untuk membantu usaha-usaha melatih perintis Polis Wanita di negara. Pada Oktober 1955, seramai tujuh Inspektor Pelatih Wanita dari Cawangan Polis menerima latihan bersama dengan Inspektor Percubaan Polis Lelaki di Pusat Latihan Polis, Jalan Gurney.

Kemudian, seramai 56 orang Polis Wanita direkrut bagi menjalani latihan selama enam bulan pada pengambilan kedua.

Sejak itu, pasukan Polis Wanita terus berkembang maju memainkan peranan penting dalam mengekalkan keamanan negara dan kesejahteraan rakyat.