Pakar Sosial, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran.

PENDIDIKAN ialah tiang seri kepada kemajuan individu, bangsa dan agama, malah sebagai negara yang ingin mencapai status negara maju pastinya memerlukan masyarakat dengan tahap pendidikan yang baik.

Pakar Sosial, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, anak muda perlu faham bahawa secara global masyarakat sedar pendidikan ialah asas utama kepada kemajuan dan kecemerlangan bangsa dan negara.

Katanya, satu daripada indikator untuk menentukan seseorang itu berpelajaran ialah menerusi proses pendidikan iaitu pengajaran dan pembelajaran yang hasilnya diterjemahkan melalui pengajian di peringkat sijil, diploma, ijazah sarjana muda, sarjana dan kedoktoran.

“Sukar sesuatu bangsa untuk maju sekiranya ahli masyarakat terbabit tidak mempunyai aset utama iaitu pendidikan.

“Isu sama ada sijil diperoleh menerusi pengajian itu digunakan untuk tujuan kerjaya atau sebaliknya ialah perkara berbeza,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan berita bertajuk ‘Kami rasa seperti buang masa belajar’ yang mana lepasan pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak berminat untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi, hari ini.

Baca artikel berkaitan : Guna platform sewajarnya bantu turunkan harga barang, bukan demonstrasi jalanan

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) berkata, di negara maju ramai dalam kalangan petaninya mempunyai ijazah atau kelayakan akademik yang tinggi kerana mereka tidak menggunakan kelulusan berkenaan untuk mencari kerja.

Sebaliknya, katanya, mereka menyambung pengajian untuk mendapatkan ilmu dan kemahiran yang diraih kemudiannya diaplikasikan untuk kemajuan diri dalam konteks masing-masing dalam bidang keusahawanan, pertanian dan sebagai pencipta pekerjaan.

Katanya, persepsi yang menyatakan seseorang perlu berpendidikan tinggi untuk menjawat jawatan tinggi dengan gaji lumayan tidak salah sepenuhnya, namun tidak boleh berpegang 100 peratus kepada tanggapan itu kerana dunia kini sudah berubah.

“Di negara maju, ramai dalam kalangan masyarakatnya mempunyai ijazah atau kelayakan akademik yang baik tetapi tidak digunakan secara langsung untuk tujuan mencari pekerjaan, mereka menggunakan ilmu untuk pembangunan kendiri sekali gus dapat meningkatkan imej dan kemajuan agama, bangsa dan negara.

“Di Malaysia, masyarakat kita perlu mengambil peluang yang sewajarnya untuk meningkatkan kelayakan akademik, sama ada ia digunakan atau tidak, pastinya secara langsung atau tidak langsung akan memberikan impak kepada kehidupan.

“Seorang usahawan dengan kelayakan akademik yang tinggi pastinya berbeza dengan mereka yang sebaliknya begitu juga dengan petani dan bidang kerjaya lain,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram