Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak. GAMBAR: Abd Razak Aid

Oleh: SAIFUL BAHAR ARSHAD

SELURUH negara berdebar menunggu tarikh 15 Ogos sehingga 26 Ogos 2022 ini apabila kes rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak akan didengar di Mahkamah Persekutuan. Sekiranya gagal di dalam rayuan terakhir ini, Najib akan ke penjara.

Mahkamah Persekutuan juga telah menolak permohonan dari barisan peguam baharu Najib untuk menangguhkan kes ini ke satu tarikh yang lain.

Najib pada 8 Ogos ini telah membatalkan (withdraws) tuduhan (allegations) rasuah yang pada awalnya dibuat terhadap Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali. Ini merupakan satu perkembangan terkini dari mahkamah.

Tulisan ini tidak bertujuan untuk mencampuri urusan perbicaraan kerana ia subjudis. Tulisan ini bertujuan melaporkan perkara-perkara yang telah dilapor di mahkamah serta dalam media.

Ia juga bertujuan memberi sedikit sebanyak kupasan mengenai kes tersebut, tanpa mencampuri urusan perbicaraan.

Siapa Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali?

Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali – Gambar kehakiman.gov.my

Hakim Nazlan dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 10 April 2015. Dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 30 Januari 2017. Beliau dinaikkan pangkat ke jawatan Hakim Mahkamah Rayuan pada 4 Februari 2022.

Nazlan merupakan seorang peguam korporat, yang kemudiannya menyertai Maybank sebagai Group General Counsel dan Company Secretary. Selain daripada menjadi Maybank Group Head of Corporate and Legal Services.

Dalam erti kata lain, Nazlan bertanggungjawab dalam Hal Ehwal Undang-Undang dan Setiausaha Syarikat untuk Maybank selama 10 tahun dari 2005 hingga 2015.

Baca: Dakwaan Najib terhadap Mohd Nazlan tidak berasas

Kedudukan Nazlan di Maybank sebelum ini tiada kaitan dengan kes Najib – DPP

Ini juga bermakna Nazlan tidak terlibat dengan sebarang keputusan ataupun apa-apa bentuk pindaan wang yang melibatkan urusan bank dan pinjaman ataupun perkara-perkara seumpamanya.

Pengalaman Nazlan ini menjadikan beliau mempunyai kepakaran di dalam kes-kes yang melibatkan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram seperti kes SRC yang jelas adalah satu kes yang amat rumit.

Pengetahuan Nazlan di dalam bidang korporat menjadikan beliau seorang hakim yang pakar dalam bidang tadbir urus koporat.

Di dalam tuduhan awal dari pasukan peguam Najib, mereka menuduh Nazlan sepatutnya menarik diri daripada mendengar kes SRC International kerana ;

(i). Tan Sri Shafee Abdullah mendakwa Nazlan memainkan peranan dalam pinjaman 1MDB bagi pemerolehan pegeluar tenaga bebas, Tanjong Energy Holdings Sdn. Bhd.; dan

(ii). Nazlan juga dituduh mempunyai conflict of interest (konflik kepentingan) mendengar satu kes yang beliau pernah berkhidmat dengan Maybank sebelum ini, Maybank pula dituduh sebagai satu pihak yang terlibat secara langsung atau pun tidak langsung dalam kes SRC serta 1MDB.

Terdapat tuduhan dari blogger dari Manchester, United Kingdom, Raja Petra Kamaruddin yang menulis pada 9 April 2022, menuduh Nazlan akan disiasat atas tuduhan menerima RM1 juta dari Jho Taek Lo yang terlibat dengan kes 1MDB.

Raja Petra juga menuduh Nazlan dipercayai turut terlibat dalam kes penipuan 1MDB ini.

Akibat tuduhan-tuduhan ini, Nazlan telah membuat laporan polis pada 21 April 2022, menafikan tuduhan-tuduhan tersebut sebagai berniat jahat (malicious), tidak berasas dan bertujuan memburukkan kredibiliti dirinya sebagai seorang hakim.

Nazlan juga meminta pihak polis menyiasat kes ini di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan (memfitnah) dan Seksyen 233 di bawah Akta Komunikasi dan Mutimedia.

Baca: Kes SRC: Mahkamah tetapkan 10 hari mulai 15 Ogos dengar rayuan akhir Najib

Berkemungkinan dengan bukti-bukti terkini, pasukan guaman Najib merasakan Nazlan tidak terlibat dengan sebarang transaksi yang melibatkan pinjaman ataupun kewangan dengan 1MDB kerana Nazlan hanyalah Setiausaha Syarikat (Company Secretary) dan General Counsel, yang menjaga hal ehwal perundangan Maybank.

Kemungkinan kerana itulah, semalam pasukan guaman Najib menarik balik tuduhan-tuduhan terhadap Nazlan. Tuduhan-tuduhan daripada Raja Petra juga jelas kelihatan tidak berasas dan berniat jahat.

Untuk rekod, Nazlan merupakan Hakim Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib, selepas bekas Perdana Menteri tersebut didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan dana RM42 juta milik syarikat pelaburan strategik negara, SRC International Sdn. Bhd.

Kita tunggu kes rayuan didengar pada 15 Ogos 2022 ini.

Datuk Saiful Bahar Arshad adalah penganalisis politik dan sosial.