Pengumpulan data komprehensif diperlukan bagi memastikan keselamatan makanan negara diurus teratur. GAMBAR: Abd Razak Aid

JABATAN Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan Jabatan Perangkaan (DOSM) dipertanggungjawabkan untuk mengumpulkan data berkaitan bekalan ayam bagi memastikan kawalan keselamatan makanan diuruskan secara teratur, kata Pengerusi Pasukan Jihad Tangani Inflasi Tan Sri Annuar Musa.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa./Gambar Annuar Musa

“Tanpa data jelas, isu keselamatan makanan tidak dapat diuruskan dengan komprehensif,” kata Menteri Komunikasi dan Multimedia itu bahawa ia bagi mengelakkan kerajaan membuat tindakan sementara dan dasar yang tidak tetap.

Annuar berkata JPV diberi masa seminggu untuk mencadangkan satu corak pengurusan data pengeluaran ayam dan import ayam, selain mesti mempunyai data terkini mengenai rekod import permit bagi mengetahui jumlah import ayam.

DOSM pula perlu menyediakan Indeks Kos Pengeluaran Ayam secara bulanan, dan angka itu akan dijadikan rujukan sebagai penanda aras untuk menentukan harga wajar di peringkat peruncitan dan peringkat jualan, katanya pada sidang media di Serdang hari ini selepas mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Jihad Tangani Inflasi siri ke-10.

Annuar berkata dasar mengenai import dan eksport ayam bulat termasuk harga minyak masak yang ditetapkan buat masa ini akan dikekalkan sehingga JPV dan DOSM menguasai pengurusan data dengan lebih teratur.

Baca: Belum ada perubahan keputusan sekat eksport ayam – Annuar

“Model (pengurusan data) ini  boleh diperluaskan kepada barangan makanan lain bagi memastikan kawalan keselamatan makanan lebih teratur berdasarkan pengurusan yang lebih tersusun,” katanya.

Annuar berkata JPV turut bertanggungjawab menentukan jumlah pengeluaran ayam tempatan yang dikategorikan sebagai ayam pedaging dan ayam kuning secara bulanan serta menyediakan unjuran bagi bulan seterusnya.

Beliau berkata data pengeluaran ayam tempatan perlu diasingkan bertujuan menentukan keperluan bagi kegunaan domestik iaitu tidak kurang daripada 69.6 juta ekor ayam sebulan atau secara puratanya 2.2 juta ekor sehari.

“Dan penanda aras itu mesti sentiasa ada dan cukup dan tidak boleh dieksport. Ayam yang diternak secara lebihan untuk eksport juga hendaklah ditentukan jumlahnya,” katanya dan menambah bahawa data daripada JPV merangkumi data stok penimbal ayam. 

Sementara itu, Annuar berkata jawatankuasa Pasukan Jihad Tangani Inflasi akan menumpukan kepada pengeluaran barang makanan menerusi program Kebun Komuniti (Kebuniti) dan mengesyorkan beberapa elemen penambahbaikan termasuk penglibatan pesertanya.

“Kita ingin melihat Kebun Komuniti diangkat kepada satu tahap lagi supaya nilai-nilai komersial di mana pembelian dan pengedaran produk dari Kebun Komuniti dapat dibuat dengan cara yang lebih tersusun,” katanya.

Bagi menggalakkan penglibatan generasi muda dalam bidang pertanian dan Kebun Komuniti, beliau berkata Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah diminta menyiarkan program tetap mingguan berkaitan dokumentari dan pengenalan teknologi pertanian serta amalan pertanian baik.

Kebun komuniti adalah satu bentuk pertanian bandar merangkumi amalan penanaman, pemprosesan dan pengedaran makanan secara intensif dalam bandar dan kawasan sekitarnya. -BERNAMA