SEPERTI ada yang tidak kena sehingga membuatkan pelakon Datuk Adi Putra mengeluarkan kenyataan mengenai syarikat Studio Kembara Sdn.Bhd yang didakwa sukar dihubungi.

Seakan menunjukkan rasa kecewa apabila Adi membuat keputusan untuk tidak menghadiri tayangan gala filem lakonannya iaitu Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan di Jakarta, Indonesia.

“Assalamualaikum, kepada Studio Kembara Sdn Bhd (Studio Kembara), andai tidak cukup ‘handphone’ (telefon bimbit) kerana susah nak dihubungi, saya sudi hadiahkan satu ‘handphone’ agar mudah untuk berkomunikasi dan berurusan.

“Akan kerana ini saya manfaatkan di ‘socmed’ (media sosial) agar mesej saya sampai ke pihak Studio Kembara,” katanya.

Menerusi status sama, Adi dengan tegas menyatakan tidak akan menghadiri tayangan gala filem itu di Jakarta, Indonesia.

“Insya-Allah saya tidak akan hadir Tayangan Gala Filem Mat Kilau di Jakarta. Terima kasih.

“Semoga mesej ini sampai ke pihak berkenaan dan semoga Allah permudahkan segala urusan,” tulisnya.

Dalam pada itu, mesej tersebut telah mendapat perhatian wakil Studio Kembara yang menggunakan nama akaun @filem_matkilau dan memberi respons di ruangan komen.

“Kami memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku. Pihak Studio Kembara sudah ambil maklum berkenaan mesej ini.

“Kami panjangkan kepada pihak pengurusan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Cubaan URTV untuk menghubungi Adi dan penerbit, Abdul Rahman Mt Deli tidak berhasil apabila panggilan telefon dan mesej WhatsApp tidak dibalas.

Diharapkan jika ada sebarang masalah, dapatlah diselesaikan dengan cara baik.