jin takut dengan garam

Dari Abdullah bin Umar r.a, dari Nabi saw, “Sesungguhnya Allah S.W.T. menurunkan empat perkara berkat (mempunyai kebaikan) dari langit (menerusi hujan) ke bumi iaitu besi, api, air dan garam.” (HR al-Baghawiy)

Nabi s.a.w mengamalkan pengambilan garam dalam kehidupan Baginda sehari-hari. Setiap kali keluar mengembara, Baginda akan mengambil secubit garam sebelum mengambil makanan atau minuman.

Tujuannya untuk menstabilkan fungsi badan supaya serasi dengan persekitaran baru, dan meningkatkan daya imun tubuh. Ini kerana setiap kawasan mempunyai persekitaran serta cuaca yang berlainan.

Di dalam kitab perubatan Islam juga menyebutkan garam mampu mengembalikan tenaga yang hilang ketika dalam perjalanan. Dan amalan Baginda ini turut menjadi ikutan bagi setiap pengembara sewaktu melakukan perjalanan.

Sebenarnya terlalu banyak kelebihan garam dalam kehidupan seharian, di mana ia bukan sahaja digunakan sebagai bahan perasa bagi makanan, atau sebagai alternatif mengembalikan tenaga, bahkan lebih dari itu ia mampu menjadi bahan rawatan kepada penyakit.

Garam dalam perubatan Islam

Garam adalah bahan yang paling kerap digunakan di dalam perubatan Islam. Bila disebut garam terus dikatakan ia perubatan Islam tanpa usul periksa bagaimana dilakukannya. Secara jelasnya, istilah perubatan Islam merupakan satu kaedah rawatan yang menggunakan intipati Islam dalam merawat pesakit.

Tiga aspek utama perlu diberatkan bagi membezakannya dengan perubatan moden dan bukan Islam iaitu  bahan yang digunakan, orang yang mengubat dan cara merawat.

Menggunakan garam sebagai wasilah mengubat penyakit adalah diharuskan kerana bahan tersebut tidak mengandungi sumber yang haram, bahkan dalam hadis juga, terdapat riwayat yang menyatakan penggunaan garam dalam perubatan oleh Baginda s.a.w

Dari Ali b. Abi Talib, Nabi s.a.w telah disengat oleh seekor kala jengking ketika Baginda sedang bersolat, sebaik sahaja selesai bersolat Baginda bersabda, “Semoga Allah melaknat kala jengking yang tidak meninggalkan orang yang sedang bersolat dan lain-lain.” Kemudian Baginda minta dibawakan air dan garam lalu Baginda mengusap pada tempat yang disengat dengan membaca surah al-kafirun, al-Falaq dan an-Nas.” (HR al-Tabrani)

Dalil yang diriwayatkan oleh al-Tabrani dengan isnad yang hasan dalam kitab Mu’jamal-Awasat, menjelaskan bahawa Nabi s.a.w pernah menggunakan garam serta bacaan ayat al-Quran bagi mengubat bisa kala jengking.

Begitu juga dalam kitab al-Hawi Fi Tib karangan Muhammad Ibn Zakaria al-Razi, terdapat satu bab yang membincangkan tentang penggunaan garam bagi merawat gigitan anjing gila iaitu air, bawang merah, garam dan madu. Kesemua rawatan yang dinyatakan ini bersifat zahiriah.

Tetapi bagaimana pula jika ia bersifat batiniah yang berkaitan dengan makhluk halus, adakah penggunaan garam juga turut dibolehkan sebagaimana kepercayaan masyarakat Melayu? Dan apa bukti yang menunjukkan kaum jin ini begitu takut dengan garam.?

Dalam hal ini, memang tidak terdapat hadis atau dalil yang menunjukkan Nabi s.a.w. atau juga para sahabat menggunakan garam sebagai alat untuk menghalau jin.

Boleh menghalau tapi jangan mencederakan

Jika dilihat fenomena yang berlaku, seolahnya ia telah menjadi satu kepercayaan dalam pemikiran masyarakat bahawa garam mampu menghalau jin. Ia bukan sahaja bersarang dalam minda masyarakat Islam tetapi juga masyarakat barat.

Lihat sahaja dalam naskah-naskah seram di layar kaca terbitan barat, seperti supernatural, mereka bukan sahaja menggunakan air suci, bahkan turut menjadikan garam sebagai alat menghalau gangguan jin dan syaitan. Di mana logik akalnya perbuatan tersebut?

Menurut pengamal perubatan Islam Darul Syifa Othman Salleh, garam biasanya digunakan untuk memagar rumah, menghalau dan mencederakan jin. Ini kerana, golongan jin begitu sensitif dan takut dengan garam yang bersifat tajam, seumpama binatang berbisa yang takut kepada belerang. Signifikannya, garam mengandungi bahan yang mampu mendatangkan ketakutan dan kecederaan maksimum kepada golongan jin.

Tambahnya lagi, banyak kes mangsa yang diganggu jin di premis perniagaan dan kawasan perumahan. Rawatan yang diberikan adalah dengan memagar kawasan premis atau rumah menggunakan garam, lada hitam dan cuka. Kesemua bahan tersebut dicampurkan dalam sebuah bekas, kemudian mereka akan mendirikan solat hajat, dan bahan-bahan tersebut akan dibacakan dengan doa-doa terpilih dari al-Quran.

“Sesudah itu, garam tersebut akan diletakkan di sudut penjuru rumah atau ditabur di sekeliling rumah. Bagi mencederakan jin pula, garam tersebut akan ditabur seakan merejam di kawasan-kawasan yang dirasakan wujudnya kehadiran jin. Garam yang digunakan perlulah garam kasar supaya impak dari rejaman itu berhasil mencederakan jin,” katanya.

_____________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare