Tangkap layar rakaman didakwa seorang wanita menunaikan umrah dengan berpakaian ihram lelaki.

TINDAKAN seorang wanita yang didakwa mengerjakan umrah berpakaian ihram seperti jemaah lelaki disifatkan sebagai tindakan yang tidak berakal dan sengaja mempermain-mainkan atau mempersendakan agama Islam.

Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata tindakan dilakukan wanita itu hanya memudaratkan diri sendiri malah agama Islam bukan bahan mainan atau sendaan.

“Seorang Muslim dituntut menghormati dan mengagungkan agamanya, malah tindakan wanita itu disifatkan sebagai hanya memudaratkan diri sendiri sedangkan agama Islam sedikit pun tidak terjejas oleh tindakan yang tidak berakal itu.

“Melakukan perbuatan yang berlawanan dengan hukum Islam secara sengaja bererti mempermain-mainkan atau mempersendakan agama, dengan tindakan sedemikian pelakunya menjadi kafir. Jika tidak bertaubat dia akan dihumban ke neraka dan akan menerima seksaan yang dahsyat di akhirat nanti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Salim berkata banyak lagi cara untuk mencari populariti, namun bukan dengan menjadikan agama sebagai bahan mainan atau sendaan kerana ia tindakan jelas sekali menghina agama.

Baca artikel berkaitan: Kecoh pengkid didakwa tunai umrah pakai ihram

”Agama Allah tetap berkembang pesat dari semasa ke semasa…semakin ramai manusia menganutnya terutama dalam kalangan para ilmuwan dan cerdik pandai dalam pelbagai bidang ilmu dan kerjaya,” katanya.

Semalam, tular video berdurasi 17 saat yang memaparkan seorang wanita yang didakwa sebagai rakyat tempatan berada di Tanah Suci Makkah dengan lengkap berpakaian ihram seperti jemaah umrah lelaki dan perkara itu telah mendapat pelbagai reaksi daripada netizen.

Berikutan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad dilaporkan berkata pihaknya memberi jaminan tindakan tegas akan dikenakan terhadap wanita yang didakwa mengerjakan umrah berpakaian ihram lelaki malah agensi yang menguruskan umrah wanita terbabit juga akan dikenakan tindakan jika benar dakwaan seperti ditularkan.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram