SALAH satu haiwan yang sering ditampilkan dalam kisah-kisah mitos atau legenda di seluruh dunia ialah Unicorn, sejenis kuda yang mempunyai tanduk di dahinya.

Ada juga legenda lama yang menyebut haiwan ini bukan sekadar memiliki satu tanduk pada dahinya, tetapi turut memiliki janggut seumpama kambing dan ekor seperti singa. Apakah Unicorn ini benar-benar pernah wujud? Atau ia sekadar makhluk mitologi?

Unicorn, haiwan mitologi yang popular di seluruh dunia.

Para pengkaji yang juga terdiri daripada kalangan ilmuwan juga menunjukkan minat untuk membuktikan tentang kewujudan  Unicorn ini. Sebelum ini, penyelidik dari Tomsk State University di Rusia pernah mengumumkan hasil kajian mereka tentang Unicorn dalam American Journal of Applied Scinece.

Menerusi laporan ilmiah itu, saintis terlibat mendedahkan bahawa mereka telah menemui bukti baru yang menunjukkan makhluk bertanduk itu mungkin pernah wujud di Bumi sekitar ribuan tahun dahulu.

Kenyataan itu dibuat selepas penemuan fosil di rantau Pavlodar Priirtysh di Kazakhstan. Berdasarkan ujian radiokarbon, rangka yang masih terpelihara dengan baik saat dijumpai itu dikenal pasti sebagai Elasmotherium, berusia kira-kira 29,000 tahun.

Jika kiraan itu tepat, ini bermakna makhluk tersebut telah hidup dan berkeliaran bersama-sama penduduk Bumi ribuan tahun yang lampau. Tinggal lagi, bagaimana ia pupus masih belum dapat diketahui dengan tepat.

Salah seorang daripada pasukan penyelidik, Dr. Andrey Shpanski, memberitahu bahawa faktor persekitaran seperti perubahan iklim berkemungkinan besar memainkan peranan utama dalam kepupusan kuda bertanduk itu.

Tambah beliau, pengaruh iklim global yang berubah-ubah mungkin telah mendorong spesies itu berhijrah. Penghijrahan mencari perlindungan ke kawasan-kawasan yang lebih selamat dengan merentasi jarak yang jauh memungkinkan haiwan ini bertebaran sebelum pupus secara perlahan-lahan.

Gambaran rangka berusia 29,000 tahun, dikenali sebagai Elasmotherium yang ditemui di Kazakshtan.

Ramai pengkaji juga percaya, penemuan fosil itu mungkin menjadi pembentukan dasar kewujudan legenda Unicorn di planet Bumi. Sungguhpun begitu, penemuan ini sedikit mengecewakan kerana Elasmotherium yang ditemukan kelihatan seperti badak Eurasia yang sudah punah jutaan tahun lalu. Ia sekali gus berbeza daripada gambaran legenda moden, kononnya Unicorn berupa kuda dengan tanduk di dahi.

Bagaimana sebenarnya rupa Unicorn seperti yang digambarkan?

Banyak versi cerita tentang rupa bentuk haiwan misteri ini. Daripada gambaran pertama pada lukisan purba berusia 15,000 Sebelum Masihi (SM) di dinding Gua Lascaux, Perancis, menunjukkan Unicorn memiliki dua buah tanduk. Lukisan itu memberi gambaran seolah-olah makhluk tersebut berupa seperti lembu atau antelop.

Keberadaan Unicorn juga pernah ditemukan di Mohenjo Daro dan Harappa di India. Selain India, China turut dikatakan memiliki Unicorn sendiri, dikenali dengan nama Qilin. Di Jepun, makhluk yang sama juga dikenali sebagai Kirin – digambarkan memiliki badan seperti rusa, sisik berwarna hijau dan bertanduk satu di kepala.

Kisah Unicorn turut tertulis dalam kesusasteraan barat. Ahli-ahli sejarah percaya catatan pertama tentang Unicorn datang daripada pakar perubatan Yunani bernama Dr. Ctesias pada abad keempat Sebelum Masihi (SM).

Beliau memberitahu bahawa mendengar cerita tentang makhluk tersebut semasa dalam perjalanan melalui Parsi (sekarang dikenali sebagai Iran). Rupa makhluk itu tidak ubah seperti keldai liar dan bertanduk satu di kepala. Tanduknya pula digambarkan berwarna-warni dengan panjang lebih kurang 30 sentimeter.

Tulisan Dr. Ctesias itu bagaimanapun menerima kritikan beberapa pihak. Menurut Time Magazine dalam artikel berjudul ‘A Brief Histrory of Unicorns’, Ctesias mungkin tidak pernah melihat sendiri bagaimana rupa makhluk bernama Unicorn. Ada kemungkinan, deskripsi yang dibuat oleh beliau itu hanyalah gabungan gambaran bersumberkan daripada rakan-rakannya.

Selain Dr. Ctesias, terdapat beberapa orang tokoh lain turut melaporkan kenampakan yang sama. Misalnya pada tahun 1530, Ludovica de Bartema, seorang bangsawan Itali mendakwa terjumpa dua ekor Unicorn ketika melakukan perjalanan ke Mesir, Arab dan India.

Tubuh haiwan itu digambarkan berwarna kuning coklat. Kepalanya menyerupai rusa – leher dan rambut panjang. Berkaki pendek dan memiliki kuku seperti kambing.

Ternyata daripada laporan kenampakan itu, tidak ada satu pun deskripsi yang tepat mengenai Unicorn seperti mana dalam gambaran legenda moden. Ada mengatakan, perbezaan itu mungkin hasil daripada mutasi genetik yang jarang berlaku. Namun, teori juga masih tidak diketahui sejauh mana ketepatannya.

Daripada beberapa penemuan arkeologi yang masih samar-samar, kebanyakan pengkaji juga tidak berani untuk mengesahkan kewujudan haiwan ini. Oleh demikian, Unicorn akan terus wujud dalam mitologi sebagai makhluk imaginasi.

____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & TelegramFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare