Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob GAMBAR: Abd Razak Aid

PEMBENTANGAN Bajet 2023 pada bulan Oktober nanti akan terus memberi penekanan kepada kebajikan Keluarga Malaysia.

Jaminan itu disuarakan sendiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob walaupun negara masih berdepan pelbagai ketidaktentuan ekonomi dunia.

Pada masa sama, Perdana Menteri memaklumkan, Bajet 2023 turut memberi penekanan kepada kesediaan negara berdepan kemungkinan krisis ekonomi global yang lebih mencabar berbanding sebelum ini.

Walaupun berdepan kenaikan inflasi dunia, Perdana Menteri berkata, perbelanjaan isi rumah dan perniagaan telah meningkat serta menjadi antara penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Kata beliau, prestasi suku kedua ekonomi yang berkembang sebanyak 8.9 peratus merupakan kadar tertinggi dan terbaik di Asia Tenggara serta negara-negara utama seluruh dunia.

“Alhamdulillah, selepas hampir setahun menerajui pentadbiran negara, saya gembira melihat prestasi ekonomi negara kini berada di landasan kukuh untuk kembali pulih dan berdaya tahan.

“Insya-Allah, pembentangan Bajet 2023 pada bulan Oktober akan terus memberi penekanan kepada kebajikan Keluarga Malaysia dan juga kesediaan negara berdepan kemungkinan krisis ekonomi global yang lebih mencabar berbanding sebelum ini,” katanya.

Baca artikel berkaitan: Kertas Putih Kesihatan kukuh sistem kesihatan secara menyeluruh – PM

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Minum Petang Bersama Pengamal Media Wanita Malaysia sempena ulang tahun ke-51 Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (PERTAMA).

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, PERTAMA sebagai sebuah persatuan yang mewakili kepentingan wartawan wanita di Malaysia telah menyumbang banyak jasa bukan sahaja kepada ahli tetapi kepada negara.

Hakikatnya, kata beliau, kemajuan dan kemakmuran yang dikecapi negara hari ini tidak hanya disumbangkan pemimpin mahupun tokoh ekonomi, bahkan juga golongan wartawan termasuk wartawan wanita yang memainkan peranan penting dalam pembinaan serta pembangunan masyarakat sejak sebelum merdeka.

Beliau berkata, wartawan wanita juga komited melaporkan pelbagai berita, rencana dalam menyebarluaskan maklumat terkini kepada masyarakat tanpa mengira penat dan cabaran dihadapi termasuk terdedah kepada bahaya.

“Saya dimaklumkan, PERTAMA yang diasaskan oleh Allahyarham Azah Aziz antaranya bertujuan menggalakkan lebih ramai wanita menceburi bidang kewartawanan selain diberi peluang memegang jawatan penting dalam organisasi media massa.

“Saya yakin, ramai lagi nama besar wanita dalam pelbagai bidang di negara ini adalah dalam kalangan mereka yang pernah menjadi wartawan dan kejayaan PERTAMA membantu melahirkan golongan berkaliber ini sangat mengagumkan,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram