PETANG semalam, media melaporkan seorang pelajar perempuan berusia 12 tahun maut disambar petir ketika sedang berbual dengan rakannya menggunakan telefon bimbit di Gua Musang, Kelantan.

Bulan lalu di utara India, dilaporkan 50 orang terkorban disambar petir ketika musim hujan monsun. Kebanyakan mangsa adalah golongan petani.

Sebenarnya, saban minggu di setiap tempat di belahan dunia ini, ada mangsa yang terkorban akibat dipanah petir. Petir atau kilat merupakan faktor bencana alam kedua terbesar yang menyebabkan kematian kepada manusia selepas faktor banjir.

Benjamin Franklin merupakan manusia pertama yang menjadi perintis mengutarakan teori bahawa kilat mempunyai unsur elektrik pada pertengahan abad ke-18.

Benjamin Franklin, manusia pertama yang mengutarakan unsur elektrik pada petir.

Selama berabad lamanya, manusia keliru dengan panahan kilat yang berlaku. Hampir kesemua masyarakat kuno beranggapan faktor pencetus kilat mempunyai kaitan dengan unsur ketuhanan.

Masyarakat kuno Mesir umpamanya menganggap kilat dikawal oleh dewa hujan bernama Typhon. Pemahaman tersebut dilihat hampir sama dengan kepercayaan masyarakat Indus.

Pada zaman Yunani kuno, kilat dipandang sebagai suatu azab yang dihantar oleh dewa Zeus. Masyarakat asli Amerika dan suku kaum di Afrika pula mempercayai bahawa kilat terhasil daripada tepukan sayap seekor burung dewa dipanggil Thunderbird.

Ketika zaman pertengahan, masyarakat Eropah percaya kilat dapat dihentikan dengan membunyikan loceng gereja. Bagaimanapun, perbuatan ini sebenarnya mengundang bahaya kerana dalam tempoh 33 tahun, 386 menara gereja telah disambar kilat. Ia juga telah menyebabkan 103 pekerja yang bertugas untuk membunyikan loceng tersebut maut di tempat kejadian.

Sehinggalah pada pertengahan abad ke-18 apabila Franklin berjaya membuktikan kilat mempunyai unsur elektrik, persepsi manusia terhadap kilat mula berubah. Kejayaan Franklin telah membuka satu ruang baru dalam dunia ilmiah untuk mengkaji lebih lanjut mengenai fenomena panahan kilat secara saintifik.

Setelah bertahun-tahun kajian dijalankan terhadap fenomena kilat ini, saintis mendapati bahawa kilat terjadi apabila udara bergerak turun naik di dalam awan ribut petir, mengakibatkan pemisahan cas positif dan cas negatif. Kilat adalah nyahcas yang terhasil apabila perbezaan cas elektrik di antara permukaan bumi dan atmosfera yang cukup besar untuk mengatasi kesan penebatan udara. 

Sekalipun fenomena kilat berjaya diungkai secara mendalam oleh ahli sains, tetapi kematian disebabkan perkara ini masih tetap berlaku walaupun dalam dunia moden hari ini.

Sebagai contoh, berdasarkan statistik yang pernah dikeluarkan suatu ketika dahulu oleh Jabatan Kaji Cuaca di Zhejiang, China, kilat berlaku hampir 20,000 kali setahun di wilayah berkenaan. Secara purata, lebih 50 orang maut setiap tahun dan hampir 100 orang dilaporkan cedera dipanah kilat di wilayah itu sahaja.

Di India pula, laporan pada tahun 2020 mendapati, mangsa akibat panahan kilat meningkat lebih 20 peratus.

Di Amerika Syarikat pula, dalam setahun dianggarkan 3,000 kematian berlaku akibat serangan jantung yang mempunyai kaitan dengan dentuman petir dan guruh.

Di Malaysia, perkara yang sama juga kerap berlaku. Kematian yang dilaporkan berkaitan dengan kilat sentiasa ada. Malaysia menjadi antara negara paling banyak menerima panahan kilat selepas Rwanda dan Congo. Anggaran kasar nisbah kematian yang berlaku di Malaysia ialah 10 kali ganda lebih tinggi daripada Amerika Syarikat jika diambil kira peratusan penduduknya.

Menurut Dr. Marry Ann Cooper, seorang pakar kecederaan akibat kilat dari University of Illinois, kesilapan terbesar manusia ialah mereka menganggap tidak akan menjadi mangsa.

Jelasnya, kebarangkalian untuk seseorang itu disambar petir sebenarnya lebih tinggi berbanding kebarangkalian untuk memenangi loteri. Malah, warga emas yang berusia 80 tahun ke atas mempunyai nisbah satu per 5,000 kemungkinan untuk disambar petir.

Satu sambaran kilat mengandungi kekuatan elektrik sebesar 20,000 ampiar dan ia bergerak dengan kecepatan 150,000 kilometer sesaat. Dengan kelajuan itu, kilat mampu menyambar semua benda yang terdedah di permukaan bumi, sama ada bangunan, tangki, pokok, puncak bukit, kenderaan, menara telekom, lampu, haiwan dan manusia.

_____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram