Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki GAMBAR: Abd Razak Aid

“UNTUK Pas kembali kepada PKR, DAP bukanlah satu yang mustahil kerana mereka pernah bersama dalam Pakatan Rakyat.”

Itu kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dalam hantaran di Facebook hari ini.

Kenyataan Asyraf Wajdi itu membidas hantaran dikeluarkan Ketua Dewan Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang ‘mengajak’ penyokong Pakatan Harapan (PH) untuk menolak Barisan Nasional (BN) dan memilih Pas untuk menawan Pahang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Menurut Asyraf Wajdi, Pas pernah bersama dengan Pakatan Rakyat atas matlamat serupa dengan saranan Ahmad Fadhli demi semata-mata untuk mengalahkan UMNO.

“Kalau Pas boleh meninggalkan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) untuk bersama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membentuk Perikatan Nasional (PN), tidak mustahil juga mereka boleh berubah untuk bersama dengan pasangan baharu.

“Itulah seni politik. Seni yang serba berkemungkinan. Seni yang boleh berubah-ubah. Seni yang jika agama dikesampingkan matlamat boleh menghalalkan cara,” katanya dalam hantaran itu.

Baca artikel berkaitan: Pas bercita-cita rampas Pahang daripada BN

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi turut mempersoalkan tindakan Ahmad Fadhli untuk menjatuhkan kerajaan UMNO di Pahang.

Katanya, tindakan itu seolah-olah bertentangan dengan kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin untuk mencari jalan menyelamatkan hubungan dengan UMNO atas nama MN.

“Apabila Ketua Pemuda Pas bersungguh-sungguh mengajak DAP, PKR PH menjatuhkan kerajaan UMNO di Pahang, apakah bermakna kenyataan Hashim kelmarin hanyalah sandiwara semata-mata?,” soalnya.

Ahmad Fadhli dalam hantaran di Facebook malam tadi berkata Pas berpotensi untuk merampas Pahang daripada pentadbiran BN jika kena cara dan kaedahnya.

Malah, Ahmad Fadhli turut menyeru penyokong PH supaya berfikir tentang betapa penting merubah kepimpinan negeri Pahang.

“Ambil contoh DUN Pulau Tawar di mana Pas hanya kalah dengan majoriti 587 undi sahaja di tangan UMNO sedangkan undi yang diperolehi PKR ialah 1,973.

“Pengundi-pengundi PKR dan PH di kerusi ini perlu berfikir sejenak betapa ruginya undi dibazirkan begitu sahaja dengan memberikan kemenangan kepada UMNO/BN.

“Jika beramai-ramai pengundi mereka memberikan undi kepada Pas, Pas boleh memenangi DUN Pulau Tawar,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram