PENYANYI Zizi Kirana meluahkan rasa syukur kerana ramai penganjur memahami penampilannya yang sudah berhijab dan tidak membuat permintaan untuk dia menyanyikan lagu yang kurang sesuai dengan imej terkini.

Jelas Zizi atau Nur Fazelah @ Zizie Mad Tahil,37, dia seddar lirik lagu yang pernah dinyanyikan dulu sudah tidak sesuai untuk dia persembahkan kepada khalayak apatah lagi dia kini sudah bergelar isteri orang.

“Lagu Siapa Yang Bap Bap dan Nak Ke Tak Nak, saya tidak akan nyanyikan lagu secara terbuka.

“Bila saya sudah memilih untuk bertudung, jadi saya rasa lebih baik menyanyikan lagu-lagu yang sesuai dengan penampilan saya yang menutup aurat.

“Saya bersyukur sangat sebab pihak penganjur sudah mula memahami dan sehingga kini saya tidak lagi diminta untuk menyanyikan lagu-lagu lama,” katanya ketika ditemui URTV, baru-baru ini.

Untuk rekod, Zizi mendirikan rumah tangga dengan pelakon, Yusuf Bahrin pada 19 September tahun lalu.

Sementara itu, bercakap mengenai gambar-gambar tidak bertudung dan mendedahkan aurat yang masih terpampang di laman sesawang, ujar Zizi, dia tidak mampu berbuat apa-apa selain berharap orang ramai mempunyai rasa tanggungjawab untuk tidak menyebarkan luaskan foto berkenaan.

“Saya akui masih ada lagi gambar-gambar seksi dan tidak menutup aurat di Internet. Saya tak mampu berbuat apa cuma mendoakan agar orang ramai dibukakan hati untuk tidak lagi berkongsi foto-foto saya.

“Saya tahu, jika kita berusaha untuk memadamkan gambar itu, akan ada lagi foto yang sama di Internet. Sebab itu saya berdoa supaya semua pengguna Internet tidak lagi berkongsi gambar saya sewaktu zaman silam,” luahnya.