YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berangkat ke Turkiye bagi mengadakan lawatan negara selama tujuh hari. GAMBAR: BERNAMA

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima darjah tertinggi kerajaan Turkiye, Turkish Order of the State sempena Lawatan Negara ke Turkiye.

Anugerah tertinggi yang disampaikan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan di Istana Presiden itu menjadikan Baginda Ketua Negara ASEAN pertama menerima anugerah berprestij tersebut.

Seri Paduka antara lima pemimpin negara yang menerima pingat tersebut di bawah pimpinan Erdogan selain Raja Arab Saudi Raja Salman Abdul Aziz, Raja Belgium Raja Philip, Emir Kuwait Sheikh Sabah Al-Ahmad Al- Jaber Al-Sabah dan Presiden Tunisia Beji Caid Essebsi. 

Sementara itu, dalam majlis sama, Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan anugerah darjah tertinggi negara Darjah Utama Seri Mahkota Negara (D.M.N) kepada Erdogan. 

Darjah kebesaran D.M.N dikurniakan kepada Sultan atau Raja yang memerintah negeri namun darjah kebesaran itu juga boleh dikurniakan secara kehormat kepada warga asing serta orang paling dihormati.

Baca artikel berkaitan: Agong diberi Sambutan Negara sempena lawatan ke Turkiye

Selain Erdogan, antara penerima kehormat luar negara pernah dikurniakan D.M.N sebelum ini antaranya Ratu Elizabeth, Emir Qatar Sheikh Hamad Khalifa Al-Tahni, Raja Arab Saudi Raja Salman Abdul Aziz dan isteri Sultan Brunei Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.

Selepas pengurniaan anugerah itu, Seri Paduka kemudiannya berkenan menyaksikan Konsert Tradisional yang dihoskan Erdogan.

Turut mengiringi Seri Paduka, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta anakanda baginda Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah. 

Terdahulu, Seri Paduka berdua berkenan menghadiri Jamuan Negara bersama Erdogan dan isteri Emine Erdogan di Istana Presiden selepas Sambutan Negara.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri mempunyai jadual padat sepanjang Lawatan Negara selama tujuh hari di Ankara dan Istanbul.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram