KELAB komedi yang mencetuskan kontroversi isu sensitiviti kaum, Crackhouse Comedy Club ditutup selama-lamanya selepas lebih sebulan lesen perniagaannya digantung sementara.
Pada masa sama, pemilik Crackhouse Comedy Club juga disenarai hitam seumur hidup daripada mendaftarkan lesen perniagaan mana-mana premis di ibu negara.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, lesen perniagaan kelab komedi itu telah dibatalkan berkuat kuasa 30 Julai lalu.
Menurut beliau, keputusan tersebut dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Pelesenan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), sehari sebelumnya.
“Malah, kita juga mengambil keputusan untuk menyenarai hitam pemilik kelab ini untuk mendaftarkan lesen perniagaan di Kuala Lumpur buat selama-lamanya.
“Ini bermakna pemilik kelab itu tidak boleh mendaftarkan sebarang aktiviti perniagaan di Kuala Lumpur walaupun menggunakan nama dan syarikat berlainan,” katanya memetik laporan BH Online.
Mengulas lanjut, Jalaluddin memberitahu pihaknya juga sedang memantau beberapa kelab yang disyaki terlibat dengan aktiviti seumpama itu.
“Sebarang lesen hiburan yang kita kemuka dan keluarkan kepada setiap premis mesti mengikut peraturan ditetapkan.
Baca artikel berkaitan: Pemilik kelab komedi didakwa buat hantaran video sentuh sensitiviti kaum di media sosial
“Bagi pihak yang melanggar syarat pelesenan, maka mereka tidak akan terlepas daripada tindakan tegas.
“Pada masa sama, tindakan, pemantauan serta pemeriksaan akan dilakukan secara berkala oleh DBKL kerana kita tidak mahu ada yang terlepas daripada tindakan kami,” katanya.
Pada 10 Julai lalu, operasi Crackhouse Comedy Club yang beroperasi di Taman Tun Dr. Ismail telah digantung sementara susulan satu klip video tular dipercayai menghina agama Islam.
Kelab komedi berkenaan kemudiannya dilaporkan tidak mempunyai lesen hiburan, sebaliknya hanya diberikan lesen restoran dan minuman keras sahaja.
Pengasas dan pemilik bersama kelab berkenaan Mohamad Rizal Johan Van Geyzel, 39, turut didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan memuat naik video di tiga platform media sosialnya yang menyentuh isu sensitiviti perkauman pada 22 Julai lepas.
Sebelum itu, Siti Nuramira Abdullah, 26, yang tular selepas menanggalkan baju kurung dan tudungnya di kelab komedi mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebabkan suasana tidak harmoni menggunakan agama di kalangan sesama Islam di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 13 Julai lalu.
Malah, teman lelakinya yang juga penulis bebas, Alexander Navin Vijayachandran turut didakwa di mahkamah berasingan atas tuduhan memuat naik kandungan jelik di media sosial pada hari sama.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

