PADA zaman moden hari ini, begitu mudah untuk seorang wanita mengetahui apakah dirinya hamil ataupun tidak. Malah, ujian kehamilan juga dapat diketahui keputusannya dengan pantas. Namun, pernahkah anda terfikir bagaimana orang zaman dahulu hendak mengetahui apakah mereka hamil atau tidak?

Sejarah tentang diagnosis kehamilan manusia dipenuhi dengan mitos, kepercayaan pelik dan teknik aneh. Masyarakat Mesir purba misalnya, memberi minum alkohol kepada wanita yang dirasakan mengandung. Sekiranya wanita tersebut cepat mual, ada kemungkinan dia hamil.

Kaedah itu kemudian berubah kepada ujian urin. Sejarawan percaya bahawa doktor Mesir purba adalah yang pertama menemukan cara untuk mengesan kehamilan melalui ujian air kencing, iaitu sekitar 6,000 tahun Sebelum Masihi (SM).

Menerusi kaedah ini, wanita diarahkan membuang air kecil di atas tanaman gandum dan jelai. Jika hormon estrogen meningkat dalam urin wanita, bibit tanaman tersebut tumbuh dan itu menandakan wanita berkenaan hamil.

Masyarakat Mesir purba menggunakan gandum dalam kaedah menentukan wanita itu hamil atau tidak.

Menurut Berlin Medical Papyrus (BMP), untuk menentukan jantina bayi dalam kandungan, harus dilihat yang mana tumbuh terlebih dahulu, sama ada gandum atau jelai.

Sekiranya jelai tumbuh dahulu, itu bererti jantina anak dalam kandungan tersebut adalah lelaki. Tapi, jika gandum pula yang tumbuh, bererti ia bayi perempuan. Sebaliknya jika kedua-dua tanaman itu tidak hidup, bermakna wanita tersebut belum lagi mengandung.

Pada tahun 1963, para saintis cuba mengkaji kebenaran teori ini. Hasil penyelidikan mendapati 70 peratus urin ibu hamil sememangnya boleh menggalakkan pertumbuhan dengan cepat.

Seorang doktor Muslim dari Parsi, Avicenna yang terkenal pada tahun 981 SM hingga 1031 SM telah mengubahsuai ujian percambahan tanaman dari Mesir. Caranya, beliau memercikkan belerang atau sulfur pada urin wanita itu untuk melihat apakah akan berlaku tindak balas – cacing berkembang biak. Sekiranya ini berlaku, wanita berkenaan mendapat khabar gembira.

Tidak berhenti di situ, beberapa jenis ujian kehamilan kemudian muncul dalam amalan perubatan Hippocrates pada 460 SM hingga 370 SM. Baik Hippocrates dan masyarakat kuno Greek, kaedah pengesanan kehamilan yang mereka gunakan hampir sama dengan cara yang dipraktikkan di Mesir. Misalnya, memberi minum susu ibu yang baru melahirkan anak kepada wanita. Jika mereka muntah, itu bermakna wanita terbabit sah mengandung.

Manakala di Greek pula, ujian kehamilan pada dasarnya sinonim dengan amalan Yunani. Dikatakan bahawa amalan perubatan Mesir telah tiba di Rom melalui Sicily di Itali, yang ketika itu menjadi tanah jajahan Yunani.

Sejarah ujian kehamilan.

Pada abad pertengahan pula, ujian kehamilan berubah kepada teknik yang lebih empirik atau berdasarkan kajian dan bukannya teori. Antara eksperimen lain termasuk mencampurkan urin wanita dengan alkohol dan mengamati hasilnya. Apabila dikaji, alkohol memang terbukti bertindak balas dengan protein tertentu dalam urin. Oleh itu, kaedah ini dianggap satu kejayaan.

Keberkesanan ujian urologi menyebabkan ia dipraktikkan sehingga abad ke-19. Namun, pakar perubatan lebih cenderung melakukan eksperimen kehamilan dengan menggunakan beberapa jenis haiwan. Penyelidikan juga berubah kepada pemerhatian respons hormon wanita.

Pada tahun 1928, saintis Jerman, Selmar Aschheim dan Bernard Zondek atau lebih dikenali dengan nama Ujian AZ, merupakan orang pertama memperkenalkan ujian ke atas tikus. Urin wanita akan disuntik ke dalam punggung tikus betina.

Seratus jam selepas suntikan, tikus tadi dibedah untuk memeriksa bahagian pada ovari untuk melihat jika ada perubahan respons terhadap hormon yang dikeluarkan oleh ibu hamil. Hormon yang dipanggil human chorionic gonadotropin (hCG) boleh ditemui dalam urin dan darah wanita hamil. 

Ujian kehamilan menggunakan arnab.

Eksperimen AZ ini kemudian diperhalusi oleh Maurice H. Friedman pada tahun 1931. Kali ini, Friedman lebih gemar menggunakan arnab dalam ujian kehamilan. Urin wanita diuji dengan menyuntiknya ke dalam vena telinga arnab betina. Keputusan boleh dilihat dalam masa 36 hingga 48 jam selepas suntikan.

Bagaimanapun, terdapat salah faham mengenai uji kaji ini. Ada mengatakan bahawa jika arnab tersebut mati secara tiba-tiba, itu menunjukkan wanita tersebut mengandung.

Namun demikian, andaian itu tidak betul. Haiwan tersebut bukan mati secara tiba-tiba, tetapi terpaksa dibunuh untuk memeriksa bahagian ovari kalau-kalau ada respons seperti pembengkakan. Jika itu berlaku, ia menandakan wanita tersebut hamil.

Pada tahun 1936, Hogben kemudian menarik perhatian ramai dengan menggunakan katak sebagai ujian kehamilan. Spesies katak betina Afrika sering menjadi pilihan untuk kajian. Seperti biasa, air kencing wanita akan dimasukkan ke dalam badan katak. Wanita akan disahkan hamil apabila berlaku pembentukan lima atau enam telur dalam organ katak pada waktu empat hingga 12 belas jam selepas proses tersebut.

Walaupun, ujian kehamilan Hogben tidak menyebabkan kematian pada haiwan eksperimen, namun ia tetap dianggap seperti satu perbuatan menganiaya ke atas haiwan.

_____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram