Antara wirid dan zikir ada perbezaannya. Biasanya kita hanya wirid tapi tidak berzikir. Wirid hanya ada pada mulut tapi tidak pada hati dan fikiran. Manakala zikir adalah mengingati Allah pada mulut, hati dan fikiran. Kalau kita berzikir dengan betul kita akan tenang. Bukankah ia telah disebut di dalam al-Quran, dalam surah Ar-Ra’d: 28
“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan dzikrullah.” Ketahuilah! dengan zikrullah itu tenang dan tenteram hati manusia.”
Perunding Emosi dan Sipiritual NLP Training, Dr. Azhar Sarip memberikan contoh yang amat jelas boleh dikaitkan dengan tasbih alam. Katanya, kisah semut bersama Nabi Sulaiman, walaupun sudah berulang kali diceritakan tapi tidak salah rasanya kalau dikongsi sekali lagi cerita itu. Manalah tahu dengan cerita yang sama itu ia dapat melihatnya dari satu perspektif yang berbeza.
Kisahnya bermula begini, pada suatu hari Nabi Sulaiman berjalan di tengah padang pasir tiba-tiba terpandang olehnya seekor semut yang sedang merayap-rayap mencari makan di atas batu. Baginda kehairanan mana mungkin ada sebutir pun makanan di atas batu di tengah-tengah padang pasir gersang.
Namun semut itu dengan penuh keyakinan bahawa Allah akan memberikan rezeki yang cukup untuknya. Apabila mendengarkan jawapan itu, Nabi Sulaiman menawarkan semut itu satu tempat tinggal yang lebih baik dan dibekalkan sebutir gandum sebagai makanan, mencukupi untuk sebulan.
Setelah sebulan Nabi Sulaiman datang semula menghantar sebutir lagi gandum sebagai makanan semut itu. Namun apabila dilihat ke dalam sarang, semut itu hanya makan separuh saja gandum tersebut. Pada ingatan Nabi Sulaiman tentulah semut itu menipu kerana sebulan lalu dia mengatakan bekalan makanannya adalah sebutir gandum untuk sebulan tapi kini hanya separuh saja yang dimakan.
Lalu semut dengan perasan jujur mengatakan,
“Jika aku mencari makanan di atas batu aku tahu makanan itu cukup untuk bekalan aku sebulan. Kerana aku tahu makanan itu aku yang cari sendiri dan rezeki itu datangnya dari Allah. Aku penuh yakin bahawa Dia tidak akan melupakan aku walau sesaat.
Tapi kini apabila engkau mengurung aku maka aku tidak dapat keluar untuk mencari makan dan rezeki aku terpaksa bergantung pada engkau. Sedangkan aku tidak percaya kepada engkau jadi aku hanya makan separuh saja agar sebahagian lagi boleh ku simpan untuk bulan berikutnya. Aku takut kamu akan lupa.”
Terang Dr. Azhar, walaupun tubuh semut kecil dan tidak mempunyai kekuatan sehebat manusia tetapi ia amat yakin akan kekuasaan Allah yang mencipta dan menjaganya. Berbeza dengan manusia yang dikurniakan akal dan fikiran yang bijak namun kebergantungan mereka pada Allah diletakan pada tangga yang paling akhir sekali. Itu pun kalau teringat sebaliknya mereka merasa menggunakan akal logik lagi hebat.
Bertasbih itu bukannya sekadar membaca Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakhbar mahupun zikir-zikir yang lain. Tasbih itu adalah ingat kepada Allah, percaya dan pasrah.
Pisau pun bertasbih
Kisah yang paling besar tentang tasbih alam adalah semasa hari raya korban. Soalnya apa yang kita tahu tentang maksudnya? Adakah sekadar korbankan binatang ternakan? jawapannya, tidak!
Cuba lihat dari sudut falsafahnya ketika Nabi Ibrahim a.s. gagal menyembelih Nabi Ismail dengan menggunakan pisaunya yang tajam tapi tidak lut apabila dilalukan di leher Nabi Ismail. Kemudian pisau itu dibaling oleh Nabi Ibrahim ke batu dan batu itu terbelah dua.
Mengapa pisau itu boleh membelah batu sedangkan tidak lut langsung untuk melukakan leher Nabi Ismail. Dengan izin Allah, batu itu menjawab,
“Wahai Nabi Allah! kamu mengatakan kepada aku potong sedangkan Allah menyeru aku agar jangan potong. Bagaimana mungkin aku mentaati kamu sedangkan aku harus menderhakai Tuhanku dan Tuhan kamu,” jelasnya
Dari kisah itu boleh diambil inti patinya bahawa pisau itu adalah alam. Alam itu sentiasa mengingati Allah tapi kita memandang rendah padanya kerana merasa mereka tidak mempunyai akal. Tanpa disedari bahawa alam itu jauh lebih taat kepada Allah berbanding manusia.
Gelombang alpha
Kemudian dongakkanlah kepala memandang ke langit, lihat matahari, bulan dan semua yang ada di langit, semuanya tidak pernah mungkir dengan Allah. Mungkir yang bagaimana? Mereka patuh kepada perintah Allah, tidak pernah ingkar walaupun sedikit.
Bayangkanlah jika matahari itu mungkir dan tidak taat kepada perintah Allah, beredar sesuka hati walaupun hanya menyimpang sebanyak 5 cm pun sudah menyebabkan porak-peranda. Mereka tidak pernah mungkir dari mengingati dan taat kepada Allah.
Manakala di bumi pula manusia diberi tumbuh-tumbuhan, binatang, sungai dan gunung-ganang untuk melahirkan rasa tenang dengannya. Kajian menunjukkan apabila tumbuh-tumbuhan dan binatang itu bertasbih gelombangnya berada pada alpha yang menyebabkan tenang.
Gelombang itu terhasil daripada ingatan mereka kepada Allah. Sebab itulah apabila kita duduk di kelilingi pokok-pokok yang menghijau akan merasai ketenangannya. Gelombang alpha tumbuh-tumbuhan secara tidak langsung akan mempengaruhi gelombang manusia. Dan, gelombang kita pun akan turun menjadi alpha yang membawa ketenangan serta khusyuk solat.
Binatang mempunyai gelombang alpha kerana di dalam binatang itu pun ada sifat kemanusiaan. Kasih sayang binatang pada anaknya mengalahkan kasih sayang sesama manusia.
Ibu haiwan apabila melihat anaknya ditangkap dan disembelih ia boleh menangis. Tapi manusia sudah hilang sifat kemanusiaan dan banyak sifat kebinatangan. Sebab itulah seorang datuk boleh merogol cucu, seorang ibu yang melahirkan anaknya boleh mencampakkan anaknya dari tingkat tujuh.
Manusia itu bukan binatang tetapi membawa sifat kebinatangan di dalam hidup. Binatang berzikir dengan Allah maka boleh hadir di dalam dirinya sifat manusia. Tetapi sifat kebinatangan dalam diri manusia disebabkan lupa untuk bertasbih kepada Allah ia adalah sama dengan syaitan.
Kadang-kadang kita tidak menghormati alam ini. Tidak seperti orang dulu-dulu pandai melayan alam, apabila bercucuk tanam, mereka akan bercakap pada pokok dengan gelombang yang rendah, mereka bercakap seolah-olah pokok itu anak mereka. Sebab itulah mereka boleh hidup di dalam ketenangan dan jarang bersengketa.
Sebenarnya bercakap dengan pokok itu telah dilakukan kajian boleh mengurangkan stres. Selain itu bercakap dengan pokok itu pun ada manfaatnya kepada pokok itu, ia akan menggalakkan pertumbuhan pokok dengan lebih subur,” terangnya
_________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:
Facebook: https://www.facebook.com/utusantv
Twitter: https://twitter.com/UtusanTV
Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en
#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare