“SAYA hendak memasukkan dalam rekod di sini bahawa saya membantah sekeras-kerasnya prosiding rayuan hari ini, di mana hak saya, kehidupan saya dan hak untuk perbicaraan yang adil sedang dipertaruhkan.”
Itu dakwa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonan peguam utamanya, Hisyam Teh Poh Teik untuk menarik diri daripada mewakilinya dalam rayuan akhir kes SRC International Sdn. Bhd.
Memetik laporan Astro Awani, Najib mengakui beliau kini tidak dapat mempertahankan diri dengan adil selepas permohonan tersebut ditolak.
Pada masa sama, Ahli Parlimen Pekan itu juga membantah sekeras-kerasnya keputusan panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bertindak meneruskan prosiding rayuan akhir.
Menurut Najib, Hisyam berulang kali memberitahu Mahkamah Persekutuan bahawa beliau tidak bersedia membuat hujahan kerana tidak mempunyai masa mencukupi melihat hampir 200 jilid dokumen berkaitan SRC International.
“Seperti yang anda sedia maklum, peguam saya telah menyatakan mereka tidak dapat meneruskan hujahan (lisan) kerana kekangan masa. Malangnya mahkamah tidak membenarkan perkara itu berlaku.
“Justeru saya tidak dapat membentangkan pembelaan hari ini dan hanya pendakwaan yang dapat membentangkan hujah mereka bagi kes berprofil tinggi seperti ini.
Baca artikel berkaitan: Najib pegang banyak jawatan untuk lakukan jenayah dalam SRC
“Ini sesuatu yang tidak pernah berlaku, di mana dalam kes jenayah, tertuduh tidak mempunyai peguam bela,” tegasnya lagi.
Najib yang berdepan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta turut menjelaskan keputusan untuk menggantikan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.
“Saya ingin jelaskan bahawa Tan Sri Muhammad Shafee telah melakukan kerja yang cukup baik dalam pembelaan, biarpun kalah di peringkat Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan. Dan cubaan saya untuk mendapatkan Peguam Kanan United Kingdom juga ditolak.
“Atas sebab itu saya tiada cara lain melainkan melantik barisan Hisyam dan Datuk Zaid Ibrahim, kerana saya perlukan perspektif berbeza,” kata Najib sambil menerangkan ia adalah kebiasaan bagi pasukan baharu untuk melihat kesemua dokumen berkaitan dalam kes berkenaan.
Susulan permohonan pembelaan untuk ditangguhkan perbicaraan itu juga ditolak, Najib berkata, Hisyam tiada jalan lain melainkan membuat permohonan untuk mengecualikan diri.
“Itu pun tak dibenarkan Mahkamah Persekutuan. Saya kini terpaksa berhadapan dengan realiti bahawa saya mungkin tidak akan ada peguam bela lagi,” katanya.
Ahli Parlimen Pekan itu memberitahu, apa yang paling menyedihkan adalah beliau tidak mampu untuk mempertahankan diri, biarpun percaya Hisyam dan pasukannya mampu untuk membuat pembelaan kukuh sekiranya permohonan penangguhan mereka dibenarkan.
“Saya cuma mampu berdoa untuk perbicaraan yang adil dan saksama,” katanya lagi.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

