Mahkamah Persekutuan tolak permohonan Hisyam tarik diri wakili Najib

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

MAHKAMAH Persekutuan menolak permohonan peguam utama Datuk Seri Najib Tun Razak, Hisyam Teh Poh Teik untuk menarik diri daripada mewakili bekas Perdana Menteri itu dalam rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel lima hakim kemudiannya mengarahkan prosiding rayuan akhir itu dimulakan.

Prosiding berkenaan diteruskan dengan pihak pendakwaan terlebih dahulu mengemukakan hujahan.

Sebelum mahkamah berhenti rehat sebentar tadi, Hisyam memohon untuk menarik diri daripada mewakili Najib atas alasan memerlukan lebih banyak masa kerana tidak bersedia membawa kes tersebut.

Hisyam dilantik Najib sebagai peguam utama baharunya pada 27 Julai menggantikan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Tengku Maimun bagaimanapun berkata Hisyam tidak boleh berundur diri sebaliknya memikul tanggungjawab untuk mewakili anak guamnya.

Hakim lain ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim serta Hakim Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd.

Baca artikel berkaitan: Peguam Najib sekali lagi mohon penangguhan, tarik diri jika ditolak

Tengku Maimun memberitahu Hisyam bahawa mahkamah telah mendengar permohonannya untuk penangguhan pada Selasa dan telah memberikan alasan mengapa mereka menolak permohonannya itu.

“Kami telah memberikan alasan yang menyeluruh. Adakah kamu sedar bahawa sebagai mahkamah tertinggi kami mempunyai bidang kuasa sedia ada untuk melaksanakan keadilan, dan bidang kuasa kami adalah untuk memastikan mahkamah berfungsi?”.

“Adakah kamu menerimanya? Anak guam kamu tidak akan diwakili. Jika kamu menarik diri, anda akan membiarkannya tanpa diwakili. Boleh anda menerimanya?”, soal Ketua Hakim Negara itu dengan tegas.

Hisyam menjawab beliau menerima semua yang dikatakan oleh Hakim Tengku Maimun.

“… tetapi dalam keadaan ini saya tidak boleh terus mewakili Datuk Seri Najib,” katanya.

Tengku Maimun menjawab: “Tetapi kamu masih memerlukan kebenaran kami untuk menarik diri. Kamu sepatutnya memfailkan afidavit dahulu. Peguam tidak seharusnya meninggalkan begitu sahaja tanpa memberitahu mahkamah.

“Pada pendapat kami, kamu boleh mengendalikan kes ini dan kamu mempunyai banyak peguam yang tersedia,” kata beliau sebelum menghentikan seketika prosiding itu untuk memutuskan perkara tersebut.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Penempatan haram Rohingya berlarutan di Sungai Tekali atas kebenaran pemilik tanah

PEMILIK tanah yang membenarkan pembinaan struktur dan penempatan tanpa kelulusan oleh warga Rohingya di Sungai Tekali dikenal pasti sebagai...

More Articles Like This