KISAH ini sudah lebih 10 tahun berlaku, namun masih saya ingat sehingga kini. Ketika itu, saya pulang ke kampung di Sabak Bernam, Selangor.

Salah satu aktiviti yang saya gemari bila pulang ke kampung ialah memancing. Saya ingat lagi kejadian aneh malam itu. Ketika itu musim air pasang perbani dan bulan mengambang penuh. Selalunya pada musim begitu, hasil memancing biasanya lumayan. Tak perlu ke tengah laut, memancing di gigi air pun sudah cukup.

Itulah masa yang saya suka. Walaupun ombak dan angin agak kuat daripada biasa, ikan senang sangkut. Malam itu, saya memancing bersama sepupu di pantai berhampiran kampung kami.

Tapi, kami rasa pelik. Malam itu tak seperti malam-malam air pasang perbani bulan muda sebelumnya. Sudah dekat tiga jam kami memancing, namun langsung tiada hasil. Daripada pukul 9.00 malam hingga dekat 12.00 malam kami di situ, tetap hampa. Tiada seekor ikan pun mengena.

Ketika sedang asyik memancing itu, kami lihat dari jauh ada seorang lelaki menghampiri kami. Dia menggalas beg besar. Setelah hampir berjarak sepuluh kaki dari kami, dan tiga kaki dari gigi air, dia berhenti. Tanpa berkata apa-apa lelaki itu memandang ke laut.

“Mancing ke bang?” saya menyapanya. Lelaki itu diam sahaja, tidak menjawab.

“Ooo… bang, mancing ke?” sepupu saya pula menyapa dengan suara yang sedikit kuat. Lelaki itu menoleh, namun masih membisu. Dia sekadar menggelengkan kepala.

Ah, kalau tak mahu memancing, buat apa dia ke sini? Lelaki itu tetap diam. Dia menunjuk ke arah laut, lalu mendepakan kedua-dua belah tangannya luas-luas.

Pelik juga saya lihat gelagatnya itu. Mungkin dia mendepa tangan untuk merasakan angin laut yang lebih kuat daripada biasa. Lelaki bertopi itu hanya merenung ke laut. Jauh dan tajam renungannya.

Tiba-tiba…

“Astaghfirullah hal ‘azim!” sepupu saya beristighfar. Serta merta dia mengajak saya meninggalkan tempat itu.

Saya yang kehairanan bertanya, mengapa? Sepupu itu separuh berbisik menyuruh saya memerhatikan lelaki itu.

“Cuba kau tengok, ada yang tak kena. Kau perhatikan lelaki tu betul-betul,” bisik sepupu saya.

Saya terus memerhati dan akhirnya baru saya perasan, tidak ada sebarang kesan tapak kaki lelaki itu di atas pasir!   

Tidak menunggu lama, kami berdua terus beredar dari situ. Beberapa tapak melangkah, sepupu saya menoleh ke arah lelaki berkenaan. Tapi, lelaki tadi sudah tiada! Ghaib begitu saja. Kami terus lari macam tak cukup tanah.

Rupa-rupanya malam itu di pantai kampung sebelah, ada kisah yang sama juga. Seorang pemancing dihampiri seorang wanita muda yang mendukung anaknya menggunakan kain batik.

Apabila ditanya, wanita itu diam tidak menjawab, hanya memandang ke arah laut. Wanita itu kemudiannya menunjuk ke arah laut sebelum kedua-dua belah tangannya dibuka luas-luas. Sama aksinya dengan apa yang kami lihat pada lelaki misteri itu.

Yang membuatkan gempar adalah kerana bekas laluan wanita itu juga tidak meninggalkan jejak. Kakinya tidak menjejak ke pasir pantai.

Sebelum itu, sudah banyak kejadian bot pancung yang karam di pukul ombak besar ketika angin kuat. Ramai yang terkorban. Kebanyakan kejadian bot pancung karam itu berlaku ketika malam pasang perbani bulan muda. Waktu itu juga angin dan ombak kuat di laut. Adakah semua ini berlaku secara kebetulan?

Keesokan paginya, beberapa orang penduduk menemui mayat seorang lelaki bersama begnya di pantai tempat saya dan sepupu memancing malam itu.

Manakala di kampung sebelah pula, ditemui mayat seorang wanita muda bersama anak kecil yang terikat di badannya.

Setelah pulang semula ke rumah, melalui berita di televisyen, saya mendapat tahu bahawa malam semasa saya dan sepupu memancing, sebenarnya ada sebuah bot pancung karam.

Bot yang membawa pendatang asing tanpa izin atau PATI pulang ke Indonesia itu, karam beberapa batu nautika bertentangan pantai kami memancing.

Saya tertanya-tanya, siapa lelaki yang menghampiri saya dan sepupu ketika kami memancing? Siapa pula wanita bersama anak kecil yang didukung yang ditemui oleh seorang pemancing pada malam yang sama itu?

Adakah ‘mereka’ antara mangsa bot pancung yang lemas? Adakah kehadiran mereka malam itu ingin memberitahu apa sebenarnya yang berlaku di tengah laut ketika itu?

Hanya Tuhan saja yang tahu.

***Diceritakan oleh Iqmal Tajul dari Kuala Lumpur.    

_____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram